Posted by Ahmad Ulwan b Hassim
in Wednesday, December 8
"Hati itu raja,maka jagalah ia sebaiknya"
Kamu pejuang muda,
Urat-urat darahmu mengalir semangat yang membara,
Dengan semangat itulah Kota Konstantinople ditawan,
Jangan sejukkannya dengan rindu,manja dan sendu yang melalaikan,
Nyahkan rindu,manja dan sendu,
Tajarrudkan jiwamu,
Rahsia perjuangan yang semakin dilupakan,
Moga redhaNya bersamamu.
Posted by Ahmad Ulwan b Hassim
in Sunday, December 5
Hayyu Asyier, 4 Disember 2010: Pada 30 November yang lalu, sebahagian mahasiswa Terengganu telah berkumpul secara aman di sekitar pejabat HEP Terengganu Mesir bagi menuntut hak penerimaan zakat yang telah dinafikan.
Sikap pegawai HEP Terengganu Mesir yang menghalau mahasiswa yang ingin berurusan mengenai zakat dan pinjaman tanpa alasan yang kukuh adalah suatu perkara yang tidak sepatuntnya berlaku kepada seorang penjawat awam.
Selain itu juga, mahasiswa Terengganu telah berusaha untuk berunding dengan pihak pegawai agar memberikan hak yang sepatutnya kepada penerima zakat yang layak menerimanya.
Pihak KPT Mesir melahirkan rasa kecewa dengan sikap pegawai HEP yang bertindak secara tidak profesional kerana menafikan hak penerimaan zakat kepada sebahagian mahasiswa dengan tuduhan mahasiswa tersebut lantang membantah sikap pegawai yang sering melanggar etika sebagai penjawat awam.
Apa yang dikesalkan juga adalah sikap pegawai HEP Melaka yang datang seolah-olah ingin menimbulkan kontroversi sekali lagi menimbulkan kemarahan mahasiswa yang telah hampir 11 jam menuntut hak mereka.
Dengan inisiatif pihak pimpinan KPT Mesir, kemarahan mahasiswa dapat dikawal dan jalan rundingan dicari antara mahasiswa dan pegawai HEP Terengganu Mesir. Hasil rundingan yang dilakukan penafian hak penerimaan zakat dikembalikan.
Walaubagaimanapun, sekali lagi ditegaskan bahawa pihak KPT Mesir tetap akan meneruskan usaha dan jalinan kerjasama dengan pihak berwajib demi menjaga kebajikan mahasiswa Mesir.
Posted by Ahmad Ulwan b Hassim
in Thursday, December 2
Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, yang menjadikan manusia dengan sebaik-baik kesempurnaan. Selawat dan Salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu A’laihi Wasallam. Kesejahteraan juga buat para pengikut dan juga para pewaris perjuangan Nabi Muhammad Sallallahu A’laihi Wasallam.
Kebelakangan ini mahasiswa Islam Terengganu di Mesir telah berhadapan dengan permasalahan berkaitan isu agihan wang Zakat dan sikap tidak profesional pegawai HEP terhadap kebajikan mahasiswa.
Untuk itu, pihak Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) telah berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan permasalahan ini dengan sebaik yang mungkin sebagai Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) yang bernaung dibawah Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).
Pihak KPT Mesir juga, telah menghubungi pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) untuk mendapatkan penjelasan tentang permasalahan zakat yang dihadapi oleh mahasiswa. Selain itu, usaha-usaha menyelesaikan permasalahan ini akan diteruskan supaya ianya tidak berpanjangan.
Oleh itu, pihak KPT Mesir mengingatkan juga supaya mahasiswa Terengganu menumpukan kepada persediaan imtihan yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Segala permasalahan dan tindakan untuk penyelesaian kepada permasalahan ini diserahkan kepada pihak pimpinan.
