اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ
“Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk)"
Wahyu pertama yang diturunkan kepada sang nabi ini tentu sangat menakjubkan. Jika dilihat daripada pelbagai sudut, ia adalah sesuatu yang menakjubkan, kerana Allah memilih fokus tertentu di antara ribuan ayat yang terkandung dalam al-Quran dan memulainya turun dengan ayat di atas.
Sedangkan Nabi adalah seorang yang ummi, tidak tahu membaca dan menulis. Hal ini menunjukkan sangat jelas bahawa fokus pertama ini adalah merupakan kunci memahami agama, kunci memahami dunia, bahkan kunci untuk mencungkil segala rahsia akhirat.
Tetapi memang menghairankan, bagaimana umat yang tahu bahawa perintah pertama agamanya adalah iqra’ (baca), tiba-tiba ditimpa kelesuan dalam pembudayaan ilmu. Hal ini mungkin berlaku kerana kegagalan mereka menyingkapi segala rahsia di dalam al-Quran secara menyeluruh.
Rata-rata membaca hanya dengan motif ta’abuddiy semata-mata dan juga sekadar ritual mencari pahala. Kegagalan melakukan pembacaan secara produktif akan mengakibatkan kebekuan intelektual dan kelesuan daya maju dek kerana gagal mentadabbur al-Quran dengan baik.
Mungkin sebab yang lain pula adalah kegagalan sistem pendidikan kita dalam membina semangat cintakan ilmu dalam kalangan penuntut ilmu. Tertarik dengan pandangan yang telah dilontarkan oleh Dato’ Dr Siddiq Fadzil yang mengatakan bahawa sistem pendidikan di negara kita sebenarnya hanya melahirkan generasi berprestasi akademik, tetapi mereka bukan generasi pencinta ilmu.
Kagum saya apabila membaca siri-siri kisah yang telah dilalui oleh para ulama’-ulama’ silam yang membuktikan bahawa mereka sangat memahami rahsia disebalik perkataan ‘iqra’ tersebut.
Dirakamkan di dalam kitab Irsyadul-Arib, Abu Nashr al-Mikali pernah menceritakan tentang kecintaan seorang insan yang bernama Ibnu Duraid terhadap ilmu dan buku “ Pada suatu hari, kami membincangkan berbagai tempat-tempat yang menarik untuk dilawati, sedang ketika itu Ibnu Duraid hadir bersama kami. Sebahagian orang berkata ‘tempat yang paling indah adalah lembah yang berada di Damaskus’.
Sementara yang lain pula berkata, ‘Tempat yang paling elok adalah Sungai Ubullah. Yang lain pula ada yang berkata ‘Sughudu Samarkand’. Ada juga yang berpendapat bahawa ‘Dua sungai di Kota Baghdad adalah paling indah dan menarik’.
Lalu Ibnu Duraid berkata, ‘Semua yang kamu sebutkan hanyalah tempat menarik dan indah pada pandangan mata, namun mengapa kamu tidak memikirkan tempat-tempat menarik bagi hati?’ Lalu kami bertanya, ‘Apa tempat menarik bagi hati, wahai Ibnu Duraid?’ Lalu ia berkata, ‘Kitab Uyunul Akhbar karya Al-Qatabi, kitab Az-Zuhrah karya Ibnu Daud dan kitab Qalaqul Mustaq karya Ibnu Abi Thahir. Kemudian beliau melafazkan beberapa bait syair:
“Kalau semua orang tempat menariknya adalah biduanita
Juga gelas yang dituangkan dan diteguk
Maka hiburan dan rekreasi kami adalah
Berdiskusi dan menelaah kitab”
Semakin menelusuri kisah atau cerita berkenaan ulama’-ulama’ terdahulu, saya merasa teramat kerdil berbanding mereka. Hakikatnya mereka amat mengetahui apa jauhar (intipati) yang tersembunyi di sebalik wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah kepada sang nabi tersebut.
Disebabkan rahsia inilah generasi terdahulu begitu gah dalam mencipta tamadun dan peradaban. Sumbangan yang dilakukan oleh generasi terdahulu banyak memberikan keuntungan kepada dunia seluruhnya.
Memang tidak ternilai betapa beruntungnya dunia dengan kemajuan kaum Muslimin pada zaman silam, dan demikian juga tidak ternilainya kerugian dunia apabila umat ini mengalami kemunduran pada zaman sekarang. Tragedi yang tragis ini telah digambarkan oleh Syeikh Abu Hasan Ali An-Nadwi dalam karyanya “Maza Khasira al-‘Alam bi Inhitat al-Muslimin” (Apa Kerugian Dunia Akibat Kemunduran Kaum Muslimin).
Walaubagaimanapun, dalam usaha kita untuk membudayakan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat kita, perlu juga untuk kita merenung sebuah syair arab yang membicarakan perihal ini. Hal ini adalah untuk memastikan agar hadaf sebenar dalam menjayakan usaha ini iaitu untuk melahirkan mereka yang bertaqwa kepada Allah dan memperjuangkan agama-Nya tidak terpesong, syair tersebut berbunyi :
لو كان للعلم من دون التقى شرف لكان اشرف خلق الله ابليس
“Jika ilmu tanpa taqwa itu mulia nescaya semulia - mulia makhluk Allah ialah Iblis”
0 Comments Received
Post a Comment