WASHINGTON 4 Jan. - Barack Obama yang menghitung hari untuk memulakan tugas sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS), mengambil sikap membisu terhadap konflik terbaru membabitkan kekejaman Zionis ke atas penduduk Palestin.
Pegawai dalam peralihan kuasa baru itu hanya mengulas bahawa Obama akan terus memantau situasi di Gaza, konflik yang setakat ini meragut lebih 460 nyawa itu.
"Perkara-perkara global di pantau terus oleh Obama dengan teliti, terutama situasi serangan Israel di Gaza," kata jurucakap Jabatan Keselamatan Negara, Brooke Anderson.
Katanya, Obama dan pasukannya menghormati prinsip "hanya ada seorang Presiden AS pada satu-satu masa".
Sementara itu, penasihat kanan Obama, David Axelrod berkata, barisan pentadbiran baru sangat komited kepada usaha mewujudkan damai Asia Barat.
Menurutnya, Obama akan mengulas mengenai isu Gaza itu apabila beliau memulakan tugas rasmi sebagai Presiden 20 Januari ini.
Bagaimanapun tindakan Obama itu telah menimbulkan kemarahan dunia Arab.
"Ia permulaan yang tidak baik," kata pemimpin Hamas, Khaled Meshaal.
Katanya, adalah sesuatu yang pelik kerana Obama boleh bersuara mengenai isu serangan Mumbai tetapi tidak sepatah kata mengenai rejim Israel.
"Beliau perlu menghentikan polisi berat sebelah seperti ini,'' katanya.