Sukacita juga dimaklumkan bahawa pihak KPT Mesir akan mengadakan Majlis Penerangan Isu Zakat pada 4 Disember 2010 hari Sabtu ini bertempat di Dewan Darul Iman, Hayyu Asyier. Seluruh Mahasiswa Terengganu dijemput hadir.
Akhirnya, pihak KPT Mesir menyeru kepada seluruh Mahasiswa agar terus bersabar diatas segala kesulitan yang berlaku dengan bertindak secara rasional sebagai Mahasiswa Islam dan tidak mengambil sebarang tindakan tanpa merujuk kepada pihak KPT serta berdoa agar dipermudahkan segala urusan.
“BERILMU DAN BERAMAL” “KEMANTAPAN FIKRAH, MEMBINA SYAKHSIAH”
MOHD RIDUAN BIN ABU BAKAR
Yang Dipertua,
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT),
Sesi 2010/2011
Pejabat KPT, Kompleks Darul Iman, Hayyu Asyir, Kaherah.
Posted by Ahmad Ulwan b Hassim
in Tuesday, November 23
“Demi waktu matahari sepenggalahan naik (dhuha) dan demi waktu malam apabila telah sunyi..”
Bahawasanya di syurga ada pintu yang dinamakan “Dhuha” maka jika telah datang pada hari kiamat , berserulah (malaikat) “manakah orang-orang yang selalu bersolat dhuha ? inilah pintu kamu silakan masuk ke dalamnya dengan rahmat Allah swt.
“Ya Allah bahawasanya waktu dhuha itu waktu dhuhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu , keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu ,kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu “. ” Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. ,Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh”
Posted by Ahmad Ulwan b Hassim
in Thursday, November 18
Hari kelmarin cukup meletihkan,namun keletihan kelmarin terubat kerana pada malamnya saya diajak oleh seorang sahabat seperjuangan untuk bertemu dengan Syeikh Muhammad Ahmad al-Rasyid.Seorang ulama’ yang saya sering impikan untuk bertemu dengannya..
***
Suasana malam yang sejuk kian dirasai.
Kelihatan seorang sedang menunaikan solat dan kemudiannya berzikir dengan penuh syahdu. Saya terpaku menyaksikan kekhusyukannya. Lelaki itu menangis dan menangis tanpa henti, sambil bermunajat memohon keampunan daripada Allah.
Subhanallah!!Syeikh Muhammad Ahmad al-Rasyid…”spontan kata-kata ini keluar daripada mulut ini apabila melihat tubuh lelaki tersebut adalah seorang yang sememangnya saya sangat rindu untuk bertemu dengannya.
“Anak muda, tunaikan tahajud dulu. Kemudian, baru kita mulakan perjumpaan kita pada malam ini” syeikh memulakan kalamnya. Sambil saya bersalaman dan mencium tangan syeikh dengan penuh perasaan rindu.
Secara spontan dan automatik, saya macam menurut saja tanpa banyak soal.
***
Sejuk mata saya memandang syeikh,memandang wajahnya sudah cukup untuk mengubat rindu saya untuk bertemu dengannya.Jika sebelum ini saya hanya membaca bukunya al-Munthalaq,al-Raqaiq dan sebagainya cukup menjadikan saya terpandu untuk berjalan diatas jalan dakwah ini.
Alhamdulillah,malam ini saya diberi peluang ini.
“Seorang mujahid adalah seorang yang merdeka dan menolak kehinaan maka dia akan bergerak. Bagi seorang yang merdeka mempunyai sifat dan tabiat iaitu; pertamanya berjalan kearah kemuliaan, sebagaimana dengannya seseorang yang merdeka itu dikenali. Setelah itu ia terhindar daripada sifat perhambaan yang berlebihan.”Syeikh memulakan kalamnya
Saya menumpukan sepenuh perhatian terhadap setiap kalam yang dituturkan oleh syeikh,peluang ini saya akan gunakan sebaiknya.
