Pemuda sekarang adalah pemimpin dimasa akan datang.Itulah ungkapan ulama' yang sering kita dengari.Namun persoalannya sekarang bagaimanakah persediaan atau apakah elemen  yang diperlukan untuk mempersiapkan pemuda sekarang sebagai pemimpin pada masa hadapan?

Apabila kita bercakap mengenai kepimpinan Islam,ia bukanlah sesuatau perkara yang mudah dan ringan.Seseorang yang ingin menjadi kepimpinan mestilah mereka yang kuat tarbiyah dan pengorbanannya.

Hal ini kerana,apabila seseorang itu menjadi kepimpinan ia ibarat “mencampakkan” dirinya ke suatu tempat yang penuh dengan ujian dan cabaran.Oleh kerana itu,ia memerlukan seseorang yang ditarbiyah dengan betul untuk menghadapi semua itu.Kerana dengan tarbiyah mereka akan “siap” untuk mengahadapi semua itu.

Jika pada zaman nabi,sahabat ditarbiyah oleh nabi melalui usrah yang menjadi tunjang kepada tarbiyah.Melalui usrah yang dilakukan pada permulaan Islam di rumah al-Arqam, melahirkan para sahabat-sahabat yang sanggup mengorbankan jiwa dan raganya untuk Islam.

Namun begitu,kefahaman yang silap mengenai usrah menjadikan hasil yang kita mahu lihat daripada usrah tidak tercapai.Usrah bukan tempat mencurahkan ilmu sebaliknya usrah sebagai tempat melatih seseorang menjadi insan berpotensi tinggi.

Dalam usrah, yang terpenting adalah kefahaman yang jelas dan bukan untuk mencurahkan ilmu. Justeru itu, saya ingin mendatangkan satu contoh yang mudah. Tajuk aqidah amat senang untuk disampaikan. Hanya dengan kita menyebut beberapa ayat, sudah selesai tajuk aqidah. Sebagai contoh

“Kita beriman dengan enam rukun Iman ,lima rukun Islam dan kita mengakui tentang ketuhanan Allah dan kita sebagai hamba. Oleh itu, kita mesti menegakkan agama Allah kerana untuk membuktikan apa yang kita percayai tadi meskipun banyak cabaran yang perlu kita tempuhi. Kita juga mempercayai ada neraka untuk orang yang meninggalkan perjuangan Islam dan ada syurga sebagai balasan untuk pejuang”

Cukup mudah bukan untuk membicarakan mengenai aqidah? Jika mahukan penghuraian yang lebih mendalam termasuklah konsep syahadatain, wala’ dan bara’, maka pergilah ke muhadharah,diskusi kitab atau sebagainya yang boleh menghuraikan berbagai-bagai lagi berkenaan aqidah secara mendalam.

Maka usrah adalah suatu kerja yang mudah tetapi tidak boleh dipermudah-mudahkan. Yang penting dalam usrah ada beberapa perkara, iaitu yang pertama perwatakan naqib/ah yang mampu menjadi daya magnetic atau penarik kepada anak buah, yang keduanya mestilah menanam kefaham ahli dengan jelas tentang fikrah Islam dan ketiganya naqib/ah perlu mewujudkan hubungan yang berteraskan nilai kasih sayang dan saling mempercayai antara satu sama lain.

Saya pernah memberitahu Presiden PMRAM Ust Shahrizan beberapa minggu yang lalu bahawa kita sebenarnya bukan perlukan sangat naqib yang mampu memberikan ilmu yang mendalam. Namun saya tidak nafikan bahawa perkara itu sangat penting.

Akan tetapi yang paling penting ialah naqib yang mampu menjadi magnet yang mampu menarik ahli usrah. Kata-katanya berpengaruh. Ia disanjungi oleh anak buahnya..

Jika ia berkaitan dengan permasalahan naqib,ia memerlukan kepada perbincangan yang lain pada masa akan datang ,InsyaAllah.Sebab itu, jika di Mesir saya ada mencadangkan supaya mengadakan Konvensyen Jabatan Fasilitator (Nuqaba’) kerana banyak perkara yang boleh diselesaikan melalui konvensyen tersebut.

Yang penting,jika kita mahu mengecapi buah yang masak ranum dan enak,maka tunjangnya perlu subur,mana mungkin kita mahu berbicara mengenai bunga mahupun buah yang masak ranum jika tunjangnya masih kaku dan tidak subur.