Kehidupan adalah sebuah perjalanan panjang menuju sebuah kesempurnaan keabadian. Dalam menyelusuri perjalanan yang panjang ini, Allah menghidangkan pelbagai ujian dan cabaran kepada hambaNya. Itu adalah fitrah dalam kehidupan.

Ujian yang Allah hidangkan kepada hambaNya sebagai satu turning point agar hambaNya sedar bahawa dalam perjalanan ini ada batas-batas yang perlu dipatuhi dan dituruti. Melalui pembawa risalahNya,  Nabi Muhammad S.A.W mengajar umatnya agar dua asas dalam kehidupan seorang hamba iaitu al-Quran dan sunnah perlu diikuti.

Walau hakikatnya, setiap manusia mempunyai nafsu dan kehendaknya yang tersendiri akan tetapi kedua-dua asas ini perlu diikuti dengan penuh kehambaan. Jika kita analogikan, seorang pemandu kenderaan apabila berada di atas jalan raya, mereka perlu mematuhi segala undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan oleh penguatkuasa, begitu juga dengan Islam.

Islam mempunyai undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah, Sang Pencipta alam dan perlu dipatuhi oleh setiap manusia yang berada di atas muka bumi ini selaku seorang musafir kelana menyelusuri sebuah perjalanan bernama kehidupan.

Jika manusia tetap ingin melakukan maksiat dan ingkar terhadap arahan yang telah ditetapkan oleh Allah, maka carilah dunia lain yang dirasakan sesuai dengan dirinya dan bukannya Allah menjadi tuhan dunia tersebut. Itulah antara nasihat yang telah disebut oleh Ibrahim bin Adham yang patut diambil pedoman oleh  kita semua.

Melihat kepada suasana yang berlaku  kepada dunia kini, umat dunia sebenarnya sedang ditegur oleh Allah dek kerana masih ingkar akan perintahNya. Jika di Asia, kita diuji dengan Tsunami yang teruk di Jepun, sehinggakan mengorbankan ribuan nyawa. Begitu juga di negara kita sendiri, hakikatnya kita sedang diuji oleh Allah dengan keruntuhan akhlak para pemuda yang menjadi tulang belakang kepada sesebuah negara. Di Asia Barat bentuk ujian yang dikenakan oleh Allah sedikit berbeza dengan kebobrokan politik semasa yang begitu merunsingkan.

Tuntasnya, manusia khususnya umat Islam perlu sedar akan teguran ini. Jangan kita tidur dalam jaga. Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi pernah ditanya oleh anak muridnya tentang sebab pemilihan satu tajuk bukunya iaitu “Sohwatul Islamiyyah” (Kebangkitan Islam) .

Soal anak muridnya tentang apa rasionalnya syeikh meletakkan tajuk bukunya itu sebagai “Sohwatul Islamiyyah” sedangkan umat Islam hakikatnya akan terus bangkit dan akan ada golongan yang akan mempertahankannya. Lalu kata Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, tajuk buku ini adalah sebagai peringatan kepada umat Islam bahawa hakikatnya sekarang kita masih tidur dalam jaga.

Oleh yang demikian, umat Islam perlu sentiasa mengikuti segala arahan yang telah ditetapkan oleh Allah melalui dua sumber utama yang disebutkan tadi. Jangan kita terus lena diulik kemewahan dunia yang melalaikan.

Jangan contohi pahat dengan tukul yang apabila diketuk baru berbunyi, apabila diuji oleh Allah dengan bencana barulah ingin kembali kepada Allah.