Tahniah diucapkan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) pimpinan Recep Toyyib Erdorgan yang berjaya memenangi pilihan raya Turki buat kali ketiga berturut-turut dan sekaligus memecahkan rekod yang dipegang parti pimpinan Adnan Manderes sebelum ini.

Pada pilihanraya umum Turki pada kali ini, sebanyak lima belas parti dan 200 calon bebas dipertandingkan untuk merebut 550 kerusi untuk sesi ini. Antara parti yang bertanding adalah:
  
    * Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP)
    * Parti Republikan Rakyat (CHP)
    * Parti Pergerakan Nasionalis (MHP)
    * Parti Buruh (EMEP)
    * Parti Demokrat (DP)
    * Parti Bangsa/Nation Party (MP)
    * Parti Liberal Demokrat (LDP)
    * Felicity Party (SP)
    * Rights and Equality Party (HEPAR)
    * Parti Suara Rakyat (HSP)
    * True Path Party (DYP)
    * Parti Komunis Turki (TKP)
    * Parti Konservatif Kebangsaan (MMP)
    * Grand Unity Party (BBP)
    * Democratic Left Party (DSP)
    * Bebas
(*Sumber Al Jazeera English- AJE)

Sekitar 50 juta rakyat Turki, atau dua pertiga daripada penduduk yang berhak keluar mengundi pada pilihanraya kali ini. Jumlah keluar mengundi pula meningkat 3 peratus iaitu 87 peratus berbanding 84 peratus jumlah keluar undi pada pilihanraya 2007 yang lalu. 

Dalam keputusan yang diumumkan di Ankara semalam,  AKP berjaya mempertahankan kemenangan buat kali ketiganya apabila menang dengan undi popular sebanyak 49.9 peratus berbanding 37 peratus dalam pilihanraya 2002 dan 47 peratus dalam pilihan raya 2007. Keputusan tersebut diikuti dengan Parti Republikan Rakyat (CHP) sebanyak 25.9 peratus, Parti Pergerakan Nasionalis (MHP) sebanyak 13 peratus dan lain-lain 5.8 peratus.
Recep Tayyip Erdogan ketika membuang undi semalam

Walaubagaimanapun, AKP gagal mencapai sasarannya untuk memenangi dua pertiga kerusi apabila hanya memenangi 325 kerusi daripada jumlah kerusi keseluruhan iaitu 550. Juga kurang daripada 330 kerusi yang membolehkan AKP mendapat kuasa membuat satu perlembagaan baru yang disediakan oleh pihak awam.

Kolumnis terkemuka Hassan Cemal, dari harian Turki Milliyet menilai strategi Erdogan adalah gagal. Beliau mengatakan bahawa Tayyip Erdogan dan AKP berusaha sepenuhnya dalam kempennya untuk menggagalkan MHP daripada mencapai peratusan undian melebihi 10 peratus. AKP juga dilihat tidak menggunakan sepenuhnya peluang mengenai pembabitkan ahli-ahli MHP dalam skandal video seks pada Mei lalu. MHP tetap memperolehi lebih dari undian 10 peratus, dan ini sebenarnya menyukarkan AKP untuk membuat satu perlembagaan baru bagi rakyat Turki.

Penyusunan sebuah perlembagaan baru adalah salah satu tema yang paling penting dalam pemilihan pada kali ini, boleh dikatakan setiap parti politik menjanjikan perlembagaan baru yang lebih demokratik untuk menggantikan perlembagaan Turki yang direka dan diterima pakai sejak selepas rampasan kuasa pada 1980. Perlembagaan Turki yang ada sekarang juga sebenarnya disediakan oleh pihak tentera. 

Walaupun sudah berpuluh kandungannya dipinda oleh kerajaan AKP, namun ia tidak menyelesaikan masalah gangguan tentera dan mahkamah perlembagaan yang sentiasa menganggu kerajaan pilihan rakyat itu.

Antara pindaan yang pernah dibuat adalah membenarkan para pelajar wanita universiti di negera itu memakai tudung disamping membenarkan wanita memakai tudung di majlis rasmi kerajaan. Sebab itu ketika permulaan kemenangan AKP di Turki pada tahun 2002 yang lalu, isteri Erdogan, Emin, tidak boleh mengiringi suaminya ke majlis rasmi kerana beliau enggan membuang tudung yang dipakainya. Kini, hasil daripada pindaan tersebut Emin boleh menemani suaminya ke mana-mana termasuk ke majlis rasmi kerajaan.

Namun pindaan-pindaan yang dibuat itu tidak boleh menghentikan pihak tentera daripada mengganggu gugat kerajaan pada setiap masa. Oleh sebab itulah AKP memerlukan kuasa dua pertiga untuk membolehkan perlembagaan baru dibuat dan menjadikan Turki benar-benar negara yang demokratik. Akan tetapi melalui keputusan yang diperolehi pada pilihanraya kali ini menyukarkan sedikit perancangan AKP tersebut.

Isteri Erdogan, Emin
Walaupun begitu, pada saya kejayaan AKP untuk kali ketiga ini sebenarnya menunjukkan bahawa kebanyakan rakyat Turki berpuas hati dengan beberapa polisi pentadbiran dan kepimpinan AKP Erdogan terutamanya membabitkan soal peningkatan peluang pekerjaan ( bagi bukan lepasan universiti) dan peluang bidang perniagaan. Malahan, ekonomi Turki (sehingga tahun 2008) menunjukkan anggaran peningkatan 6 peratus tatkala sedang menghadapi krisis ekonomi global.

Menurut laporan 'Voice of America (VOA)' edisi 10 Jun 2011, kadar pengangguran di Turki adalah rendah berbanding negara-negara Eropah. Tambahan pula, akibat krisis ekonomi global, banyak bank di Eropah dan AS bankrup. Akan tetapi, tiada satu pun bank di Turki mengalami kerugian sepertimana di negara Eropah yang lain. Hal ini disebabkan kestabilan politik semenjak AKP mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun 2002. 

Selain itu, peranan Erdogan di peringkat antara bangsa turut mempengaruhi 'respons' positif daripada rakyat Turki membabitkan 'soal' dasar luar walaupun situasi Asia Barat pada masa ini yang tidak menentu. Hal ini termasuklah pembabitkan Turki sebagai 'orang tengah' dalam melibatkan isu Bukit Golan (antara Syria-Israel), insiden menghentam Shimon Peres di WEF, Davos dan isu Mavi Marmara serta 'revolusi rakyat' menentang rejim Mubarak dan 'perang saudara' di Libya. 

Semoga janji Erdogan untuk mewujudkan sistem demokrasi yang tulen dan 'kebebasan individu' yang lebih komprehensif berjaya dilaksanakan setelah diberi mandat sekali lagi oleh rakyat Turki pada sesi ini.