Suasana sejuk mula mencengkam..namun saya nyahkan perasaan tersebut.
" Kemerdekaan ialah sesiapa yang menghargai kasih sayang walau sejenak atau berintima’ bersama mereka yang pernah mengajarkannya walaupun satu lafaz".kata syeikh memetik kalam daripada Imam Syafie..
“Maka sekiranya kamu seorang yang merdeka maka hargailah kasih sayangNya, ikhlaskanlah dirimu untukNya, jauhilah ia daripada fitnah yang sentiasa mengintainya”sambung syeikh.
Kata-kata ini cukup meng”hina”kan saya pada malam itu saya kira..saya akur,saya insaf..
Banyak perkara yang kami bincangkan dalam tempoh pertemuan yang amat singkat itu. Tidak perlulah saya ceritakan kesemuanya melainkan sedikit sebagai mengambil sedikit tauladan buat semua.
Syeikh mengakhiri pertemuan pada malam itu dengan satu syair:
" Tenanglah duat kepada pimpinan yang sejahtera,
suci hati dan berakhlak mulia.
Diberikan kepadanya sekukuh hati ketaatan,
sebelum digenggamkan perjanjian yang kukuh."
“Anakku,ketahuilah bahawa akhlak itulah ketakwaan dan takwa merupakan pintu kesedaran. Dengan kewujudannya orang yang biasa akan mendapat pengajaran dan denganya akan mengilhamkan kebenaran.”kata syeikh kepadaku mengakhiri pertemuan pada malam itu.
Tergiang-giang kata-kata ini dalam benak otakku,ia memerlukan kepada penafsiran dan penghayatan yang teliti.Moga mutiaranya dapat diperolehi daripada kalam-kalam yang begitu mendalam maksudnya..
Posted by Ahmad Ulwan b Hassim
in Friday, November 12
Pemuda sekarang adalah pemimpin dimasa akan datang.Itulah ungkapan ulama' yang sering kita dengari.Namun persoalannya sekarang bagaimanakah persediaan atau apakah elemen yang diperlukan untuk mempersiapkan pemuda sekarang sebagai pemimpin pada masa hadapan?
Apabila kita bercakap mengenai kepimpinan Islam,ia bukanlah sesuatau perkara yang mudah dan ringan.Seseorang yang ingin menjadi kepimpinan mestilah mereka yang kuat tarbiyah dan pengorbanannya.
Hal ini kerana,apabila seseorang itu menjadi kepimpinan ia ibarat “mencampakkan” dirinya ke suatu tempat yang penuh dengan ujian dan cabaran.Oleh kerana itu,ia memerlukan seseorang yang ditarbiyah dengan betul untuk menghadapi semua itu.Kerana dengan tarbiyah mereka akan “siap” untuk mengahadapi semua itu.
Jika pada zaman nabi,sahabat ditarbiyah oleh nabi melalui usrah yang menjadi tunjang kepada tarbiyah.Melalui usrah yang dilakukan pada permulaan Islam di rumah al-Arqam, melahirkan para sahabat-sahabat yang sanggup mengorbankan jiwa dan raganya untuk Islam.
Namun begitu,kefahaman yang silap mengenai usrah menjadikan hasil yang kita mahu lihat daripada usrah tidak tercapai.Usrah bukan tempat mencurahkan ilmu sebaliknya usrah sebagai tempat melatih seseorang menjadi insan berpotensi tinggi.
