Pilihanraya Berlaku
Diluar Jangkaan Pemerhati
Mesir baru
sahaja selesai Pilihanraya Presiden (PP) untuk pusingan yang pertama pada 23
dan juga 24 Mei yang lalu. Ia merupakan pilihanraya yang bersejarah bagi Mesir
selepas daripada revolusi 25 Januari yang menyaksikan jatuhnya rejim Mubarak.
Keputusan PP
yang lalu menunjukkan calon Ikhwan Muslimin (IM) mendahului calon-calon yang
lain dan layak untuk bertanding pada PP ulangan yang dijangka berlangsung pada
16 dan 17 Jun ini. Walaubagaimanapun, keputusan PP untuk pusingan pertama ini jelas
mengejutkan ramai pihak. Hal ini kerana, peratusan kemenangan calon IM tidak
menjangkau sasaran iaitu hanya sebanyak 24.8 peratus dan tempat yang kedua pula
ialah calon fulul (Pro-Mubarak) iaitu sebanyak 23.7 peratus tidak jauh
daripada Dr Morsy.
Kiri (Ahmed Syafiq), Kanan (Dr Morsy) |
Melihat
kepada PP pusingan yang pertama, ada beberapa perkara yang mengejutkan ramai
pihak dalam meneliti perkembangan PP Mesir pada ketika ini, antaranya ialah :
- Kehadiran pengundi rendah iaitu hanya sebanyak 46 peratus berbanding bilangan pengundi yang berdaftar jauh berbeza dengan peratusan tersebut. Jika diikutkan, para pemerhati politik mensasarkan bahawa peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 70 peratus dan ternyata ianya meleset. Adakah ia merupakan satu ‘silent protest’ yang dilakukan oleh rakyat Mesir kerana melihat calon mereka tiada dalam senarai atau kenapa?
- Kem Amru Mousa yang kalah dalam pusingan pertama ini juga mengejutkan ramai pihak. Beliau yang dilihat begitu banyak berjasa kepada rakyat Mesir ketika memegang jawatan sebagai Setiausaha Liga-Liga Arab hanya berpuas hati dengan mendapat tempat kelima dalam undian selepas Abul Futuh (Bekas IM). Ramai pemerhati menyebut bahawa di antara sebab utama Amru Mousa tidak berjaya memikat majoriti rakyat Mesir sepertimana juga Abul Futuh, adalah kerana mereka hanya memperkenalkan diri mereka sebagai ‘calon untuk semua rakyat Mesir’ tanpa menyebut secara terperinci fokus pembawakan dan manifesto mereka. Sebenarnya strategi tersebut hanya berkesan apabila berada pada pusingan “runoff” dan untuk pusingan awal ini, strategi tersebut dilihat kurang mendapat keyakinan rakyat. Ia berbeza dengan Dr Morsy dan juga Ahmed Syafiq. Mereka berdua bercakap secara jelas kepada blok penyokong mereka berkenaan pembawakan yang akan dibawa oleh mereka.
- Siapa sangka calon Hamdein Sobbahi yang merupakan calon aliran kiri yang mendapat sokongan pemuda revolusi mendapat 20 peratus undian, iaitu ketiga tertinggi selepas Ahmed Syafiq. Pada awalnya ramai yang memperkecilkan pencalonan Hamdein Sobbahi kerana melihat kepada kempen beliau terdapat banyak kelemahan berbanding calon-calon yang lain. Tetapi beliau berjaya mendapat sokongan rakyat Mesir terutamanya penyokong-penyokong revolusi sehingga mengatasi Abul Futuh dan juga Amru Mousa. Siapa sangka beliau berjaya mendapat sokongan yang tertinggi di dua muhafazah (negeri) iaitu Kaherah dan juga Iskandariah yang majoriti penduduknya adalah masyarakat bandar.
Cabaran
Menuju Pilihanraya Presiden Mesir Pusingan Kedua
Dalam
pertembungan di antara Dr Morsy (IM) dan juga Ahmed Syfiq (Pro-Mubarak) untuk
PP ulangan, terdapat beberapa perkara penting yang perlu diteliti oleh dua
calon tersebut agar tidak tersilap langkah.
Namun
begitu, bagi saya salah satu perkara yang sukar akan dihadapi oleh Dr Morsy
dalam pilihanraya ulangan 16 dan 17 Jun ini adalah untuk meyakinkan sebahagian
rakyat, bahawa Mesir tidak semestinya diperintah oleh Presiden dari kalangan
tentera dan juga tidak semestinya pengalaman memerintah menjadi ukuran penting.
