Tanggal 15 Mac 2013 yang lalu, genap dua tahun perjuangan rakyat Syria menuntut hak mereka yang telah dizalimi rejim Asad. Hak sebagai rakyat majoriti di Syria telah dinafikan oleh pemerintahan keluarga Asad yang berfahaman Nusairi berpuluh tahun lamanya. Dalam tempoh dua tahun mereka berhempas pulas menuntut sebuah kebebasan, lebih 50 ribu syahid, 40 ribu yang ditangkap dan lebih sejuta yang menjadi pelarian. 

    Melalui laporan yang dikeluarkan oleh The United Nations Children’s Fund (UNICEF), negara tanah Arab yang menerima pelarian Syria paling ramai adalah Jordan iaitu 324 534 orang diikuti negara Lubnan 322 297 orang. Namun sehingga kini, seolah-olah tidak ada suatu kesepakatan dalam kalangan negara umat Islam untuk menyelesaikan krisis yang berlaku di Syria. Terutamanya pertubuhan Islam OIC yang berperanan sebagai pertubuhan yang mampu menyelesaikan krisis di negara umat Islam, namun ia seakan-akan hanya diibaratkan ‘menanam tebu dibibir’.

Sokongan Dunia Islam dan Barat

    Walaupun hanya sebahagian negara umat Islam yang menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Syria, namun mereka semakin menuju kemenangan. Dengan usaha gigih yang dilakukan oleh Nation Coalition Of Syrian Revolution And Opposition Forces yang dipimpin oleh Moaz Khatib untuk mendapatkan sokongan luar terutamanya Barat terhadap perjuangan Syria semakin menampakkan hasilnya.

    Sehingga kini, beberapa buah negara umat Islam seperti Mesir, Arab Saudi dan Turki termasuk beberapa buah negara di Barat yang telah mengiktiraf pakatan pembangkang ini sebagai wakil sah rakyat Syria. Sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah akhbar Arab Saudi ‘El-Madinah’ berkenaan tindakan Liga Arab yang memberikan kerusi keanggotaan negara Syria kepada pakatan pembangkang merupakan satu tamparan hebat kepada rejim Basyar.

    Dalam keadaan pegawai-pegawai tertinggi rejim Basyar yang telah bersama-sama perjuangan rakyat semakin meningkat. Ia menjadikan kekuatan dalaman rejim semakin lumpuh yang hanya menanti belah. Sehinggakan, sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar rasmi rejim Basyar sendiri bahawa Basyar terpaksa menawarkan kenaikan pangkat kepada pegawai-pegawai tentera untuk menyelesaikan ‘pembelotan’ yang semakin meningkat ini.

Mujahidin FSA Semakin Mara

    Jika dilihat perkembangan di dalam Syria pula, Free Syrian Army (FSA) semakin terkehadapan dan mencapai kejayaan dalam kebanyakan operasi yang dilakukan untuk menawan kawasan-kawasan yang dikuasai oleh rejim. Beberapa hari yang lalu, jurucakap mujahidin FSA mengumumkan mereka berjaya membebaskan halangan ke 14 di sempadan Lubnan-Syria. 

    Disamping itu, mujahidin berjaya membunuh beberapa lagi tentera Hezbollah dan berjaya menyerang berek tentera Pengawal Republikan & briged ke 4 di Khan Wormwood di pinggir Dimasyq. Menurut kenyataan tersebut, lebih daripada satu ribu mujahidin FSA berjaya masuk ke Khan Syekh, kira-kira 25 kilometer dari Bukit Golan. 

    Kini mujahidin FSA berjaya memasuki satu lembaran baru bila berjaya menghampiri kawasan paling sensitif yang berada antara Dimasyq dan Bukit Golan. Sebelum daripada ini, rejim menempatkan pasukan tenteranya di sebuah gunung yang berhadapan dengan Khan Syekh pasukan. Tentera tersebut dilengkapi roket jarak jauh untuk menghalang kemaraan mujahidin FSA ke sekitar lembah Golan. Sehingga kini, wilayah yang berjaya dikuasai sepenuhnya oleh mujahidin semakin meningkat seperti di Halab, Hama dan Dimasyq. 

Ke Arah Demokrasi

    Pada 1 hingga 3 Mac, satu persidangan dan pilihanraya Local Administration Council of Aleppo telah diadakan di Gaziantep, Turkey 40 kilometer dari sempadan Syria berikutan isu keselamatan iaitu serangan terbaru yang dilakukan oleh tentera Assad, menggunakan roket Skud. Ia merupakan satu pilihanraya yang dilakukan oleh rakyat Syria di Halab bagi memilih dan membentuk Majlis Tempatan Wilayah Halab, pilihanraya pertama selepas revolusi Syria dua tahun lepas. Seramai 225 wakil daripada setiap kawasan Halab, yang datang dari dalam Syria untuk menghadiri konferens ini seterusnya membuang undi pada pilihanraya kecil Halab.

    Wilayah Halab dibahagikan kepada 5 bahagian iaitu Utara Halab, Selatan Halab, Timur Halab, Barat Halab dan Bandar Halab. Wakil yang terdiri daripada 224 orang itu akan mengundi bagi memilih 25 orang bagi kerusi Bandar Halab dan 29 orang bagi kerusi Wilayah Halab.  Daripada 54 orang yang memenangi kerusi ini akan memilih seorang gabenor dan 10 orang exco yang akan memegang badan masing-masing seperti badan kesihatan, pendidikan, kecemasan, kejuruteraan, perkhidmatan air dan elektrik, kebersihan dan ekonomi. 

    Dilaporkan empat kuasa yang terpisah daripada majlis ini adalah badan kehakiman, media, FSA dan pihak pengaman polis. Jelasnya, Majlis Tempatan Halab ini bukannya mewakili mana-mana pihak seperti mujahidin FSA, ianya adalah daripada rakyat awam Syria sendiri.   

  Walaupun pilihanraya tersebut tidak begitu sempurna dan masih jauh daripada proses demokrasi kerana tidak mewakili seluruh penduduk Halab dan tiada masa untuk calon berkempen, namun ini adalah satu langkah awal ke arah proses pendemokrasian Syria. Halab telah memulakan langkah ini, dan seterusnya akan diikuti oleh wilayah-wilayah lain di Syria.  

Syria Yang Baru

  Proses pilihanraya ini juga bagi menolak persepsi penganalisis politik dunia yang mengatakan bahawa sekiranya rejim Asad jatuh, Syria juga akan menghadapi masalah kerana perpecahan yang berlaku di dalam tentera dan tiada pengalaman demokrasi sebelum ini.

    Pilihanraya ini adalah mesej kepada Basyar Asad dan seluruh dunia bahawa rakyat Syria sudah sedia ke arah negara yang demokrasi. Jika sebelum ini mereka mampu hidup tanpa diskriminasi, tak pernah ada masalah di antara Islam dan Kristian, Arab dan Kurdi. Mereka telah langkah satu tapak ke hadapan demi membina sebuah Syria yang baru.