https://fbcdn-sphotos-a.akamaihd.net/hphotos-ak-ash4/s720x720/293492_291336514214858_100000155349762_1390223_1673566229_n.jpg
Syeikh Muhammad al-Ghazali merupakan antara kenalan rapat Imam Hasan al-Banna
Pada hari ini, tanggal 22 September merupakan tarikh kelahiran seorang tokong muffakir Islam yang banyak berbakti kepada dunia Islam khususnya. Beliau adalah Syeikh Muhammad al-Ghazali lahir pada tanggal 22 September 1917, di kampung Naklal Inab, Ital Al-barud, Buhairah, Mesir. Dibesarkan di dalam keluarga agamawan yang sibuk di dunia perniagaan. Ayahnya seorang hafiz Al-Qur’an. Lalu sang anak ini lahir mengikuti jejak ayahandanya dan hafal Al-Qur’an semenjak usia sepuluh tahun.

Beliau adalah seorang ahli feqah, alim, dan simpanan ilmu dan pemilik iman yang tidak pernah pudar. Beliau selalu mengajak kepada jalan Allah dalam setiap khutbah, buku-bukunya yang berharga dan banyak yang dapat dibaca, didengar mahupun dilihat di seluruh penjuru dunia. Beliau tidak takut kepada sesiapa pun untuk mengatakan kebenaran, hatta sekalipun kepada Presiden Mesir pada ketika itu.

Dalam sebuah khutbah Jumaatnya di Masjid Amru bin Asr, beliau menyerang Undang-Undang hukum keluarga yang disebut dengan “Undang-Undang jihad Saddat” kerana tidak sesuai dengan syariat Islam. Serangan tajam itu menyebabkan beliau tidak dibenarkan lagi berkhutbah di beberapa masjid. Setelah itu dia pergi ke Al-Jazair dan Makkah (Jami’ah Al-Mulk Abdul Aziz) untuk berdakwah. Dia tidak pernah merasa lelah dan tidak surut untuk selalu berjuang di jalan kebenaran.

Syeikh Muhammad Al-Ghazali adalah seorang dai'e yang cerdas, berperasaan lembut, memiliki keimanan yang mendalam, bersemangat tinggi, ungkapan-ungkapannya membangkitkan semangat, dan berpengaruh.
http://www.islamophile.org/spip/local/cache-vignettes/L250xH335/art375-1-bd483.gif
Syeikh Muhammad al-Ghazali

Beliau pernah ditahan dalam tahanan Ath-Thur pada tahun 1949 pada masa Raja Faruq, dan di penjara Tharrah pada masa Abdul Nashir tahun 1965. Beliau bekerja di Saudi, memimpin majlis ilmiah di Universiti Amir Abdul Qadir Al-Jazairi Al-Islamiyah di Aljazair selama lima tahun. Jabatan terakhirnya di Mesir adalah sebagai wakil Menteri Wakaf.

Para pemuda Kebangkitan Islam yang penuh berkat telah banyak mengambil ilmu dari Syeikh Muhammad Al-Ghazali. Dia memiliki murid-murid di Al-Azhar Mesir, Ummul Qura Makkah Al-Mukarammah, Fakulti Syari’ah Qatar,dan Universiti Amir Abdul Qadir jurusan Ilmu-Ilmu Keislaman di Aljazair. Para siswa itu jumlahnya mencapai ribuan di seluruh dunia Islam. Mereka aktif menghadiri pelajaran, khutbah, perkuliahan, seminar-seminar, buku-buku, makalah-makalah dan muktamar-muktamarnya.

Syeikh juga merupakan antara pejuang yang begitu rapat dengan al-Imam Hasan al-Banna dalam menyampaikan dakwah kepada umat Islam dan juga bersama-sama dengan beberapa tokong penting yang lain.

