Assalamualaikum w.b.t kepada semua para muslimin dan muslimat tidak kira dimana berada,saat dan ketika.

Sudah lama rasanya ana tak update tinta ni,lantaran kesibukan dunia yang melampau ,
bak kata Al-Banna "kewajipan lebih banyak daripada masa".jadi untuk kali ini Insyaallah kita akan berbincang sedikit mengenai persiapan kita untuk menjadi pendakwah agama Allah S.W.T

Apabila kita semua mengakui dan percaya bahawa hanya agama Islam merupakan satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah dan merupakan agama yang meliputi seluruh cara hidup.."way of life". Jadi sayugia kita berjuang menegakkan agama islam yang kita cintai ini walaupun seluruh manusia dimuka bumi ini bangkit menentang kita.

Akan tetapi setiap perkara yang akan kita lakukan perlulah kepada persiapan yang mencukupi dan rapi supaya apa yang kita buat berkesan dan berjaya..

Jadi untuk tinta kali ini ana bawakan sedikit persiapan yang perluada untuk para da'ie sekalian,berdasarkan setitis ilmu yang ana ada dan rujukan daripada buku-buku haraki yang ditulis oleh pejuang-pejuang islam yang digeruni oleh dunia masa kini seperti Ustaz fathi Yakan dan sebagainya.Jadi moga-moga perkongsian ilmu ini memberi kebaikan untuk para pejuang islam sekalian.

Persiapan dan Akhlak Para Daie




Berdakwah atau mengajak manusia kepada agama Allah pada asalnya ialah kerja para Nabi dan Rasul-rasul sementara umatnya sebagi kongsi dan penyambung risalah. Bagi kita umat Muhammad S.A.W., pendakwah yang pertama adalah Baginda sendiri. Sementara kita yang hidup pada hari ini dan mereka yang hidup sebelum dan selepas kita adalah sebagai penyambung yang diarahkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah. Jika arahan ini dilaksanakan dengan baik oleh setiap penganutnya adalah suatu perkara yang amat menarik.

Persiapan

Oleh kerana pendakwah yang pertama bagi umat Muhammad adalah baiginda sendiri, maka beliau hendaklah dijadikan contoh di dalam menentukan persiapan. Jika ditilik daripada Rasulullah S.A.W. kita dapati ada tiga persiapan yang amat menarik, Iaitu;




i. Kefahaman yang halus



ii. Keimanan yang mendalam



iii. Hubungan yang kuat dengan Allah S.W.T.



1. Kefahaman Yang Halus



Berilmu sebelum beramal adalah suatu perkara yang penting dan pasti. Beramal tanpa ilmu akan membawa kepada kesesatan dan kerosakan. Oleh kerana itu para daie hendaklah memiliki kefahaman terhadap kitab Allah, sunnah Rasulullah, sirah khulafa’ ar-rasyidin, salaful soleh dan hikmah al-tasyri’ islami dengan kadar yang sepatutnya supaya ia tahu yang halal dan yang haram dan seterusnya menyampaikannya dengan benar.



Para daie yang memahami itu semua mengerti dan menyedari dengan penuh yakin bahawa perjalanan menuju ke hari akhirat itu memerlukan bekalan yang tahan lama, iaitu bertaqwa kepada Allah. Itulah yang dimaksudkan dengan kefahaman yang halus.Kefahaman yang seperti ini menjadikan para daie menyedari matlamat hidupnya di dunia ini dan mengetahui kedudukannya di kalangan manusia.



Matlamat Hidup Para Daie




Sayugia diingatkan bahawa terdapat di dunia ini dua golongan manusia. Satu golongan mementingkan makan dan minum serta berlazat-lazat dengan nikmat Allah di dunia ini. Kedudukan mereka di kalangan masyarakat adalah merosak dan menyesatkan. Sementara golongan yang lain pula ialah golongan yang arif (tahu) kenapa mereka dijadikan Allah dan apa pula matlamatnya.



