Masyarakat dunia masih mengingati pembunuhan beramai-ramai hingga mencecah bilangan puluhan ribu oleh Hafez Al-Asad di Hama tanggal 1982 yang lalu. Dia bukannya tokoh yang lebih lunak berbanding dengan Saddam Husein, tetapi kenapa Iran terus menerus menyokong golongan minoriti Nusairi yang menguasai Syria ini?. Kecuali kedua-dua pihak ini mempunyai persamaan, yakni pegangan mereka bertentangan dengan golongan majoriti Syria yang berpegang kepada aqidah Ahlu as-Sunnah.

Sejarah memperingatkan kita tentang Sultan Salahuddin al-Ayubi, tokoh yang dipilih oleh Allah untuk mengambil balik Palestin dari tangan kekuasaan tentera salib dari Eropah. Sultan Salahuddin telah menyerang dan menundukkan Mesir yang dibawah pemerintahan Syiah Fatimiyyah terlebih dahulu sebelum beliau berjaya menumpaskan kekuatan tentera Salib di Palestin.

Sultan Solahuddin bukannya diperdaya oleh tentera Salib ketika baginda mengambil keputusan untuk menyerang Mesir. Begitu juga penentangan rakyat Syria terhadap pemerintah Syiah Nusairi di Syria tidak perlu dilihat sebagai tipu daya pihak Israel. Bahkan ianya merupakan luahan rasa marah rakyat terhadap golongan minoriti Syiah Nusairi Baathi yang menguasai pemerintahan yang menekan rakyat sendiri.

Adapun bumi dan rakyat Syria secara keseluruhannya adalah bumi ummah Islam Ahlu as-Sunnah, lahir dari bumi yang penuh keberkatan ini begitu ramai ulama dalam pelbagai kepakaran sepanjang zaman. Bahkan ianya menjadi tanah kubur bagi beberapa sahabat Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam, umpama Abu Hurairah, Khalid al-Walid, Bilal, Abu Darda dan ramai lagi. 

Ianya juga merupakan tanah kubur Sultan Salahuddin al-Ayubi, ulama tasawuf umpama Imam Ibnu ‘Arabi dan Imam Abdul Ghani an-Nablusi, ianya tanah kubur Imam Nawawi dan Imam Ibn Kathir, ianya tanah kubur Imam Ibn Taimiyyah dan Imam Ibn Asakir.

Begitupun sekiranya airmata sayu belum kering di pipi-pipi kita mengenang musibah yang menimpa saudara-saudara seagama kita di bumi Syria, yang disalahkan adalah Israel. Sekiranya kita bertanya adakah pembunuhan terhadap rakyat yang dilakukan di zaman Hafez Al-Asad dan sekarang ini oleh anaknya itu dilakukan untuk melemahkan Israel, atau akan merugikan Israel?

Buku ini yang saya nukilkan bersama ustaz Abdul Malik Abdul Karim ini adalah sekadar menceritakan cebisan kesengsaraan mereka di bumi bertuah itu. Kesengsaraan mereka dibisukan dunia hampir sekian lama.

Semoga ia memberi kebaikan dan kefahaman serba sedikit kepada kita terhadap keperitan yang berlaku di Syria. Buku ini hanyalah untuk pasaran Mesir dan karya yang akan dipasarkan di Malaysia, insya-Allah akan ditukang bersama Ustaz Riduan Mohd Nor.