Nadwah Thaqafiyyah : Syeikh Mohamad Al-Ghazali wa Juhuduhu fi Da'wah Islamiyah (Gambar: Web Youm7)

Baru-baru ini, saya diberi kesempatan untuk hadir satu nadwah penting yang dianjurkan oleh Rabithah 'Alamiah Likharijiy al-Azhar dengan kerjasama Ittihad Syabab wal Ansor al-Azhar bagi memperingati mufakkir Islam Syeikh Muhammad al-Ghazali. Nadwah tersebut diadakan di Qa'ah Syeikh Muhammad Abduh, Universiti al-Azhar, Kaherah.

Ramai tokoh-tokoh pemikir Islam yang hadir untuk membicarakan berkenaan mufakkir Isla ini. Antara ulama' dan pemikir Islam yang hadir dalam nadwah tersebut antaranya adalah Rois Jami’ah al-Azhar, Dr Usamah el-'Abd, Syeikh Hassan Syafie, Dr Muhammad 'Imarah, Dr Abdul Mun'iem Abul Futuh, Dr Ahmad Umar Hashim, Syeikh Usamah Sayyid al-Azhari, Dr Mahyuddin Afifi dan ramai lagi.

Dr Muhammad ‘Imarah seorang pemikir Islam pula menyifatkan Muhammad al-Ghazali sebagai tokoh ulama mujaddid dalam pemikiran Islam pada masa kini, terdapat dalam diri dan pemikirannya metodologi pengetahuan Islam yang menggabungkan nas dan akal di samping ilmu-ilmu semasa. Beliau menyifatkan, Syeikh Muhammad al-Ghazali bukan sahaja sekadar pendakwah tetapi sebagai penyuluh kepada generasi Islam pada masa kini.

Dr Ahmad ‘Umar Hashim, Rektor Universiti al-Azhar ketika membicarakan berkenaan Syeikh Muhammad al-Ghazali, beliau menyifatkan syeikh sebagai seorang mujaddid yang mempunyai keistimewaan tersendiri dalam pemikiran dan ijtihadnya. Beliau menyeru generasi muda kini mencontohi manhajnya dalam kehidupan mereka.


Ternyata sekiranya kita meneliti idea-idea yang dilontarkan oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali melalaui karya-karya beliau, kita akan dapati beliau sebagai seorang yang mempunyai pemikiran bernas, perkataan yang lembut, kefahaman yang mendalam bagi maqasid agama dan pandangan yang ideal dalam kebangkitan umat.

Saya juga sebenarnya banyak terkesan dengan pemikiran kritikal Syeikh Muhammad al-Ghazali selepas saya mula berjinak-jinak dengan karya beliau yang begitu banyak membicarakan berkenaan metodologi pengetahuan Islam , Islamisasi ilmu pengetahuan dan sebagainya. Antara karya syeikh yang begitu terkesan dengan diri saya adalah buku “Turatsuna al-Islami fi Mizan al-Syar’ wal ‘Aql”.

Sebagaimana kebanyakan karya-karya beliau yang lain, karya ini juga lebih menumpukan perhatian terhadap pelbagai perbahasan sekitar ilmu-ilmu wahyu Islam, metode-metode pengajarannya dan perlunya sikap kritis dalam usaha menyusun kembali metode-metode pengajaran tersebut serta pembaikan pelbagai aspek praktikal pengajaran yang berkaitan dengannya.

Saya melihat perbahasan berkenaan perkara ini adalah sesuatu yang penting agar ilmu-ilmu tersebut dapat melaksanakan peranan yang semestinya dalam membangunkan sebuah model peradaban yang Islamik dan Islamisasi ilmu-ilmu kemanusiaan dan kemasyarakatan.

Beliau meninggal dunia dalam keadaan berjuang pada jalan Allah dan semoga menjadi contoh teladan buat generasi selepasnya. Semoga Allah merahmati beliau dan melahirkan ramai tokoh mufakkir yang hebat seperti beliau pada masa kini. رحم الله مولانا الشيخ محمد الغزالى