Tempoh cuti musim panas merupakan jadual "maut” bagi mahasiswa/i Islam di Perlembahan  Nil . Boleh dikatakan jadual dipenuhi dengan program samada program diperingkat PMRAM pusat atau diperingkat BKAN/DPM dan timbunan kelas-kelas bersama para masyaikh sempena musim panas yang  memerlukan kepada penyusunan jadual yang baik agar tidak terbuang sebegitu sahaja.



Dalam fatrah padat dengan persiapan untuk program KEKAL 2010 awal Ogos nanti,saya sempat menamatkan sebuah buku yang saya kira perlu untuk aktivis-aktivis Islam menghadamkannya dalam melakukan kerja-kerja dakwah iaitu buku At-Thariq Ilal Qulub karangan Abbas As-Siisi.



 “ Kalian diutus untuk mempermudah dan bukan untuk mempersulit.” Seakan-akan Rasulullah bersabda kepada setiap Muslim, “Sesungguhnya kamu mempunyai tugas untuk berdakwah dengan bijaksana dan dengan nasihat yang baik.” Orang-orang yang seperti orang Badwi itu adalah sasaran dakwah kita. Lalu bagaimana jika sebelumnya kita sudah memarahi dan menyakitinya?

(hlm. 106-107)



Kita sering mendengar keluhan dari aktivis-aktivis dakwah tentang sasaran dakwah yang keras kepala.Namun bagi orang-orang awam pula mereka banyak mengeluh tentang para aktivis dakwah cenderung bersifat menghukum sasaran dakwah,tanpa mencuba untuk mengkaji sebabnya dan kemudian memberikan nasihat serta penyelesaian yang baik dan tepat.



Saya melihat fenomena di atas menjadi tajuk perbahasan yang sering dibicarakan di antara para aktivis dakwah, .Dan ternyata, hal ini juga diharapkan oleh sasaran dakwah yang sebenarnya merindukan huluran tangan dan seulas senyuman ikhlas dari aktivis-aktivis dakwah untuk membimbingnya memahami Islam secara baik dan sesuai dengan tahap pemahaman mereka.



Saya pernah terdengar sebuah ungkapan : “kesefahaman tidak akan wujud tanpa ada komunikasi. Dan komunikasi tidak akan wujud apabila tidak ada usaha untuk membuka diri dan memulai untuk menyapa”



Jika seorang da’ie ingin diterima dan “didengarkan” oleh orang lain khususnya sasaran dakwah, keterampilan berkomunikasi dan penyesuaian diri dalam setiap kondisi sasaran dakwah menjadi sesuatu yang elemen penting.



Saya masih lagi ingat nasihat ayah kepada saya ketika di tanah air suatu ketika dahulu: Orang yang nak bawa Islam ini ibarat sesumpah yang mesti sesuaikan dirinya dengan apa jua jenis sasaran dakwah kita.



Syeikh Abbas Hasan as- Siisi, seorang aktivis Jamaah Ikhwanul Muslimin berusaha untuk berkongsi pengalaman dakwah yang menjadi ruh pergerakan tersebut. Buku ini dimulai dengan wasiat ringkas dari Hasan al–Banna yang menjadi ikon kebanyakan aktivis dakwah.



Buku ini bersifat santai dan ringan, akan tetapi buku yang ringan tapi perlu khususnya bagi mereka yang memilih dakwah sebagai pilihan hidupnya.Saya sempat berandai-andai, jika buku dihayati dan diamalkan oleh aktivis dakwah terutamnya mahasiswa/i, masalah yang saya timbulkan tadi sudah pasti dapat diatasi.



Bagi saya proses dakwah adalah berkait rapat dengan skill kita berkomunikasi, tidak hanya keikhlasan yang diperlukan akan tetapi kecerdasan dan keterampilan yang nantinya menjadi bekal saat turun ke masyarakat.Saya sering menekankan kepada sahabat-sahabat tentang kita perlu pandai berpolitik dalam kehidupan ini.



Penulis banyak menceritakan pengalamannya berkomunikasi dengan pelbagai jenis orang, watak dan budaya membolehkan mereka yang membaca buku ini membayangkan cara untuk mengatasinya secara jelas dan praktikal.



Banyak pelajaran yang ia berikan yang dapat membantu kita dalam memperbaiki pandangan dan perilaku kita selama ini berkaitan dengan hubungan sesama manusia. Apa yang menarik minat saya adalah setiap topik yang dibahaskan disajikan dengan contoh, baik melalui pengalaman penulis saat berinteraksi dengan orang awam mahupun hasil penelitiannya terhadap orang yang ada disekitarnya.



Sebagai penutup buku tersebut, diberikan juga mutiara kata seperti nasihat singkat yang merupakan tips untuk keberkesanan gerakan dakwah. Tetapi buku dan semua pelajaran yang ada didalamnya tidak akan berguna jika kita hanya melihatnya sebagai bacaan ringan sebelum tidur yang kemudian tidak memberikan pengaruh apapun pada perbuatan kita keesokan harinya.



“Kaedah dakwah seperti ini sangat mungkin tidak disukai oleh da'i-da'i yang ingin cepat-cepat memetik buah dari dakwah mereka. Padahal kalau benar-benar mahu memperhatikan, maka akan dijumpai bahwa semua gerak kehidupan ini harus dijalani dengan sabar dan bijaksana, baik itu yang berkaitan dengan perniagaan atau belajar mengajar. Jika demikian, mengapa kita melupakan sunnatullah itu tatkala mengembang tugas dakwah?” Syeikh Abbas As-siisi.



p/s :sedang mencuba untuk menghabiskan kitab Assahwatul Islamiyah Bainal Ikhtilaful Masyru’ wa Tafarruq Mazmum karangan Dr Yusof al-Qaradhawi dalam fatrah padat untuk persiapan KEKAL 2010 awal Ogos nanti..