Alhamdulillah hari ini genap seminggu saya tiba di Mesir setelah pulang ke tanah air disebabkan Revolusi Mesir yang berlaku 25 Januari lepas. Tahniah diucapkan kepada seluruh rakyat Mesir diatas kemenangan mereka menjatuhkan regim zalim Hosni Mubarak. 

Perjuangan rakyat Mesir berhimpun selama 18 hari di Medan Tahrir berbaloi kerana usaha mereka menuntut perubahan dengan menggulingkan Hosni Mubarak berhasil. Kini Hosni Mubarak berhadapan dengan lapan tuduhan jenayah. Lima daripadanya jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara hingga 90 tahun dan tiga lagi akan digantung sampai mati. 

Antara tuduhan yang dikenakan ialah menyeleweng duit rakyat, penipuan pilihanraya dan mengarahkan pembunuhan ke atas orang awam hingga 800 orang terkorban. Moga ia diambil iktibar oleh semua pemerintah yang zalim di dunia ini.

Sekarang rakyat mesir sedang melangkah melakukan pemulihan terhadap negara mereka yang teruk akibat penangan revolusi yang lalu. Mereka mula menurunkan semua gambar-gambar Hosni Mubarak dan anaknya Suzan disetiap tempat awam, papan tanda, stesen metro dan sekolah. Ada juga yang mengecat rumah atau bangunan mereka dengan bendera Mesir menandakan mereka sangat menghargai perubahan yang berlaku kini.

Apa yang saya lihat juga, rakyat Mesir semakin memberi kepercayaan kepada Majlis Tertinggi Angkatan Tentera yang menjadi kerajaan sementara sekarang setelah banyak tuntutan mereka dipenuhi. Tahniah saya ucapkan kepada Jeneral Hussein Tantawi, yang merupakan ketua Majlis Tertinggi Angkatan Tentera semoga Allah memelihara kamu.

Untuk makluman sahabat-sahabat juga, hari ini dan esok iaitu 24 dan 25 April merupakan hari cuti umum bagi negara Mesir. Hari ini, 24 April adalah perayaan Sham el-Nasim yang merupakan perayaan masyarakat Mesir sejak zaman lampau atau secara tepatnya adalah semenjak zaman Firaun. 

Sham el-Nasim bermaksud “ bau musim bunga”. Hari ini menandakan permulaan musim bunga dan disambut oleh masyarakat Mesir sama ada yang beragama Islam mahupun Kristian. Hari Sham el-Nasim juga mempunyai makanan, adat dan budaya tersendiri. Pada hari ini, kebiasaannya mereka akan memenuhi hadiqah (taman) dan juga di kawasan Sungai Nil. Mereka juga akan mewarnakan telur mengikut citarasa mereka dan telur itu juga akan dimakan bersama Fathirah (jika di Malaysia seperti roti canai). 

Manakala esok pula, cuti hari Tahrir Saina’ iaitu sempena pembebasan semenanjung Sinai daripada Israel. Seluruh rakyat Mesir telah merayakan hari ulangtahun pembebasan semenanjung Sinai dari tangan tentera Israel sejak tahun 1982 yang lalu lagi iaitu 29 tahun sudah kisah ini berlaku.

Kalau mengikut sejarahnya, selepas kekalahan Mesir dalam peperangan dengan Israel pada 1967 dan semenanjung Sinai dirampas oleh Israel. Anwar Sadat yang menggantikan Jamal Abdel Nasser dengan terang-terangan menyatakan pada 1972 bahawa Mesir komited untuk menyerang Israel dan telah bersedia untuk mengorbankan sejuta tentera Mesir untuk merampas kembali semenanjung Sinai.

Dalam temuramah dengan News Week pada 1973 sekali lagi Sadat dengan berani mengancam Israel. Israel berasa terancam dan bersedia pada peringkat maksimum serta yakin jika serangan berlaku mereka akan dapat menangkisnya. Perancangan dilakukan secara sulit dan Israel diserang secara mengejut oleh tentera Mesir. Peperangan itu berakhir dengan kejayaan Mesir merampas kembali semenanjung Sinai. 

Pada hari tersebut, Presiden Mesir telah menaikkan bendera Mesir setelah sempurnanya usaha peralihan kawasan tersebut kepada Mesir. Tahrir Saina’ berlaku setelah selesainya Perjanjian Camp David pada 1978 dan tandatangan perjanjian keamanan Mesir-Israel pada tahun 1979. Pada tahun 1982 barulah selesai pengunduran tentera Israel dari Semenanjung Sinai.

Maka sejak dari tahun itulah dirayakan hari Tahrir Saina’ sehinggalah hari ni dan dijadikan cuti umum bagi negara Mesir dan esok merupakan sambutan Tahrir Saina’ kali yang ke 29 bagi rakyat Mesir.

Alhamdulillah, pengalaman berada di negara orang dapat mendedahkan kepada saya sedikit sebanyak tentang budaya mereka. Yang baik dan sesuai dengan tuntutan syariat, kita jadikan pedoman manakala yang kurang baik itu kita jadikan sempadan. Saya mendoakan agar perubahan yang berlaku kepada negara Mesir ini dipelihara oleh Allah daripada anasir-anasir jahat yang cuba memusnahkannya.