Setelah hampir 30 tahun rakyat Mesir berada dibawah pemerintahan zalim Hosni Mubarak, akhirnya mereka berjaya menggulingkan Mubarak tanggal 25 Januari lalu yang menjadi tarikh terpenting dalam sejarah negara Mesir. Setelah hampir 7 bulan Mubarak digulingkan oleh rakyat Mesir, baru semalam Mubarak dibicarakan ditempat yang terbuka disaksikan hampir ratusan rakyat Mesir yang hadir. 

Walaupun pada awalnya, ada usaha pihak tertentu yang cuba melambat-lambatkan proses perbicaraan Hosni Mubarak, namun hasil daripada tekanan dan desakan daripada rakyat Mesir, pihak pemerintah terpaksa akur. Antara himpunan terbesar yang dilakukan oleh rakyat Mesir dalam usaha untuk membawa Mubarak ke muka pengadilan adalah pada 29 Julai yang lalu. Antara tuntutan perhimpunan pada 29 Julai yang lalu adalah : 

1) Mempercepatkan proses perbicaraan Hosni Mubarak.
2) Membawa mereka yang bertanggungjawab keatas syuhada' 25 Januari yang lalu ke muka pengadilan. 

dan lain-lain tuntutan.

Tuntutan perhimpunan 29 Julai yang lalu
Hasil daripada tuntutan tersebut, semalam bertarikh 3 Ogos 2011 menjadi satu tarikh yang sangat bermakna bagi rakyat Mesir khususnya. Ianya merupakan tarikh yang diputuskan oleh mahkamah untuk perbicaraan Hosni Mubarak dan sebilangan regim yang setia bersamanya ketika berkuasa tidak lama dahulu.

Bersama Hosni Mubarak adalah  dua anaknya, iaitu Jamal dan 'Alaa, bekas Menteri KDN Habib 'Adli, enam orang bekas pembantu menteri KDN termasuk ketua pasukan Amnu Daulah, dan jutawan Mesir, Husin Salim. Perbicaraan semalam disiarkan secara langsung diseluruh Qanat el-Owla yang merupakan saluran perdana di Mesir.

Antara tuduhan yang disebut oleh pendakwa raya (النيابة العامة) semalam terhadap Hosni Mubarak adalah :

1) Bersekongkol dengan Samih Fahmi yang merupakan bekas Menteri yang menguruskan hasil mahsul petroleum dalam kes mengaut keuntungan penjualan petrol kepada Israel bersama ahli perniagaan yang juga merupakan jutawan Mesir, Husin Salim.
  
2) Berpakat dengan Habib Adli yang merupakan bekas menteri KDN dalam kes membunuh rakyat Mesir yang berdemonstari pada 25 Januari baru-baru ini.

  
3) Mubarak juga dituduh menerima rasuah berbentuk hartanah daripada Husin Salim.

  
Manakala kedua-dua anaknya pula, dituduh mengaut keuntungan daripada Husin Salim dan menyalahgunakan kuasa ayahnya selaku presiden Mesir dalam mengaut keuntungan negara.

Walaupun begitu, Hosni Mubarak yang hadir dalam keadaan terbaring di atas katil dan berada di dalam sebuah kurungan serta dua anaknya, 'Ala dan Jamal menafikan semua tuduhan ke atas mereka.
  
Antara ucapan yang disebut oleh Mubarak ketika pertuduhan tersebut dibacakan adalah "أنا أنكرها كاملا" (Saya tidak mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut).
  
Walaubagaimanapun, semalam hanyalah sebutan kes dan perbicaraan tersebut akan disebut kembali pada 15 Ogos nanti. Sebelum mahkamah menangguhkan persidangannya semalam, mahkamah memutuskan untuk terus mereman kesemua tertuduh termasuk Hosni Mubarak dan Mubarak akan ditempatkan disebuah pusat perubatan untuk menerima perubatan seperti pesakit yang lain.

Mubarak yang hadir dalam keadaan terbaring di atas katil

Berkenaan kes Mubarak dan saki-baki regimnya, ada sesetengah individu yang mengatakan sepatutnya kita mengambil sikap memaafkan sahaja segala kesilapan yang dilakukan oleh mereka. Mereka mengatakan begitu kerana melihat keadaan Mubarak dan kedua anaknya yang sering bersama al-Quran sejak kebelakangan ini, dan mereka menyangka Mubarak telah bertaubat.

Tetapi apa yang saya ingin ingatkan adalah, apabila seseorang penzalim menzalimi manusia maka tidak cukup mereka hanya bertaubat dan memohon ampun dengan Allah semata-mata, tetapi hendaklah mereka memohon maaf kepada semua manusia yang telah mereka zalimi.
  
Ini adalah antara syarat untuk taubat diterima oleh Allah yang telah digariskan oleh para ulama' ketika membincangkan berkenaan taubat. Semoga para pemimpin siasah membuka mata dengan situasi yang berlaku ini.