Dalam usrah, yang terpenting adalah kefahaman yang jelas dan bukan untuk mencurahkan ilmu. Justeru itu, saya ingin mendatangkan satu contoh yang mudah. Tajuk aqidah amat senang untuk disampaikan. Hanya dengan kita menyebut beberapa ayat, sudah selesai tajuk aqidah. Sebagai contoh
“Kita beriman dengan enam rukun Iman ,lima rukun Islam dan kita mengakui tentang ketuhanan Allah dan kita sebagai hamba. Oleh itu, kita mesti menegakkan agama Allah kerana untuk membuktikan apa yang kita percayai tadi meskipun banyak cabaran yang perlu kita tempuhi. Kita juga mempercayai ada neraka untuk orang yang meninggalkan perjuangan Islam dan ada syurga sebagai balasan untuk pejuang”
Cukup mudah bukan untuk membicarakan mengenai aqidah? Jika mahukan penghuraian yang lebih mendalam termasuklah konsep syahadatain, wala’ dan bara’, maka pergilah ke muhadharah,diskusi kitab atau sebagainya yang boleh menghuraikan berbagai-bagai lagi berkenaan aqidah secara mendalam.
Maka usrah adalah suatu kerja yang mudah tetapi tidak boleh dipermudah-mudahkan. Yang penting dalam usrah ada beberapa perkara, iaitu yang pertama perwatakan naqib/ah yang mampu menjadi daya magnetic atau penarik kepada anak buah, yang keduanya mestilah menanam kefaham ahli dengan jelas tentang fikrah Islam dan ketiganya naqib/ah perlu mewujudkan hubungan yang berteraskan nilai kasih sayang dan saling mempercayai antara satu sama lain.
Saya pernah memberitahu Presiden PMRAM Ust Shahrizan beberapa minggu yang lalu bahawa kita sebenarnya bukan perlukan sangat naqib yang mampu memberikan ilmu yang mendalam. Namun saya tidak nafikan bahawa perkara itu sangat penting.
Akan tetapi yang paling penting ialah naqib yang mampu menjadi magnet yang mampu menarik ahli usrah. Kata-katanya berpengaruh. Ia disanjungi oleh anak buahnya..
Jika ia berkaitan dengan permasalahan naqib,ia memerlukan kepada perbincangan yang lain pada masa akan datang ,InsyaAllah.Sebab itu, jika di Mesir saya ada mencadangkan supaya mengadakan Konvensyen Jabatan Fasilitator (Nuqaba’) kerana banyak perkara yang boleh diselesaikan melalui konvensyen tersebut.
Yang penting,jika kita mahu mengecapi buah yang masak ranum dan enak,maka tunjangnya perlu subur,mana mungkin kita mahu berbicara mengenai bunga mahupun buah yang masak ranum jika tunjangnya masih kaku dan tidak subur.
Posted by Ahmad Ulwan b Hassim
in Monday, October 25
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
KPT Mesir, 23 Oktober 2010 – Makluman kepada seluruh mahasiswa Terengganu Mesir yang dirahmati Allah S.W.T. Pihak Keluarga Penuntut -penuntut Terengganu Mesir dengan penuh rasa tanggungjawab ingin menyatakan pendirian berkenaan isu zakat yang telah berlaku kepada mahasiswa Terengganu Mesir.
Berkenaan dengan program Kursus Bina Insan Gemilang yang dijadualkan pada 25-26 Oktober 2010 untuk sesi pertama dan 26-27 Oktober 2010 untuk sesi kedua bagi melayakkan mahasiswa Terengganu untuk mendapat zakat yang telah dikenakan kepada penerima zakat, dengan ini pihak KPT Mesir ingin menyatakan pendirian berkenaan hal ini:
1) Pihak KPT Mesir menyatakan kekecewaan kepada pihak pengurusan program kerana tidak mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan pihak KPT Mesir seolah-olah menafikan tanggungjawab KPT Mesir dalam menjaga kebajikan ahli dan juga tidak mengiktiraf KPT Mesir yang telah berdaftar di bawah KBMK.
2) Pihak kami juga kesal atas tindakan pihak pengurusan program yang tidak menitikberatkan soal keselamatanahli terutamanya mahasiswi kerana tidak menyediakan pengangkutan ke program tersebut walaupun telah didesak oleh pihak KPT Mesir.
