Berikut adalah ringkasan yang sempat saya catatkan berkenaan kes pertempuran berdarah yang berlaku di Masbero, Kaherah pada kelmarin (9/10/2011) :

1) Beribu-ribu rakyat Mesir beragama Qibti keluar ke jalan raya pada 9/9/2011 untuk membantah satu kes Gabenor Aswan yang mengarahkan sebuah kubah gereja di Idfu, Aswan dirobohkan dan meminta agar gabenor tersebut dipecat.

2) Semasa perhimpunan tersebut, tiba-tiba ada sekumpulan pemberontak upahan yang melepaskan tembakan dan menimbulkan huru-hara dengan membakar kereta dan sebagainya. Disebut oleh para penganalisis bahawa itu adalah tindakan yang dibuat oleh para pemberontak pro-Mubarak yang diupah.


3)  Belum selesai masalah di Masbero. Hospital Qibti, Qamrah yang menempatkan mangsa-mangsa cedera yang sedang dirawat diserang oleh puak-puak samseng upahan yang bersenjatakan kayu dan alat tajam. Sudah jelas inilah perancangan halus musuh-musuh yang cuba membuat onar tatkala proses pencalonan pilihanraya Mesir akan diadakan pada 12/10/2011 nanti.


4)  Selepas beberapa jam ketika berlakunya kes pertumpahan darah tersebut,  setiausaha US Hillary Clinton menelefon pihak ketenteraan Mesir untuk menawarkan tentera mereka bagi menjaga keselamatan Mesir dan juga menawarkan khidmat pasukan tenteranya jika perlu bagi menjaga tempat-tempat tertentu serta rumah ibadat.. Para penganalisis menyebut bahawa itu salah satu stategi Amerika untuk menempatkan tentera mereka di Mesir.


5) Pihak Tentera mengeluarkan qarar perintah berkurung bagi sesiapa yang berada di Masbero, sepanjang jalan berdekatan Tahrir dan juga Abbasiah bermula jam 2 pagi ini hingga 7 pagi tadi (10/10/2011).

6)  Syeikhul Azhar Syeikh Ahmed Tayyib mengadakan pertemuan pada pagi tadi (10/10/2011) diantara para pembesar agama Islam dan juga Masihi bagi membincangkan jalan penyelesaian berkenaan perkara ini. Syeikh juga turut menjemput Pope Shenouda III, Pope Alexandria dan beberapa pemimpin Kristian yang lain untuk mengambil bahagian dalam perbincangan tersebut.

7)  Hari ini (10/10/2011) Kementerian Kesihatan Mesir menyebut bahawa pertempuran yang berlaku semalam mengorbankan 24 orang (termasuk pihak keselamatan dan juga penunjukkan perasaan beragama Qibti) dan 213 orang cedera (86 pihak keselamatan dan 107 orang awam) dan pihak keselamatan sedang mengadakan operasi menangkap para perusuh.

8)   Jamal Tajuddin, ketua Setiausaha Jawatankuasa kebebasan dari Persatuan Peguam Mesir menyebut bahawa hukuman undang-undang yang boleh dikenakan kepada para perusuh adalah hukuman mati.


9)  Ramai pihak daripada pelbagai parti politik mengatakan bahawa pihak tentera perlu segera menyerahkan kerajaan kepada kerajaan yang dipilih oleh rakyat dan mempercepatkan proses pilihanraya.

10) Marshal Hussein Tantawi mengatakan di dalam sidang akhbarnya bahawa akan menyerahkan secepat yang mungkin kerajaan sementara ini kepada kerajaan yang dipilih rakyat, iaitu penamaan calon pada Rabu ini (12/10/2011) seperti mana yang telah dijadualkan.

11) Beliau juga menyebut akan menubuhkan sebuah jawantakuasa khas bagi menyiasat perkara ini dan juga akan berusaha untuk membendung campurtangan luar dalam politik Mesir. Dalam kes semalam adalah cubaan kali ketiga US cuba campur tangan.

12)  Mengikut jadual asal yang telah dikeluarkan oleh pihak tentera melalui Suruhanjaya Agung Pilihanraya Mesir dan juga pihak parti politik yang bertanding, penamaan calon akan diadakan pada 12 Oktober 2011. Pembuangan undi bagi Dewan Rakyat (مجلس الشعب) pada 28 November 2011 (Dibuat secara berperingkat iaitu sebanyak 3 peringkat dan berakhir pada 3 Januari 2012). Pembuangan undi bagi Dewan Negara (مجلس الشورى) pada 29 Januari 2012 hingga 11 Mac 2012. Dewan Rakyat negara Mesir dijangkan akan bersidang untuk kali pertama pada 17 Mac 2012. Pilihanraya untuk Presiden akan diadakan selepas selesai pilihanraya Dewan Negara dan Dewan Rakyat.