Ternyata hari raya Aidilfitri pada kali ini terdapat sedikit perbezaan berbanding sebelum ini. Kelihatan hari raya pasca revolusi ini banyak memberi kelebihan kepada gerakan Islam di Mesir khususnya kepada Ikhwan Muslimin (IM) untuk bergerak setelah diharamkan hampir berpuluh-puluh tahun.

Pelbagai aktiviti yang dirancang oleh syabab IM untuk meraikan hari raya pada tahun ini. Ini merupakan hadiah hari raya yang paling istimewa yang diperolehi oleh rakyat Mesir iaitu hadiah kebebasan daripada kezaliman regim Mubarak.

Sememangnya kebebasan daripada cengkaman kezaliman adalah sesuatu perkara yang mahal nilainya. Ia dicapai dengan usaha yang gigih sehingga terpaksa mengorbankan nyawa. Benarlah kata seorang tokoh Muslim dari kaum Afrika-Amerika yang ketokohannya dapat disandingkan dengan Dr. Martin Luther King yang berjuang menghapus segala macam diskriminasi lebih-lebih yang menimpa kaum Afrika-Amerika iaitu Brother Malcolm X. Beliau berkata "Jangan berharap kebebasan akan diberi tanpa pengorbanan !!".

Namun umat Islam perlu menyedari, seperti mana yang disebut oleh seorang tokoh siyasah muslimah Mesir yang saya sangat kagumi pemikiran beliau iaitu Dr Heba Raouf Ezzat bahawa kebebasan dalam konteks Islam tidak sama dengan kebebasan yang difahami oleh golongan liberal, sekular dan sebagainya. Kebebasan dalam Islam ada manhaj dan hak-hak yang perlu dipenuhi. Semoga kebebasan yang diperolehi oleh rakyat Mesir sekarang berpanjangan dan dipelihara oleh Allah S.W.T.

Sebenarnya entri saya pada kali ini, saya tidak berniat untuk menulis panjang atau mengulas berkenaan isu yang berlaku di Mesir yang hangat diperkatakan sekarang iaitu berkenaan penghantaran beberapa buah kapal perang Israel ke perairan sempadan antara Laut Merah dan Mesir atau isu yang berkaitan dengan perjanjian Camp David yang ditimbulkan balik sejak akhir-akhir ini, tetapi hanya ingin berkongsi gambar suasana raya di Kota Seribu Menara ini pasca Thawrah 1432 H untuk tatapan sahabat-sahabat dan keluarga saya di Tanah Air. Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin. Kullu ‘Am wa Antum Bikhair.

Galeri Gambar Hari Raya Aidilfitri 1432H, Kaherah, Mesir. 

Bergambar bersama senior, Ust Syamsul semasa Rumah Terbuka KPT Mesir (MESRA 2011)
Khatib khutbah hari raya Aidilfitri, Syeikh Dr Abdu Sattar Fathullah Sa'id (Pensyarah Syu'bah Tafsir wa 'ulumul Quran, universiti al-Azhar dan universiti Ummul Qura').
Bergambar bersama-sama sahabat selepas solat raya.
Bergambar selepas solat raya di Suq Sayyarat
Bersama Ustaz Zahari, orang lama Terengganu di Mesir di rumahnya.
Sahabat-sahabat yang sama-sama datang ke Mesir suatu ketika dahulu
Suasana raya di jalanan Mesir