3) Walaubagaimanapun, pihak KPT Mesir tidak menghalang ahli untuk menghadiri program tersebut, kerana pihak kami merasakan bahawa itu adalah hak ahli untuk menentukannya.
4) Sebarang permasalahan atau kesulitan berkenaan dengan program ini, maka perlu merujuk kepada pegawai Terengganu.
Pihak KPT Mesir akan berusaha sedaya upaya untuk membantu dan meringankan permasalahan yang berlaku kepada mahasiswa Terengganu khususnya.Namun begitu pihak KPT tetap bekerjasama dengan pihak berwajib demi memastikan kebajikan mahasiswa terjaga.
Sekian, terima kasih.
“BERILMU DAN BERAMAL”
“KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH”
MOHD RIDUAN BIN ABU BAKAR
Yang Dipertua,
Keluarga Penuntut -penuntut Terengganu Mesir,
sesi 2010/2011.
Posted by Ahmad Ulwan b Hassim
in Wednesday, October 13
Pagi ini sangat menenangkan jiwa.Suasana sejuk menyelubungi tubuh menandakan bahawa bumi Perlembahan Nil ini sudah masuk kepada musim sejuk yang memerlukan mujahadah yang lebih berbanding musim-musim yang lain saya kira.
Semalam selepas usaha untuk membuat mulakhas (ringkasan) Kitab Munthalaq semakin menampakkan hasilnya,setelah berhempas pulas untuk menjayakan usaha ini,saya merasakan memang "perit' sebenarnya untuk "meringankan benda yang berat".
Betullah nasihat yang diberikan kepada saya bahawa kerja-kerja akademik memang susah walaupun ianya nampak mudah,terima kasih saya ucapkan kepada Ustaz Fahmi atas nasihat ini,saya kira sangat berguna.Kena lebih prihatin dan Itqan.
Semalam kepala saya terasa berat dan terbeban sekali, banyak persoalan dan perkara yang memerlukan jawapan. Perkongsian bersama-sama sahabat banyak memberi kesan kepada diri saya. Sehingga akhirnya persoalan keluar daripada fikiran saya “ Apa yang perlu aku buat sekarang?” Allahuakbar..
Inilah masalahnya apabila terlalu banyak kejahilan. Ulwan, banyakkan membaca lagi !
Untuk posting kali ini sebenarnya saya ingin membawa satu analogi dan mahu sahabat-sahabat sekalian bayangkan apabila kita berada di atas sebuah kapal, dan belayar ke arah Kutub Utara yang penuh dengan bongkah-bongkah ais,kita hanya melihat bongkah ais yang berada di permukaan lautan. Dan bongkah ais di atas lautan kecil sahaja kan, pasti kita tidak nampak bongkah ais yang berada di bawah permukaan lautan, yang 10 kali ganda lebih besar lagi keras.
Kepada yang pernah melihat Filem Titanic akan dapat membayangkannya..
Bongkah ais dipermukaan ini saya analogikan sebagai sikap dan bongkah ais di bawah permukaan adalah pemikiran/fikrah yang merupakan struktur bawahan yang menimbulkan bahagian bongkah atasnya.
Saya berkomunikasi dengan manusia contohnya, samada yang mempunyai agenda baik atau tidak, sering bersangka buruk malah suka menceritakan tentang keburukan orang lain dihadapan masyarakat, mereka yang suka mempertikaikan gerak kerja,mengkritik dan mengutuk peribadi tanpa langsung mempedulikan perasaan orang lain, bergembira atas kesakitan orang lain, suka menyalahkan orang lain tanpa menyedari kesalahan sendiri dan banyak lagi.
Ada yang mengkritik seolah-olah menafikan terus segala kebaikan yang dilakukan oleh mereka yang dikritik.Dan akhirnya saya stress.
