Assalamualaikum w.b.t kepada semua para muslimin dan muslimat tidak kira dimana berada,saat dan ketika.

Hari ini 27 Rejab 1430 Hijrah bersamaan 20 Julai 2009 ummat Islam di seluruh dunia akan menyambut ulangtahun peristiwa Isra’ dan Mikraj.

Isra’ dan Mikraj adalah merupakan satu mukjizat pengembaraan seorang Insan bertaraf Rasul untuk mengadap Tuhannya Qadhi Rabbul Jalil .
Ulama’ berbeza pendapat dalam menentukan tarikh tepat berlakunya peristiwa agung ini. Al Imam An Nawawi dan Al Qurtubi mentarjihkan pandangan yang meletakkan tahun kelima An Nubuwwah sebagai tahun berlakunya Isra’ dan Mikraj.

Sementara pandangan yang menyebut bahawa Isra’ dan Mikraj berlaku pada tanggal 27 Rejab tahun kesepuluh An Nubuwwah pula ditarjih oleh Al A’llaamah Asy Syeikh Mansur Puri .
Apa yang menarik , ( menurut pandangan yang kedua ) peristiwa Isra’ dan Mikraj ini berlaku pada tahun yang dikenali sebagai tahun dukacita . ( عام الحزن)

Tahun Dukacita ( عام الحزن )
Ada 3 peristiwa penting yang mengheret Baginda Rasul saw. ke kancah rasa dukacita yang sangat mencengkam jiwa dan perasaan.
1) Kewafatan Saidatina Khadijah Rha.
2) Kematian Abu Talib.
3) Ancaman Musuh yang Meningkat

Kewafatan Saidatina Khadijah Rha.

Seorang tokoh yang sangat penting dalam hidup baginda saw. Bukan sahaja sebagai seorang Isteri tetapi juga sebagai individu yang bertanggungjawab membiayai perjuangan Baginda saw.
Khadijah Rha. adalah orang yang pertama beriman kepada Allah dan RasulNya saw. di saat orang lain kufur kepadanya , yang menghulurkan seluruh hartanya disaat orang lain memboikot perjuangan Rasulullah saw. , yang menenangkan perasaan baginda saw. di saat orang lain menyakitinya.Membakar semangat nabi ketika nabi lemah semangat.Ana masih lagi ingat kata-kata murabbi ana al-Fadhil Ustaz W. Mizan(moga-moga sentiasa dirahmati Allah) semasa membincangkan hal ini..kata ustaz

“Ini menunjukkan kepada kita bahawa adalah penting kepada seorang pejuang Islam supaya memilih seorang isteri yang bukan hanya dapat memberi kesenangan hidup kepada kita malah juga menjadi penasihat kepada kita apabila kita lemah dalam berjuang,menjadi penenang kepada kita apabila kita disakiti dalam perjuangan...kalau si suami berasa malas nak pergi usrah isteri yang peringatkan..ini merupakan elemen yang paling penting kerana sedah berapa ramai yang hebat berjuang di alam kampus mahupun di sekolah, apabila silap membuat pilihan dalam hal ini menyebabkan seseorang pejuang itu menjadi orang yang Mutasaqituna ‘ala Tariqu da’wah..”

Khadijah Rha juga adalah tokoh yang disegani oleh seluruh penduduk Quraisy justeru beliau adalah seorang tokoh hartawan terkemuka di kalangan mereka. Pastinya pemergian Saidatina Khadijah Rha. sangat dirasai oleh Baginda saw.

Kematian Abu Talib .

Tidak dinafikan lagi , sejarah sangat menyedari kehadhiran Abu Talib yang bertanggungjawab menjaga dan mengasuh Nabi saw. sejak kewafatan datuknya , Abdul Muttalib .
Bahkan Abu Talib selaku bapa saudaranya turut memainkan peranan penting dalam melindungi Rasulullah saw. sepanjang detik – detik cemas dan getir berhadapan dengan ancaman dan ugutan kuffar Quraisy.

Namun tokoh besar ini juga dimatikan peranannya di awal kisah perjuangan baginda Rasul saw. Apatah lagi, matinya Abu Talib tanpa Iman . ( menurut pandangan Ahli Sunnah wal Jamaah .)
Tentu sahaja , kehilangan peranan Abu Talib yang terlalu banyak jasanya terhadap Rasulullah saw. Walaupun masih kufur kepada Allah , sangat memilukan perasaan baginda saw.

Ancaman Musuh yang Semakin Meningkat.

Sering kali perancangan kuffar Quraisy untuk menekan dan menyakiti Rasulullah saw. tergendala ekoran kehadhiran 2 tokoh besar dan terbilang dalam hidup Baginda Rasul saw.
Selepas kedua – dua tokoh tersebut meninggal dunia , ianya menjadi kesempatan terbaik buat kuffar Quraisy untuk melipat gandakan tekanan dan asakan mereka kearah perjuangan yang didokong oleh Rasulullah saw.

Penentangan yang dihadapi oleh Rasulullah saw itu adalah penentangan yang dilakukan oleh kaum kerabat dan sanak saudara baginda saw. sendiri. Pastinya fenomena ini menghiris perasaan Baginda saw. , sedang sebelumnya masyarakat Quraisy sangat mengenali keperibadian Baginda saw. sebagai insan al Amin .

Percubaan Baginda saw. menembusi benteng daerah sendiri.

Memandangkan Islam agama yang benar , di tolak mentah – mentah oleh mereka yang berada di dalam tanah air baginda saw. sendiri , Baginda saw. mengambil langkah membawa Islam ini ke Taif dengan harapan penduduk Taif boleh menerima Islam jika ianya di tolak oleh penduduk Makkah.

