Posted by Ahmad Ulwan b Hassim
in Tuesday, October 18
|
Kenangan Muktamar PMRAM yang lalu |
Esok (19 Oktober 2011) akan berlangsungnya Ijtima’ HEWI KPT Mesir kali ke 11 dan insya-Allah pada 20 Oktober 2011 akan berlangsung pula Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) penuh bagi sebuah gerakan mahasiswa Islam yang menaungi mahasiswa Terengganu khususnya di Perlembahan Nil ini iaitu Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) kali ke 47.
Hakikat MAT adalah tempat bermuhasabah
Sesuatu yang kita sedia maklum, sudah menjadi fitrah bahawa di dalam Mesyuarat Agung pasti ada perbahasan dan khilaf. Hakikatnya perbezaan pandangan adalah perkara biasa, maka janganlah terlalu pelik dengannya. Bahkan kritikan dan nasihat juga perkara biasa. Dan saya bersedia untuk dikritik.
Maka sebaiknya jadikan MAT kali ini sebagai medan menasihat dan mengkritik, serta memberi pandangan, cuma perlulah didasari dengan adab. Para ulama' telah membuat huraian yang panjang berhubung dengan persoalan adab dalam ikhtilaf.
Namun adab hanya akan diikuti bila mana adanya tasawur yang jelas terhadap apa yang diikhtilafkan. Sebagai sebuah persatuan mahasiswa Islam, ikhtilaf hendaklah berjalan di atas landasan ukhuwah, bukan kebencian dan memandang rendah kepada sahabat.
Ikhtilaf boleh berlaku dalam kalangan pimpinan dan pengikut demi memperkukuhkan persatuan, ia akan lahir setelah adanya sikap hormat kepada perbezaan pandangan, kerana kemampuan berfikir manusia tidak sama. Jika ia difahami sedemikian, perbezaan pendapat itu sangat perlu.
|
Bersama-sama sahabat exco semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KPT Mesir |
Terima kasih buat sahabat pimpinan
Sepanjang keberadaan saya di dalam KPT Mesir untuk sesi ini, banyak perkara yang saya pelajari. Ternyata, berpesatuan di Mesir banyak keunikannya yang tidak mungkin untuk kita perolehi di Tanah Air, medan bercakap dengan tindakan itu begitu mencabar berbanding medan bercakap dengan lisan.
Ribuan terima kasih juga saya ucapkan kepada sahabat exco yang banyak membantu saya di dalam mengelola bahtera KPT Mesir. Saya akui terlalu banyak kesilapan yang dilakukan, namun apabila berada di dalam sebuah gerakan, segalanya terasa indah apabila dibantu dan dikuatkan oleh para sahabat yang lain. Pelbagai cerita suka duka, tawa dan tangis dirakamkan dalam keriuhan suasana mesra.
Itulah keindahan perjuangan Islam. Kita membina ukhuwah islamiah dalam persatuan mengatasi kepentingan peribadi. Kemanisan perjuangan ini tentulah tidak lahir secara spontan, bahkan ianya lahir melalui tarbiyah samada secara formal atau secara tidak formal.
Saya kira semua sangat sayangkan suasana ukhuwah ini, kerana kita yang bersama dalam perjuangan di dunia mengharapkan agar Allah mengumpulkan kita dalam majlis yang diredhai-Nya di akhirat. Insya-Allah.
KPT Mesir terus maju kehadapan
Sejak KPT Mesir ditubuhkan pada tahun 1964, saya kira sudah banyak pahit manis dilalui oleh persatuan yang telah memakan usia hampir 47 tahun ini. Saya kira ia semakin matang dalam menghadapi segala mehnah dan ujian.
Pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh KPT Mesir dalam menjamin kebajikan mahasiswa Terengganu dari pelbagai sudut. Walaupun mungkin ada kelompongan, tetapi bukanlah menjadi hujah bagi menafikan komitmen kita kepada kesatuan yang dibina ini.
Sejak kebelakangan ini juga saya melihat, KPT Mesir bukan sahaja berjaya beraksi digelanggannya sahaja, malah telah berjaya mengeratkan lagi hubungan diplomasinya yang telah sedia terjalin diperingkat yang lebih besar terutamanya dengan agensi kerajaan seperti Yayasan Terengganu, MAIDAM dan sebagainya.
Ia ibarat sebagai wasilah untuk menyampaikan suara mahasiswa ke peringkat lebih tinggi demi kebaikan bersama. KPT Mesir juga pernah menghantar memorandum ke peringkat kerajaan negeri berkenaan tindakan pegawai HEP yang bertugas secara tidak profesional.
Tindakan ini bagi saya bukanlah untuk menjatuhkan mana-mana pihak tetapi inilah peranan gerakan mahasiswa, ia ibarat seorang pemegang cemeti yang akan merotan mana-mana pihak yang melakukan kesilapan. Menegur dan menasihati demi kebaikan bersama.
Inilah yang saya harapkan. Gerakan mahasiswa perlu ada idealismenya yang tersendiri tanpa perlu dikongkong sehingga mematikan idealisme seorang mahasiswa.
