Tidak salah sekiranya saya mengistilahkan umat Islam sekarang sebagai “hidup segan, mati tidak mahu”. Bunyinya agak kasar, akan tetapi inilah hakikat yang perlu kita telan dan kita muhasabah bersama.

Dewasa ini, Umat Islam dituduh dengan pelbagai tuduhan dan serangan yang menyimpang tanpa dasar kebenaran, musuh Islam menyifatkan kaum muslimin dengan jumud, dan beku, menuduh bahawa Islam adalah kekerasan dan terorisme.

Paling menyedihkan pula, kebanyakan daripada kaum Muslimin, kelu diam seribu bahasa apabila berhadapan dengan tuduhan yang liar sebegini. Sama sekali tidak sanggup membantah tuduhan tersebut. Seakan-akan mengiakan semua tuduhan yang dilemparkan oleh musuh Islam walaupun sebenarnya ia menyimpang jauh daripada kebenaran dan sejarah.

Semua sebab kebisuan ini adalah kerana kita sangat bodoh dan buta dengan asal-usul sejarah, dan peradaban Islam yang hakikatnya hebat dan menggerunkan dunia Barat suatu ketika dahulu. Fanomena kebodohan ini membelenggu akal dengan kerendahan diri dan keputusasaan yang menjelma dan menghantui jiwa umat Islam kini.

Dalam kondisi seperti ini, kita perlu melihat dan mengkaji asal-usul, membaca sejarah, dan mengenal sebab-sebab kehebatan dan kegemilangan kita. Kondisi umat akhir ini tidak akan menjadi baik kecuali dengan melihat kebaikan dari generasi pertama.

Sebagai contoh, jika zaman sekarang memasuki apa yang disebut dengan zaman robot, setelah ilmu pengetahuan dan teknologi mengalami kemajuan yang sangat cepat kebelakangan ini, maka sebenarnya sejarah telah membuktikan bahawa penemuan awal robot manusia telah terjadi pada zaman peradaban Islam sebenarnya.

Di dalam kitab Al-Jami' bainal 'Ilm wal 'Amal An-Nafi'fi Shina'ati al-Hiyal yang dikarang oleh Badi' Az-Zaman Abu Al-Izza Ismail bin Ar-Razzar Al-Jazari  telah merakamkan bahawa penulis ; Al-Jazari sebenarnya adalah orang pertama yang menciptakan robot manusia yang menjadi pelayan rumah.

Ketika itu, khalifah meminta kepadanya agar membuat alat yang menggantikan fungsi pelayan setiap kali khalifah akan berwudhu'. Maka Al-Jazari membuat alat seaka-akan manusia yang berdiri, sementara tangannya memegang teko air dan tangan kirinya memegang gayung.

Di atas surbannya pula terdapat burung. Ketika waktu solat tiba, burung itu akan bersiul-siul, lalu robot maju melangkah menuju tuannya dan mengalirkan air dari teko dengan kadar tertentu.

Setelah tuannya selesai dari wudhu', robot dalam bentuk pelayan tersebut menyerahkan teko air kepadanya. Kemudian ia kembali ke tempat asalnya, sementara burung itu bersiul-siul.

Kehebatan para cendikiawan dan sarjana Islam suatu ketika dahulu terbukti, sehinggakan kitab yang dikarang oleh Al-Jazari ini diterjemahkan semula oleh Donald Hill ke dalam Bahasa Inggeris pada tahun 1974.

Umat Islam suatu ketika dahulu sememangnya hebat dari setiap sudut, samada dari sudut ekonomi, reka cipta dan sebagainya. Satu perkara yang menjadi senjata rahsia kepada kehebatan Umat Islam terdahulu adalah kerana mereka begitu memuliakan Ilmu dan membudayakan budaya menuntut Ilmu dalam segenap bidang.

Oleh keran itu, umat Islam sekarang usah muak dan bosan untuk mengkaji dan mengetahui sejarah Umat Islam terdahulu. Hal ini kerana kita tidak mempelajari sejarah untuk sekadar memahami peradaban ini dengan sekadar teori atau dijadikan teori akademik semata-mata, akan tetapi tujuan dasarnya adalah mengembalikan bangunannya seperti semula dan mengembalikan kaum muslimin menuju jalan yang benar.

Kita mengetahui dan celik tentang kegemilangan peradaban Umat Islam terdahulu bukan suatu kebanggaan dan kesombongan, akan tetapi mengembalikan yang hak kepada ahlinya.

Tujuan kita juga adalah berdakwah kepada kebaikan agama yang dibina oleh sebaik-baik umat yang pernah terlahir di muka bumi ini.

Bukankah nabi pernah bersabda nabi :

“Alhikmatul dholllatul mukminin.. haithuma wajadaha fahua ahaq’qubiha”

Yang bermaksud : Hikmah itu adalah barang tinggalan milik orang mukmin, siapa sahaja yang menemuinya, maka dialah yang lebih berhak keatasnya.