Hal ini
kerana, sejarah menunjukkan kesemua presiden Mesir bermula Jamal Abdul Naser
adalah tentera. Tambahan pula, saingan Dr Morsy iaitu Ahmed Syafiq adalah bekas
Jeneral Tentera Udara dan juga bekas Perdana Menteri Mesir zaman Mubarak yang
dilihat oleh kebanyakan rakyat sebagai mempunyai pengalaman memerintah.
Apa yang
pasti, Dr Morsy perlu mencapai kata sepakat di antara golongan Islamis dan juga
penyokong revolusi untuk memperolehi jalan mudah ke istana Presiden. Walaubagaimanapun,
kelihatan sudah banyak kelompok Islamis menyatakan sokongan kepada Dr Morsy
termasuk bekas calon Presiden Hazim Solah Abul Ismail.
Golongan
salafi juga memberi sokongan yang padu kepada Dr Morsy. Hal ini kerana, mereka
melihat Mesir sekarang berada di antara dua persimpangan iaitu antara mereka
kembali ke zaman Mubarak jika Ahmed Syafiq mendapat kemenangan atau sebaliknya.
Ahmed Syafiq
juga kelihatannya agak sukar untuk mendapat sokongan kerana dia bertanding atas
'tiket' fulul (pro-Mubarak). Namun begitu, menurut pemerhati, dua sebab
utama yang menatijahkan kemenangan kepada Ahmed Syafiq pada pusingan pertama
iaitu sokongan padu masyarakat Kristian yang menerima arahan dari gereja supaya
menyokong Syafiq dan pembelian undi yang berleluasa yang disokong oleh golongan
ahli perniagaan parti NDP, sudah pasti akan terus digunakan oleh Ahmed Syafiq
untuk pusingan ulangan. Jika ia tidak diatasi oleh Kem Dr Morsy, jalan
kemenangan kelihatan agak sukar.
Satu program dilakukan untuk menyatukan penyokong-penyokong Islamis dan penyokong Revolusi melawan Fulul |
Kempen Dr
Morsy Yang Berlainan
Seperti yang
disebutkan sebelum ini, strategi kempen dengan mempamerkan diri sebagai ‘calon
untuk semua’ lebih berkesan pada pusingan “runoff”, dan strategi ini
digunakan oleh Dr Morsy kali ini.
Ia adalah
bertujuan untuk menarik sokongan penyokong-penyokong revolusi yang
kebanyakannya masih menyokong kuat bekas calon Presiden iaitu Hamdein Sobbahi.
Begitu juga dengan penyokong-penyokong bekas calon-calon pro revolusi yang
lain, termasuk juga rakyat Mesir yang masih belum membuat keputusan dalam
memilih calon mereka.
Selagi tiada
sokongan secara rasmi oleh calon presiden yang lain terutamanya Hamdein Sobbahi
dan juga Abul Futuh, kemenangan Dr Morsy tampak sukar melalui kiraan secara
kasar.
Walaupun
beberapa penyokong kuat Hamdein Sobbahi dan juga Abul Futuh telah menyatakan
sokongan mereka kepada Dr Morsy, namun ia tidak mampu memberi pengaruh yang
kuat kepada penyokong yang lain. Hal ini kerana, mereka bukanlah satu gerakan
yang tersusun yang mampu mempengaruhi setiap daripada penyokongnya.
Masing-masing mampu membuat keputusan sendiri, dan ia merupakan tugas yang
berat untuk dilakukan oleh penggerak kempen Dr Morsy.
Dalam usaha
ke arah itu, dalam satu temuramah, Dr Morsy menegaskan kembali bahawa
pembawakan beliau yang akan datang adalah berbentuk kerajaan perpaduan yang
akan melibatkan sebahagian besar anggota Institusi Presiden yang bakal dibentuk
adalah dari luar FJP. Beliau juga menyebut memadai bagi FJP untuk jawatan
Presiden dan beberapa jawatan sahaja, sebagaimana yang dilakukan oleh FJP
ketika memenangi Pilihanraya Parlimen sebelum ini.
Harapan
Presiden Pasca Revolusi
Presiden
Mesir pasca revolusi ini sangat penting untuk menentukan masa depan Mesir dan juga
rantau ini. Mesir dilihat sebagai negara yang sudah penting dalam menyelesaikan
isu-isu yang sekian lama berlaku di rantau in terutamanya isu pembebasan
Palestin.
Bagi rakyat
Mesir pula, mereka mengharapkan seorang presiden yang boleh mengubah hidup mereka
ke arah lebih baik setelah sengsara lebih 30 tahun. Walaubagaimanapun,
perkembangan politik Mesir sekarang begitu menjadi perhatian dunia dan
percaturan politik Mesir bukanlah begitu mudah sebagaimana disangka. Ia boleh
berubah dalam sekelip mata tanpa boleh dijangka dan difikirkan.