Mengapa perlu stress jika saya tahu analogi bongkah ais ? Bahawa sikap seseorang terbentuk daripada pemikiran dan pemikiran/fikrah ini terbentuk daripada kefahaman mereka. Dan kefahaman ini didasari jawapan matlamat diri dicipta iaitu ”tujuan hidup”. Jika manusia itu tahu tujuan kehidupan, maka mereka akan memahami apa peranan mereka di dunia ini. Dan jika manusia itu tahu betapa dunia ini akan berakhir antara syurga dan neraka.
Selepas saya memahami konsep bongkah ais ini, setiap kali saya termenung melihat sikap manusia yang pelbagai, saya mula melontarkan persoalan pada diri, ”Apakah tujuan hidupnya sehingga dia bertindak sedemikian ?” Dan setiap kali saya berhadapan dengan mehnah, saya akan tanyakan soalan asas ini kepada manusia.
Berfalsafahkah ? Soalan-soalan asas inilah yang mungkin tidak akan memberikan jawapan secaral vokalnya, namun cukup memukul jiwa dan nurani tentunya. Fahamlah saya bahawa tiada guna menghukum manusia kerana sikap mereka, kerana keunikan manusia itu adalah sentiasa merasakan diri adalah yang benar.
Sebab itulah Hasan Hudhaibi menulis tentang kita pendakwah bukannya penghukum.Satu nasihat dan teguran kepada pendakwah agar lebih berhati-hati dalam mendepani masyarakat yang pelbagai ragam.Jangan cepat melatah dalam melakukan segala gerak kerja.
p/s:sekadar perkongsian sebab sudah lama tak menulis..moga ini menjadi titik tolak untuk terus istiqamah dalam menulis.
Posted by Ahmad Ulwan b Hassim
in Sunday, August 15
Sejak akhir-akhir ini saya lihat berbagai-bagai isu yang telah berlaku di Malaysia,terutamanya isu yang berkaitan dengan golongan muda/mahasiswa.Saya sempat mengikuti perkembangan isu semasa yang berlaku di Malaysia daripada sumber-sumber internet ataupun mendapat maklumat daripada sahabat-sahabat di Malaysia sendiri.
Isu yang saya kira menarik untuk saya perkatakan disini adalah timbulnya isu kebenaran mahasiswa/i untuk melibatkan diri dalam politik dan kabinet telahpun bermesyuarat untuk membincangkan tentang cadangan ini.
Keputusannya status quo. Mahasiswa tetap terlarang untuk terlibat dengan politik. Secara tersiratnya, kabinet turut mengakui bahawa mahasiswa masih tidak matang.
Baru-baru ini juga saya diberi kesempatan untuk melihat video rakaman TV 3 dalam rancangan Soal Jawab yang membincangkan soal ini (lihat sini).Secara peribadi cukup kecewa apabila mantan Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah menyifatkan mahasiswa Malaysia sebagai tidak matang.
Saya tidak pasti apakah definisi matang menurut Tan Sri. Adakah dengan memiliki beberapa buah banglo besar dan berjawatan tinggi serta mampu menabur wang kepada para pengikut untuk memenangi sebarang jawatan parti baru layak dianggap matang?
Walau apapun tafsiran beliau tentang tahap kematangan mahasiswa, kenyataan itu saya kira tetap keterlaluan dan menghina anak bangsa sendiri.Tan sri secara sedar ataupun tidak, telah merumuskan bahawa anak-anak bangsa Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di peringkat yang tinggi sebagai tidak matang dan tidak layak lagi berpolitik.
Suatu rumusan yang boleh disifatkan sebagai tragis dan memilukan.
Saya kira mahasiswa khususnya yang mengaku aktivis perlu memandang serius terhadap kenyataan ini.
Selain tuduhan ini juga, mahasiswa di Malaysia telah dikhianati dengan penafian hak untuk bergerak secara fitrah sebagaimana mahasiswa-mahasiswa di luar negara. Kewujudan AUKU adalah hantu yang akan terus membelenggu.