Apa yang saya kagum juga adalah sebenarnya kesatuan kita ini didokongi oleh ahli yang ikhlas, mereka tidak mengharapkan sebarang jawatan, tetapi berusaha berkerja tanpa sebarang upah untuk menjaga kesatuan ini. Semoga Allah merahmati kalian semua.
Kita sedar musuh amat cemburu dengan muafakat kesatuan yang kita ada. Mereka cuba memecahkan perpaduan kita, mereka cuba mewujudkan puak-puak diantara kita, kerana itu kita harus sedar agar tidak menjadi jurucakap bagi pihak musuh.
Teruskanlah membina kekuatan ini, usah padamkan perbezaan pandangan yang wujud tetapi uruskanlah ia dengan baik supaya ia menjadi pelengkap kepada kesatuan ini.
|
Mahasiswa perlu berani mepertahankan hak, jangan bacul mempertahankan hak. |
Wasiat untuk pimpinan baru
Tahniah dan takziah saya ucapkan kepada semua calon-calon exco di peringkat siswa mahupun siswi yang telah terpilih untuk bertanding bagi meneruskan rantai perjuangan yang telah dimulakan oleh generasi terdahulu. Begitu juga dengan barisan exco yang akan kekal, saya ucapkan tahniah dan takziah untuk kalian semua.
Tahniah kerana anda diberi peluang untuk menambahkan saham akhirat kalian dan juga mempunyai ruang terbaik bagi berbakti kepada perjuangan Islam ini sekaligus berpeluang memeliharanya dari segala elemen yang meruntuhkan perjuangan dan melunturkan daya juang. Takziah kerana ianya adalah satu amanah yang berat untuk dipikul.
Andainya kita tahu apa yang menanti kita di akhirat, tentulah akan disambut dengan tangisan dan dukacita, kerana itulah wasiat Rasulullah: "Sesungguhnya jawatan ini adalah amanah, dan ianya diakhirat adalah dukacita dan penyesalan."
Kalaulah tidak kerana perjuangan Islam yang dijanjikan kemenangan di akhirat, tentulah tiada siapa yang teringin akan jawatan ini. Maka perbetulkan niat kalian di awalnya, insya-Allah perjalanan mendatang akan dipandu oleh Ilahi.
Ada beberapa perkara yang ingin saya sebutkan secara ringkas berkenaan elemen yang perlu untuk ditekankan apabila berada dalam persatuan. Yang pertama, perlu diingatkan apabila berada di dalam persatuan antara elemen yang penting adalah berterus terang dan pimpinan juga perlu bijak mengatur posisi jawatan. Ia ibarat memainkan alatan muzik, jika kena pada iramanya nescaya enak bunyinya.
HEWI semakin mengagumkan
Sejak sekian lamanya, mahasiswi di Mesir sering dimomokkan dengan teguran yang mengatakan bahawa mahasiswi Mesir terutamanya tidak terkehadapan berbanding mahasiswi yang berada di Tanah Air.
Tetapi sebenarnya saya kagum dengan siswi Mesir yang memainkan peranan mereka tepat pada posisinya. Ini bermaksud, jangan kerana hujah ingin terkehadapan sehingga kita lupa akan nilai sebagai seorang muslimah. Jangan dek kerana ingin mengambus tuduhan siswi Mesir tidak terkehadapan sehingga kita terpedaya dengan pemikiran golongan feminisme yang ingin menyama tarafkan antara lelaki dan perempuan. Hakikatnya siswi ada posisinya yang perlu mereka duduk.
Sangat tepat saya kira usaha berterusan yang dilakukan oleh HEWI KPT Mesir khususnya dalam mendepani isu ini. Pelbagai usaha diatur sebagai contoh program yang dapat membina tenaga pengisi dalam kalangan siswi. Begitu juga dengan program Gempak Mujahidah dan sebagainya yang dapat membina jati diri siswi sesuai dengan nalurinya.
Walaupun mungkin ia memerlukan masa, tetapi Dr Yusuf al-Qaradhawi pernah menyebut dalam kitabnya “Khasaisul Islam” bahawa dalam Islam sangat menekankan berkenaan sunnah tadarruj (melakukan sesuatu perkara secara berperingkat).
Saya yakin, jika ia dapat diteruskan lagi pada sesi akan datang dengan beberapa penambahbaikan maka “siswi terkehadapan” akan berjaya diterjemahkan sebagaimana sepatutnya yang telah gariskan oleh Islam.
Menjadi anak panah demi kesatuan ini
Hakikatnya menulis sangat mudah, tetapi untuk melaksanakannya cukup mencabar. Tetapi saya yakin kepimpinan yang akan datang jauh lebih hebat dan keyakinan saya tinggi bahawa kesatuan ini akan lebih maju dimasa akan datang.
Walaupun dimana sahaja posisi yang saya akan duduk pada sesi akan datang, saya akan tetap bersama, belajar dan terus belajar dengan kesatuan ini. Saya akan sentiasa ingat kata-kata Saad Bin Abi Waqas RA ini, ” Aku merupakan panah daripada panah-panah Islam, tujukanlah aku dimana saja yang engkau inginkan”. Semoga Allah memandu segala perjalanan kita. Wallahul musta’an.
Terima kasih Allah kerana memberi peluang saya terbang ke alam lain untuk sesi akan datang.