Ternyata , kafir Quraisy lebih cepat bertindak dengan melaporkan pemergian Nabi saw. ke Taif kepada pembesar – pembesar Taif. Laporan negative dan tidak benar yang dibawa itu , membuatkan pembesar Taif “menyambut” kedatangan Nabi saw. dengan batu dan kata nista yang dilemparkan kearah baginda saw. oleh pemuda – pemuda tahan lasak yang telah diupah oleh mereka .

Baginda s.a.w Bemunajat kepada Allah

Baginda saw. terpaksa pulang kembali ke Kota Makkah setelah mendapat bantahan sengit dari pembesar dan penduduk Taif. Kecederaan yang dialami oleh Baginda saw. menambah penderitaan dan kesengsaraan yang rasai dalam memimpin perjuangan suci ini.
Pertengahan jalan , Baginda Rasul saw. berhenti rehat buat seketika di sebuah kebun milik Utbah dan Syaibah bin Rabiia’h. Rasulullah saw. menadah tangan lantas bermunajat dengan hati baginda yang hiba .

Ya Allah , kepadaMu aku mengadu betapa lemahnya kekuatanku dan betapa sedikitnya helah upayaku dan betapa hinanya aku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan yang maha Penyayang mengatasi segala yang menyayangi ,
Engkaulah tuhan orang – orang yang lemah dan Engkaulah tuhanku. Kepada siapakah Engkau serahkan diriku ini ?
kepada orang jauh yang senantiasa memerangiku atau kepada musuh yang mahu menangkapku ? Jika tiada kemurkaanMu terhadap diriku ini , nescaya aku tidak peduli ( akan ku teruskan perjuangan ini )
Akan tetapi naungan kesejahteraanMu terlebih aku harapkan. Aku berlindung dengan cahaya keredhaanMu yang telah menerangi kegelapan.

Dengan Hikamah Ilahi, doa ini diterima oleh Allah s.w.t..
Ada riwayat menyebut bagaimana Allah menghantar Malaikat yang menjaga bukit datang mengadap Nabi saw. untuk memohon izin bagi menghempaskan Bukit Taif ke atas seluruh penduduknya yang telah menyakitkan Rasulullah saw. Namun Nabi saw. tegas menjawab :

Demi Allah , bahkan apa yang aku harapkan ialah bakal lahir dari sulbi – sulbi mereka , generasi yang mengabdikan diri kepada Allah tuhan yang Esa.

Subhanallah, jauhnya pandangan dakwah Nabi saw. demi masa depan agama suci ini.Kalau kita bagaimana ? sudah tentu kita menerima sahaja pelawaan malaikat tersebut dek keengganan mereka menerima Islam. Ternyata kebangkitan generasi muda telah mewarnai perjuangan Islam yang telah diasaskan oleh Rasulullah saw. ini . Sabda Rasulullah saw :
.
Aku ingatkan kamu mengenai pemuda agar diperlakukan dengan sebaiknya. Sesungguhnya mereka memiliki jiwa yang mudah dibentuk. Sesungguhnya Allah telah membangkitkan aku dengan agama yang benar maka pemuda telah membantuku sementara yang tua sering menyanggahiku.

Perjuangan diselubungi Nasr(pertolongan).

Saat menanggung rasa penuh dukacita..hiba , menghadapi segala mehnah dan tribulasi yang menimpa dan karenah golongan kuffar , Nabi saw. diundang oleh Allah swt. untuk naik mengadapNya seperti mana yang telah dirakamkan oleh Allah didalam surah Al Israa’ ayat 1
Tanda – tanda keagongan Allah swt. justeru satu bukti bahawa Allah swt. adalah Tuhan yang maha Perkasa lagi Gagah . Tiada tolok bandingnya . Tiada siapa yang mampu mengalahkannya. Itulah Allah swt. yang senantiasa menaungi dan membantu perjuangan Islam ini.

Maka tiada apa lagi yang mengembirakan Nabi saw. setelah menghadapi segala penderitaan dan kesengsaraan di arena perjuangan , melainkan baginda saw. melihat sendiri bagaimana keagongan Ilahi .

Ianya menjadi Nasr ( pertolongan ) buat Nabi saw. dan juga kepada mereka yang menjejaki Manhaj an Nabawi ini .Biarpun musuh sering menguasai keadaan dan pula senantiasa mempunyai kesempatan untuk menyakiti perasaan dan tubuh badan pejuang – pejuang Islam , Allah pasti sahaja tidak akan mensia – siakan mereka .Jangan kamu merasa lemah Allah senantiasa bersama kamu.

Menghayati tanda keagongan Allah swt. menjadikan pejuang Islam beroleh keyakinan bahawa perjuangan Islam ini bersandarkan satu kekuatan yang tidak mungkin dapat ditewaskan .
Fenomena inilah membuatkan Nabi saw. dan seluruh pejuang Islam di sepanjang zaman tidak lagi berasa gentar terhadap ancaman musuh , biar setinggi mana kuasa mereka , selebar mana pengaruh mereka dan sebanyak mana tentera mereka , ternyata mereka teramat kerdil dan hina di sisi Allah swt.

Firman Allah swt :
Dan janganlah kamu berasa hina menghadapi golongan itu ( musuh kamu ) , jika kamu berasa sakit , sesungguhnya mereka juga berasa sakit sebagaimana kamu berasa sakit . sedang kamu mengharapkan ( redho ) Allah , suatu yang tidak diharapkan oleh mereka .

[2]DairyKU m/s 128 : Ana masih ingat ketika berusrah dengan murabbi ana.
[3] Buku Isra’ Mi’raj oleh Ustaz Abu Bakar Abdullah