Selepas usai solat subuh,saya melemparkan jauh pandangan saya merenung dan menghayati ketenangan pada pagi 1 Ramadhan di Hayyu Asyier.Sambil memerhati gelagat masyarakat-masyarakat disini memulakan paginya di sekitar Suq Sayyarat.

“Wan termenung jauh nampak,teringat orang tersayang kat Malaysia ker?usik sahabat saya.

Saya hanya tersenyum.

“Tak der la”jawab saya ringkas.

Sebenarnya saya memikirkan dan berdoa kepada Allah moga memberi Ramadhan yang terbaik kepada saya pada tahun ini.Moga saya dapat menggunakan kesempatan berpuasa di Mesir ini dengan sebaiknya.

Tahun ini merupakan tahun pertama saya menjalani ramadhan di kota yang kaya dengan khazanah sejarah Islam,bumi Mesir Ardul Kinanah.Apa yang saya harapkan agar momentum Ramadhan di perantauan kali ini memberikan erti yang sebaiknya untuk saya.

Kata senior, pada bulan Ramadhan,Kaherah akan tampak meriah dengan lampu yang bergemerlapan, berwarna-warni menandakan kemeriahan Ramadhan sudah dirasai.

Sana sini kedengaran alunan Zikrullah mendayu-dayu. Kemeriahan Ramadhan di Bumi Kinanah menyingkap rasa takjub dalam hati terhadap 1001 rahsia kemuliaan bulan Ramadhan sebagai belas kasihan sang Pencipta terhadap makhluk-NYA.

Ramadhan ibarat pohon yang rendang  untuk dijadikan tempat berteduh setelah perjalanan 11 bulan yang panjang, meniti liku-liku hidup yang penuh dengan ujian dan cabaran.

Bukan bermakna Ramadhan adalah bulan rehat,akan tetapi bulan Ramadhanlah bulan untuk meningkatkan semangat kerja untuk Islam….ya..kerja dan terus bekerja untuk Islam.

Dalam mata asyik memerhati sekeliling, hati berbicara,“Alangkah bertuahnya kamu wahai ulwan, saat ini kamu berada di bumi yang berkat ini“.

Indahnya biah masyarakat Mesir dalam menghidupkan bulan Ramadhan. Mengapa tidak budaya ini yang kita ikuti dan dibawa ’bekal’ ketika pulang ke Malaysia. Dalam kesesakan dan kesibukan manusia di dalam bas, dalam kesibukan manusia berniaga di pasar-pasar, kelihatan tangan-tangan tidak lepas daripada memegang kitab suci.

Kelihatan bibir-bibir kering tidak lekang daripada menyebut kalimah-kalimah dari kitan suci itu. Yang tua mahupun yang muda, yang berdiri mahupun yang sedang duduk, semuanya berlumba-lumba untuk mendapatkan rahmat yang dijanjikan. Pemandangan yang amat menyenangkan mata dan hati.

Inilah buktinya cinta..ya..cinta untuk mendapatkan rahmat dari sang Pencipta.

Masakan tentara Islam pada perang Badar memperolehi kejayaan di bulan Ramadhan jika bukan kerana cinta.

Ya..cinta mereka kepada redha Kekasihnya.

Mereka merasa nikmat cinta yang luar biasa saat orang kebanyakan tidak memahami keindahan cinta pada Tuhannya. Cinta agung itu terasa semakin hangat dan indah saat mereka merintih di malam hari mengadu kepada sang Pencipta, lalu hanyut dalam kedamaian jiwa saat membaca kalam Tuhannya.

Inilah produk manusia yang tinggi kualitinya dan teguh peribadinya. Cinta sejati yang mereka rasakan melahirkan kesanggupan untuk berkorban apa juga demi Ilahi. Ia tidak membuatkan mereka lemah, bahkan menjadi semakin produktif.

Akan hal inilah,bulan Ramadhan dipanggil jua dengan bulan Jihad,bulan tarbiyah.Disebabkan cinta..

Merupakan fitrah manusia ,ingin mencintai dan dicintai. Cinta yang pasti berbalas daripada Ilahi adalah suatu nikmat yang tidak ternilai dengan apa jua didunia ini. Cinta agung yang dapat membuatkan kita menjadi luar biasa dalam kehidupan di tengah masyarakat yang ketandusan cinta dalam ertikata yang sebenar.

Kadang-kadang cinta itu indah bila dilampiaskan kepada manusia,ya itu memang tidak dapat dinafikan namun keindahannya pasti akan pudar jua. Akan tiba masa benda yang dicintai akan pergi meninggalkan kita.Ia akan lenyap dan tidak akan kekal.

Namun, Allah yang kita cintai takkan pernah musnah dan hancur. Dia sentiasa hidup dan tidak mati. Dialah yang paling besar dan paling agung, paling berkuasa dan pentadbir sekalian alam.

Ramadhan datang dengan penuh erti buat mereka yang tahu menghargai dan menghayati. Ia adalah satu perangsang kepada hati untuk semakin dekat kepada Ilahi, dan perangsang manusia menggapai cinta sejati.

Bukan hanya sepanjang Ramadhan, tetapi momentum tadi hendaklah terus dihayati hingga melepasi 
Ramadhan dan dipertingkatkan lagi menjelang Ramadhan seterusnya.

Carilah cinta sejati yang akan membawa kita melayari kehidupan yang lebih bererti dan lebih terisi. Jangan sampai kita dikaburi dengan cinta yang merosakkan hidup dan memusnahkan matlamat dan cita-cita.


Carilah Cinta itu disebalik Ramadhan..