Golongan ini mengetahui dan menunaikan tanggungjawab mereka terhadap Allah. Kedudukan mereka di kalangan masyarakat ialah sebagai mursyid(pembimbing) ke jalan Allah, pembimbing ke arah kebenaran dan penyelamat dari kesesatan. Ini adalah golongan para daie.




Ekoran dari itu mereka memandang ringan akan kelazatan hidup dunia. Ia menggantungkan hidupnya dengan hari akhirat. Ia memahami benar bahawa kehidupan dunia ini walaupun indah dan cantik, ia tidaklah seindah kehidupan akhirat. Hal ini menjadikan mereka tidak terpedaya dan terpesona oleh segala macam pujuk rayu dunia.



2. Keimanan Yang Mendalam



Keyakinan para daie bahawa Islam yang dianuti dan seterusnya ia mengajak orang lain supaya sama-sama menganutinya itu adalah satu-satunya kebenaran. Adapun yang lain semuanya batil dan sesat. Dia yakin bahawa setiap penyelewengan dari Islam ialah hawa nafsu.

Keyakinan ini menjadikan para daie tidak berganjak walaupun berdepan dengan mehnah ibtila’ dan sebagainya.




Keimanan yang seperti inilah yang menyebabkan para sahabat R.A. tidak berganjak walaupun mereka ditindas dan terpaksa berpindah ke negeri Habsyah dan akhirnya ke negeri Yathrib (Madinah). Adapun lemah semangat maka jauh sekali.




Perlunya keimanan yang mendalam kepada para daie tidak dapat dipertikaikan lagi, lebih-lebih lagi pada zaman kita ini di mana dasar kufur memerintah dan berkuasa. Hal ini lebih diperlukan lagi apabila dasar kufur itu disokong pula oleh golongan ulama’ yang rela menjual agamanya dengan harga yang terlalu murah. Keadaan ini membawa para daie berdepan dengan bermacam-macam mehnah.Keimanan yang seperti ini meninggalkan kesan yang terlalu baik dan berguna kepada para daie.




3. Hubungan yang kuat dengan Allah



Yang kita maksudkan dengan di atas ialah bergantungan para daie kepada Allah dan bertawakkalnya kepada Tuhannya dalam semua perkara. Ia yakin bahawa Allah sahaja yang memberi manfaat. Allah sahaja yang memberi mudharat. Allah sahaja yang mentadbir, mengurus, menjadi atau menggagalkan usahanya. Dia benar-benar yakin bahawa segala makhluk dan benda lain tidak memberi bekas.




Walaupun demikian, janganlah hendaknya para daie menentukan masa yang ia ingin mencapai kemenangan – pertamanya ia tidak menentukan bilakah ia mesti dibebaskan dari sebarang mehnah.



Akhlak Para Daie




Walaupun persiapan telah cukup, tapi para daie masih memerlukan kepada pekerti yang mulia seperti sifat siddiq, amanah, fathonah, beramal dengan ilmunya, lemah lembut dan berlapang dada, berani dalam menyatakan kebenaran atau menjaga kehormatan diri serta tidak mengharapkan sesuatu dari orang lain, berpuas hati dengan apa yang dimiliki dari habuan dunia.

Dia sedar bahawa punca kelemahan para daie ialah cintakan dunia dan bencikan maut. Para daie juga dikehendaki mempunyai cita-cita yang tinggi, bersabar dalam menghadapi mehnah, bertaqwa, pemurah, dermawan dan sebagainya.




Selain dari sifat-sifat di atas, para daie juga dikehendaki supaya berada di dalam jemaah islamiyah. Jika mereka berada di dalam sebuah negara yang sudah mempunyai jemaah islamiyah, maka wajiblah mereka menyertai jemaah itu dan jangan ia menubuhkan jemaah yang baru kerana ini boleh memecahkan golongan Islam dan melambatkan kerja-kerja dakwah.



Sekadar itulah untuk perbahasan dan perbincangan untuk tatapan kita bersama sebagai para daie,PEJUANG ISLAM SEKALIAN



Wallahu’alam.