GENTING GAZA 4 Jan. - Kereta kebal Israel membedil bandar ini sebaik saja memasuki Gaza lewat malam tadi dan antara penduduk awal yang menjadi korban adalah seorang kanak-kanak.
Perkhidmatan perubatan Gaza berkata, seramai 11 lagi kanak-kanak cedera dalam serangan darat Israel ke atas kubu Hamas tersebut.
Saksi memberitahu pemberita, kereta kebal Israel melepaskan tembakan ke arah kedudukan Hamas sejurus selepas memasuki Gaza dan kumpulan pejuang itu membalas serangan dengan mortar.
Penduduk di Beit Lahiya menjelaskan, kereta kebal Israel melepaskan tembakan sejurus selepas melintasi sempadan lewat malam tadi.
Pasukan tentera darat dan kereta kebal Zionis bergerak ke dua kawasan di utara Gaza iaitu dekat sempadan Erez dan satu lagi di bandar Jabaliya, berhampiran dengan sebuah tanah perkuburan Islam di sebelah timur.
Letupan dan bunyi tembakan bergema di utara Jabaliya, yang menyaksikan pertempuran paling sengit antara pejuang Hamas dengan tentera darat Israel.
Bunyi kipas helikopter Apache yang membantu dalam operasi askar Israel, berselang-seli dengan bunyi pengeboman dan tembakan menyebabkan ramai penduduk berkurung di dalam rumah.
Pejuang Palestin melepaskan tembakan mortar dan meletupkan bom di tepi jalan sebagai serangan balas terhadap kemaraan tentera Yahudi.
Seorang koresponden AFP memberitahu, beberapa orang dilaporkan cedera namun angka sebenar sukar diperolehi.
Serangan tentera darat oleh Israel ini dibuat ketika "Operation Cast Lead" ini masuk hari yang kesembilan dan telah meragut sekurang-kurangnya 460 penduduk Palestin serta membawa banyak kemusnahan.