Pada mulanya saya agak pelik dengan pengisytiharan Ikhwan Muslimin secara rasmi bersama pakatan beberapa parti politik yang lain untuk menyertai perhimpunan jutaan rakyat Mesir yang akan diadakan esok (18 November 2011).

Satu perhimpunan besar-besaran di Medan Tahrir yang akan menghimpunkan jutaan rakyat Mesir yang dinamakan perhimpunan " جمعة حماية الديمقراطية " (Jumaat Melindungi Demokrasi).

Perhimpunan ini diadakan adalah kesinambungan daripada perjumpaan yang diadakan pada 13 November lalu yang dihadiri oleh Ikhwan Muslimin, parti-parti tahaluf Demokrathiyyah liajli Misr (18 parti) termasuk Hizbul Hurriyyah wal 'Adalah, 7 orang calon-calon presiden dan juga beberapa NGO lain. Perjumpaan tersebut membincangkan berkenaan perjalanan pilihanraya Mesir yang dirasakan ada pihak-pihak yang cuba menggagalkan perjalanan demokrasi tersebut.
Perjumpaan yang dibuat pada 13 November yang lalu

Gabungan itu menegaskan bahawa ia berpegang teguh kepada dokumen panduan yang telah dipersetujui dokumen Al-Azhar, dokumen parti, dan ia akan mengambil bahagian dalam melindungi demokrasi yang merupakan matlamat yang paling penting dalam revolusi 25 Januari.

Antara fokus penting yang hendak dicapai dalam perhimpunan esok adalah ;

1)    Menolak ketenteraan negara dan menolak segala bentuk jagaan institusi yang akan datang. Mereka juga menolak dan minta dimansuhkan secara keseluruhan dasar-dasar perlembagaan yang dibentuk melalui “Dokumen el-Selmi
2)    Jadual waktu untuk penyerahan kuasa kepada kerajaan pilihan rakyat selewat-lewatnya April 2012.

Jika sebelum ini IM dilihat sebagai mengambil jalan hanya menumpukan usaha menggiatkan kempen bagi menghadapi pilihanraya tidak lama lagi, tetapi keputusan rasmi yang dikeluarkan baru-baru ini sedikit berbeza apabila bersedia untuk menyertai perhimpunan tersebut kerana ia berkaitan dengan kedudukan kuasa tentera apabila kerajaan baru dibentuk tidak lama lagi.
Hal ini kerana, mengikut persepsi awal bahawa IM melalui Hizbul Hurriyyah wal ‘Adalah sedang mendominasi hati rakyat melalui tahaluf siyasiy yang dibuat bersama parti lain dengan nama Tahalluf Dimokrathiyyah Liajli Misr.
" جمعة حماية الديمقراطية " (Jumaat Melindungi Demokrasi)

Saya membuat andaian bahawa strategi yang cuba digunapakai oleh “para perosak” revolusi 25 Januari yang lalu melalui “Dokumen el-Selmi” adalah sama dengan apa yang telah berlaku di Turki setelah kejatuhan Kamal Attaturk yang menjadikan kuasa tentera boleh menggugat kerajaan yang baru untuk mengekalkan dasar sekular.

“Dokumen el-Selmi” yang meletakkan kuasa tentera sebagai penyelamat  diatas  perlembagaan sepertimana yang pernah berlaku di Turki. Dengan dokumen ini, membolehkan pihak tentera untuk membubarkan parlimen jika kerajaan sedia ada kelak dilihat melanggar atau menyalahi perlembagaan.

Jika dilihat kepada sejarah di Turki, tentera Turki melakukan rampasan kuasa pada 1960, 1971 dan 1980 disebabkan kuasa tentera pada ketika itu boleh menggugatkan kerajaan yang ada ketika itu. Pada 1997, tentera mengetuai kempen yang memaksa peletakan jawatan kerajaan parti Islam pertama yang diketuai mentor Erdogan, Necmettin Erbakan. Begitu juga dengan beberapa operasi ketenteraan yang dilakukan seperti Operasi Sledgehammer yang dilihat berbahaya kepada kerajaan yang baru.

Oleh kerana itu, tindakan atau desakan yang dibuat terutamanya di dalam perhimpunan esok dilihat satu usaha untuk memberi amaran kepada pihak ketenteraan agar menyerahkan kerajaan secepat mungkin kepada pilihan rakyat.

Hal ini untuk mengelakkan sejarah yang berlaku di Turki tidak akan berulang sekiranya golongan Islamis memenangi pilihanraya Mesir yang dijangka 28 November nanti untuk fasa yang pertama.