Sejak akhir-akhir ini saya lihat berbagai-bagai isu yang telah berlaku di Malaysia,terutamanya isu yang berkaitan dengan golongan muda/mahasiswa.Saya sempat mengikuti perkembangan isu semasa yang berlaku di Malaysia daripada sumber-sumber internet ataupun mendapat maklumat daripada sahabat-sahabat di Malaysia sendiri.

Isu yang saya kira menarik untuk saya perkatakan disini adalah timbulnya isu kebenaran mahasiswa/i untuk melibatkan diri dalam politik dan kabinet telahpun bermesyuarat untuk membincangkan tentang cadangan ini.

Keputusannya status quo. Mahasiswa tetap terlarang untuk terlibat dengan politik. Secara tersiratnya, kabinet turut mengakui bahawa mahasiswa masih tidak matang.

Baru-baru ini juga saya diberi kesempatan untuk melihat video rakaman TV 3 dalam rancangan Soal Jawab yang membincangkan soal ini (lihat sini).Secara peribadi cukup kecewa apabila mantan Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah menyifatkan mahasiswa Malaysia sebagai tidak matang.

Saya tidak pasti apakah definisi matang menurut Tan Sri. Adakah dengan memiliki beberapa buah banglo besar dan berjawatan tinggi serta mampu menabur wang kepada para pengikut untuk memenangi sebarang jawatan parti baru layak dianggap matang?

Walau apapun tafsiran beliau tentang tahap kematangan mahasiswa, kenyataan itu saya kira tetap keterlaluan dan menghina anak bangsa sendiri.Tan sri secara sedar ataupun tidak, telah merumuskan bahawa anak-anak bangsa Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di peringkat yang tinggi sebagai tidak matang dan tidak layak lagi berpolitik.

Suatu rumusan yang boleh disifatkan sebagai tragis dan memilukan.

Saya kira mahasiswa khususnya yang mengaku aktivis perlu memandang serius terhadap kenyataan ini.
Selain tuduhan ini juga, mahasiswa di Malaysia telah dikhianati dengan penafian hak untuk bergerak secara fitrah sebagaimana mahasiswa-mahasiswa di luar negara. Kewujudan AUKU adalah hantu yang akan terus membelenggu.

Jika di luar negara pula,saya khususkan di Mesir ini,walaupun disini mahasiswa tidak diugut atau dikhianati dengan AUKU,akan tetapi mereka diugut pula dengan penarikan zakat atau tajaan yang sememangnya menjadi hak mahasiswa sebagai penuntut ilmu,akan tetapi inilah hakikat yang berlaku.

Sekatan demi sekatan yang dikenakan kepada mahasiswa untuk membonsaikan minda mahasiswa itu sendiri.

Mahasiswa seharusnya diberikan ruang dan peluang agar dapat bertindak dan berperanan dengan lebih proaktif, sebagai agen yang boleh menjadi sebahagian daripada team "check & balance" iaitu semak dan imbang, bersuara memberikan pandangan, menyumbang idea dan sumbangsaran yang lebih baik kepada pihak kerajaan.

Rasionalnya, kewujudan AUKU atau isme-isme yang berbentuk ugutan ini telahpun menyekat peranan ini.

Apa yang perlu kita sedari adalah mahasiswa ibarat satu golongan yang menjadi elemen penyedar dalam masyarakat,mampu melihat kebenaran serta kesilapan dasar negara.

Mereka juga menjadi harapan rakyat awam dan juga menjadi kumpulan pendesak yang berkesan kepada persekitaran negara dan masyarakat.
  Jhon Thyler Hammons, Datuk Bandar US yang dipilih pada usia lewat belasan tahun, Mereka punyai ruang yang luas untuk berperanan membangunkan negara ketika masih muda.

Ini tidak bermaksud supaya mahasiswa menghabiskan masanya dengan berpolitik sehingga mengabaikan pengajian,akan tetapi mahasiswa perlu diberi peluang untuk bepolitik,dalam erti kata yang lain sebagai policy marker seperti mana orang muda di Barat,mereka sudah mula diberi peluang untuk bersama-sama berusaha dalam kemajuan negara.

Jika mahasiswa masih lagi dianggap sebagai tidak matang,bagaimana kesinambungannya dengan kata-kata ulamak bahawa pemuda sekarang adalah pemimpin masa hadapan?