Jika di luar negara pula,saya khususkan di Mesir ini,walaupun disini mahasiswa tidak diugut atau dikhianati dengan AUKU,akan tetapi mereka diugut pula dengan penarikan zakat atau tajaan yang sememangnya menjadi hak mahasiswa sebagai penuntut ilmu,akan tetapi inilah hakikat yang berlaku.
Sekatan demi sekatan yang dikenakan kepada mahasiswa untuk membonsaikan minda mahasiswa itu sendiri.
Mahasiswa seharusnya diberikan ruang dan peluang agar dapat bertindak dan berperanan dengan lebih proaktif, sebagai agen yang boleh menjadi sebahagian daripada team "check & balance" iaitu semak dan imbang, bersuara memberikan pandangan, menyumbang idea dan sumbangsaran yang lebih baik kepada pihak kerajaan.
Rasionalnya, kewujudan AUKU atau isme-isme yang berbentuk ugutan ini telahpun menyekat peranan ini.
Apa yang perlu kita sedari adalah mahasiswa ibarat satu golongan yang menjadi elemen penyedar dalam masyarakat,mampu melihat kebenaran serta kesilapan dasar negara.
Mereka juga menjadi harapan rakyat awam dan juga menjadi kumpulan pendesak yang berkesan kepada persekitaran negara dan masyarakat.
Jhon Thyler Hammons, Datuk Bandar US yang dipilih pada usia lewat belasan tahun,Mereka punyai ruang yang luas untuk berperanan membangunkan negara ketika masih muda.
Ini tidak bermaksud supaya mahasiswa menghabiskan masanya dengan berpolitik sehingga mengabaikan pengajian,akan tetapi mahasiswa perlu diberi peluang untuk bepolitik,dalam erti kata yang lain sebagai policy marker seperti mana orang muda di Barat,mereka sudah mula diberi peluang untuk bersama-sama berusaha dalam kemajuan negara.
Jika mahasiswa masih lagi dianggap sebagai tidak matang,bagaimana kesinambungannya dengan kata-kata ulamak bahawa pemuda sekarang adalah pemimpin masa hadapan?
Posted by Ahmad Ulwan b Hassim
in Wednesday, August 11
Selepas usai solat subuh,saya melemparkan jauh pandangan saya merenung dan menghayati ketenangan pada pagi 1 Ramadhan di Hayyu Asyier.Sambil memerhati gelagat masyarakat-masyarakat disini memulakan paginya di sekitar Suq Sayyarat.
“Wan termenung jauh nampak,teringat orang tersayang kat Malaysia ker?usik sahabat saya.
Saya hanya tersenyum.
“Tak der la”jawab saya ringkas.
Sebenarnya saya memikirkan dan berdoa kepada Allah moga memberi Ramadhan yang terbaik kepada saya pada tahun ini.Moga saya dapat menggunakan kesempatan berpuasa di Mesir ini dengan sebaiknya.
Tahun ini merupakan tahun pertama saya menjalani ramadhan di kota yang kaya dengan khazanah sejarah Islam,bumi Mesir Ardul Kinanah.Apa yang saya harapkan agar momentum Ramadhan di perantauan kali ini memberikan erti yang sebaiknya untuk saya.
Kata senior, pada bulan Ramadhan,Kaherah akan tampak meriah dengan lampu yang bergemerlapan, berwarna-warni menandakan kemeriahan Ramadhan sudah dirasai.
Sana sini kedengaran alunan Zikrullah mendayu-dayu. Kemeriahan Ramadhan di Bumi Kinanah menyingkap rasa takjub dalam hati terhadap 1001 rahsia kemuliaan bulan Ramadhan sebagai belas kasihan sang Pencipta terhadap makhluk-NYA.
Ramadhan ibarat pohon yang rendang untuk dijadikan tempat berteduh setelah perjalanan 11 bulan yang panjang, meniti liku-liku hidup yang penuh dengan ujian dan cabaran.
