Saya sebenarnya telah lama mengikuti krisis yang berlaku di Timur Tengah. Revolusi rakyat yang berlaku bermula di Tunisia hingga ke Mesir dan disusuli pula di Libya, Yaman, Bahrain dan beberapa buah lagi negara Arab yang lain.

Krisis yang berlaku di Tunisia saya tidak ikutinya dengan begitu serius, namun krisis yang berlaku di Mesir mahupun di Libya saya ikuti sehingga sekarang kerana kebetulan ketika bermulanya revolusi 25 Februari itu saya masih lagi berada di Mesir.

Krisis yang berlaku di Tanah Arab yang diistilahkan oleh masyarakat dunia sebagai  revolusi yang berlaku dek kerana kebosanan rakyat terhadap pemimpin mereka yang tidak menjalankan tugas mereka dengan sebaik mungkin dan menzalimi rakyat. Maka, satu revolusi telah dilakukan oleh rakyat untuk menggulingkan pemimpin mereka.

Jika di Mesir ia mengambil masa hanya 18 hari untuk rakyat menggulingkan Hosni Mubarak, dan ditukarkan kepada pemimpin yang lebih “dekat” dengan rakyat. Namun, apa yang menarik perhatian saya adalah krisis yang berlaku di Libya. Muammar Gadafi dilihat masih tegar untuk mempertahankan tampuk kempimpinannya tanpa menghiraukan desakan rakyatnya agar beliau meninggalkan kuasanya yang telah berusia lebih 40 tahun lamanya.

Sehinggakan Mummar Gadafi menggunakan seluruh jentera ketenteraannya bagi memerangi rakyatnya yang memberontak sehingga mengorbankan  ribuan nyawa rakyat Libya yang tidak berdosa.

Namun begitu, mengikut pengamatan saya berdasarkan sejarah yang lampau, Muammar Gaddafi adalah seorang pemimpin yang sangat hebat. Kehebatannya tidak dapat ditandingi oleh Yasser Arafat, Fidel Castro mahupun Hosni Mubarak yang baru sahaja tumbang beberapa minggu lepas.

Jika anda pernah menyelongkar sejarah Muammar Gaddafi, Gaddafi adalah seorang manusia yang telah menyelamatkan Arab dari dijajah oleh Amerika Syarikat. Sehinggakan media Barat ketika itu menggelarkan Muammar Gadafi sebagai seorang penggerak revolusi diseluruh Arab.

Gaddafi juga adalah salah seorang manusia yang begitu berani menentang Amerika Syarikat dengan sendirinya walaupun tidak mendapat sokongan negara kuasa-kuasa besar. Antara tindakannya yang paling lantang adalah mempertikaikan kuasa VETO oleh Amerika, Perancis, Rusia, Great Britain dan China.

Oleh kerana itu, saya merasakan bahawa konspirasi yang dilakukan oleh Amerika Syarikat yang mengarahkan kerajaan Arab Saudi agar membekalkan senjata kepada rakyat Libya yang anti-Gadafi cukup mencurigakan. Arab Saudi yang sebelum ini pernah mempunyai perselisihan dengan Libya, seolah-olah diperkudakan oleh Amerika Syarikat  agar berkomplot dengan anti-gadafi untuk menggulingkan Gadafi kerana Gadafi sebenarnya ditakuti oleh kuasa Barat dengan kekuatan ketenteraannya dan kekayaan minyak di negaranya.
Jika dilihat pada sejarah Libya dan Gaddafi, kita dapat lihat bahawa Amerika Syarikat sebuah negara kuasa besar pernah menyerang Libya pada tahun 1986 hinggakan anak Gadaffi terbunuh tetapi Gaddafi masih kekal teguh berdiri di Libya.

Jika negara-negara lain diserang oleh Amerika Syarikat, pastinya hancur berkecailah negaranya dengan pemimpinnya lari ke luar negara.

Itulah sejarah yang saya kira perlu diketahui oleh para pembaca sekalian agar kita menilai sesuatu isu yang berlaku sebaik mungkin tanpa menghukum secara membuta tuli. 

Adapun begitu, segala kehebatan yang disebutkan tentang Muammar Gadafi  tidak mampu menghapuskan keburukan yang dilakukan oleh Muammar Gadafi yang banyak mencabar agama Islam sepanjang pemerintahannya di Libya.

Muammar Gadafi adalah Musailamah Kazzab abad ini menurut Syeikh Mujahid Abdurrahman Hasan di dalam bukunya yang berjudul "Qaddafy Musailamah al Ashr". Di dalam buku tersebut, penulis merakamkan beberapa ucapan yang diucapkan oleh Muammar Gadafi dihadapan rakyat beliau yang kebanyakannya mengutuk dan menghina Islam.

Pernah juga suatu ketika, dalam sebuah wawancara dengan Mirella Bianco, seorang wartawan daripada Itali bertanya kepada Muammar Gadafi : " Wahai Nabi Allah, apakah engkau juga menggembala kambing?". Gadafi menjawab : "Ya, tentu..Tidak ada satu Nabi pun yang tidak menggembala kambing". Wawancara ini dimuatkan di dalam "Gadafi: Messenger of Dessert tulisan Mirella Bianco”

Setelah para pembaca mengetahui segala serajah dan kisah berkenaan Muammar Gadafi, satu perkara yang saya kira perlu disebutkan disini adalah kenaikan Muammar Gadafi sebagai pemimpin Libya juga adalah sebenarnya hasil daripada revolusi yang pernah dilakukannya.

Pada 1 September 1969, satu kumpulan kecil pegawai tentera yang dipimpin oleh Gaddafi telah melakukan rampasan kuasa terhadap Raja Idris I yang ketika itu menjalani rawatan perubatan di Turki Sepatutnya anak saudara Raja Idris 1 yang bernama Tengku Mahkota Hasan as-Senussi ditabal sebagai raja pada 2 September apabila Raja Idris turun tahkta pada 4 Ogos 1969. Namun, pegawai-pegawai revolusi enggan menerima Hasan sebagai raja Libya yang baru. Sebelum 1 September 1969, kerajaan sedia ada dimansuhkan dan Tengku Mahkota Hasan telah dijadikan tahanan dalam rumah.

Oleh kerana revolusi yang digerakkannya, beliau berjaya menguasai Libya dan menjadi pemerintah sehingga sekarang. Dan sekarang pula, rakyatnya pula ingin menggulingkannya.

Adakah jika kerajaan yang naik hasil daripada revolusi akan digulingkan juga dengan revolusi kelak? Saya bukan ingin menafikan revolusi, akan tetapi ingin mengajak para pembaca berfikir dan menilainya dengan teliti.

Saya juga berhasrat ingin menulis berkenaan perbezaan antara revolusi dan jihad yang disyariatkan oleh Islam.