Bukan bermakna Ramadhan adalah bulan rehat,akan tetapi bulan Ramadhanlah bulan untuk meningkatkan semangat kerja untuk Islam….ya..kerja dan terus bekerja untuk Islam.
Dalam mata asyik memerhati sekeliling, hati berbicara,“Alangkah bertuahnya kamu wahai ulwan, saat ini kamu berada di bumi yang berkat ini“.
Indahnya biah masyarakat Mesir dalam menghidupkan bulan Ramadhan. Mengapa tidak budaya ini yang kita ikuti dan dibawa ’bekal’ ketika pulang ke Malaysia. Dalam kesesakan dan kesibukan manusia di dalam bas, dalam kesibukan manusia berniaga di pasar-pasar, kelihatan tangan-tangan tidak lepas daripada memegang kitab suci.
Kelihatan bibir-bibir kering tidak lekang daripada menyebut kalimah-kalimah dari kitan suci itu. Yang tua mahupun yang muda, yang berdiri mahupun yang sedang duduk, semuanya berlumba-lumba untuk mendapatkan rahmat yang dijanjikan. Pemandangan yang amat menyenangkan mata dan hati.
Inilah buktinya cinta..ya..cinta untuk mendapatkan rahmat dari sang Pencipta.
Masakan tentara Islam pada perang Badar memperolehi kejayaan di bulan Ramadhan jika bukan kerana cinta.
Ya..cinta mereka kepada redha Kekasihnya.
Mereka merasa nikmat cinta yang luar biasa saat orang kebanyakan tidak memahami keindahan cinta pada Tuhannya. Cinta agung itu terasa semakin hangat dan indah saat mereka merintih di malam hari mengadu kepada sang Pencipta, lalu hanyut dalam kedamaian jiwa saat membaca kalam Tuhannya.
Inilah produk manusia yang tinggi kualitinya dan teguh peribadinya. Cinta sejati yang mereka rasakan melahirkan kesanggupan untuk berkorban apa juga demi Ilahi. Ia tidak membuatkan mereka lemah, bahkan menjadi semakin produktif.
Akan hal inilah,bulan Ramadhan dipanggil jua dengan bulan Jihad,bulan tarbiyah.Disebabkan cinta..
Merupakan fitrah manusia ,ingin mencintai dan dicintai. Cinta yang pasti berbalas daripada Ilahi adalah suatu nikmat yang tidak ternilai dengan apa jua didunia ini. Cinta agung yang dapat membuatkan kita menjadi luar biasa dalam kehidupan di tengah masyarakat yang ketandusan cinta dalam ertikata yang sebenar.
Kadang-kadang cinta itu indah bila dilampiaskan kepada manusia,ya itu memang tidak dapat dinafikan namun keindahannya pasti akan pudar jua. Akan tiba masa benda yang dicintai akan pergi meninggalkan kita.Ia akan lenyap dan tidak akan kekal.
Namun, Allah yang kita cintai takkan pernah musnah dan hancur. Dia sentiasa hidup dan tidak mati. Dialah yang paling besar dan paling agung, paling berkuasa dan pentadbir sekalian alam.
Ramadhan datang dengan penuh erti buat mereka yang tahu menghargai dan menghayati. Ia adalah satu perangsang kepada hati untuk semakin dekat kepada Ilahi, dan perangsang manusia menggapai cinta sejati.
Bukan hanya sepanjang Ramadhan, tetapi momentum tadi hendaklah terus dihayati hingga melepasi
Ramadhan dan dipertingkatkan lagi menjelang Ramadhan seterusnya.
Carilah cinta sejati yang akan membawa kita melayari kehidupan yang lebih bererti dan lebih terisi. Jangan sampai kita dikaburi dengan cinta yang merosakkan hidup dan memusnahkan matlamat dan cita-cita.