http://khairunnisa184.files.wordpress.com/2010/07/jalan-lurus-jalan-tegak.jpg
Sepertimana entry saya sebelum ini, seluruh rakyat Mesir menyambut hari Tahrir Saina’ yang merupakan cuti umum bagi negara Mesir. Hari Tahrir Saina’ adalah merupakan sambutan pembebasan Semenanjung Sinai yang pada sebelum itu telah jatuh ke tangan Israel berikutan kekalahan Mesir dalam peperangan Mesir – Israel pada 5 Jun 1967.

Namun pada 6 Oktober 1973, tentera Mesir yang diketuai oleh Presiden Anwar Sadat telah menyerang Israel secara mengejut di Sinai dengan perancangan yang rapi menyebabkan Israel terpaksa mengundurkan tenteranya daripada Semenanjung Sinai. Tahrir Sainai’ ini berlaku adalah manifestasi daripada Perjanjian Camp David pada 1978 yang merupakan asas kepada termenterainya perjanjian keamanan Mesir-Israel pada tahun 1979. 

Perjanjian ini sememangnya memberi keuntungan ekonomi kepada Mesir akan tetapi ia seolah-olah ibarat perjanjian “ada udang disebalik batu” kerana ia akan melambatkan lagi kemerdekaan bumi Palestin.

Cuma apa yang menarik perhatian saya adalah apa yang telah dibongkarkan oleh Dr Ali Garisyah di dalam bukunya  “Du’at La Bughah” yang merakamkan perbincangan di antara Richard B. Mitchell dengan perisikan Amerika (CIA) di mana beliau telah mengemukan beberapa cadangan. Di antaranya adalah perlu diperbesarkan perselisihan faham orang Islam dalam masalah khilafiyah supaya mengalihkan pandangan umat Islam daripada isu yang lebih besar. 

Dalam konteks ini, sebenarnya Perjanjian Camp David menyentuh masa depan mereka. Jadi mereka perlu memikirkan suatu mekanisme untuk menghancurkan kemaraan gerakan Islam di dunia Arab khusunya di Mesir pada ketika itu. Pada mulanya pihak perisikan Israel mencadangkan supaya tindakan secara agresif perlu dilakukan ke atas kumpulan-kumpulan Islam terutama ke atas Gerakan Ikhwan Muslimin yang terdapat di negara-negara Arab dan juga di Eropah.

Tetapi cadangan ini ditolak kerana dibimbangi menimbulkan rasa simpati majoriti orang Islam terhadap Jemaah Islam, malah mendorong mereka untuk mengkaji dan menyertai perjuangan mereka. Jadi salah satu cadangan yang telah telah dicadangkan oleh Richard B. Mitchell telah dilaksanakan dengan jayanya sehingga berjaya memecah belahkan kesatuan umat Islam.

Kalau kita perhatikan isu yang berlaku di Mesir akhir-akhir ini bahkan diseluruh dunia Islam, isu perbalahan perkara khilafiyyah sebenarnya sedikit sebanyak telah meranapkan kesatuan umat Islam. Sebagai contoh isu yang kecoh diperkatakan baru-baru ini oleh mahasiswa Mesir berkenaan isu puak salafi yang menarik janggut Syeikh Hassan Syafie ketika hendak berkhutbah. Sangat menyedihkan, mereka menyebarkan berita ini tanpa  mengkaji dan meneliti dengan sebaiknya berita tersebut. Hilang disiplin ilmu dek kerana terlalu “rigik” dengan puak salafi. 

Isu sebegini sebenarnya sedikit sebanyak akan melemahkan usaha untuk membentuk kekuatan bagi membina sebuah masyarakat Islam selepas kejatuhan regim zalim Hosni Mubarak. Padahal sebenarnya isu ini adalah paluan gendang pihak musuh untuk memecah belahkan umat Islam. Yang paling menyedihkan ramai dalam kalangan umat Islam malahan mahasiswa al-Azhar sendiri terpedaya dan terperangkap dalam perbalahan yang terlah dirancang ini. 

Hal ini akan menyebabkan masyarakat Islam kian berpecah-belah lantaran keghairahan beberapa pihak yang begitu gemar mengadakan perdebatan dan perbahasan isu-isu khilafiyyah secara terbuka. Keadaan menjadi lebih parah kerana golongan awam turut diajak bersama-sama menjadi hakim yang tidak bertauliah tanpa didasari oleh ilmu dan akhlak.

Jika kita terlalu sibuk dengan isu-isu khilafiyyah dan menyebabkan masyarakat Islam saling menyalahkan diantara satu sama lain, berpecah-belah, tiada sifat kasih-sayang dan sebagainya bagaimana mungkin kita hendak menghadapi dengan semua ini dengan berkesan? Sibuk dengan isu-isu furu’ (cabang-cabang yang berlaku khilaf) fiqh sehingga menyebabkan maruah umat Islam tergadai adalah satu pengkianatan kepada Islam.

Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi pernah merakamkan di dalam kitabnya Sahwah al-Islamiyyah Baina al-Ikhtilaf al-Masyru’ Wa al-Tafarruq al-Mazmum “menjadi suatu bentuk pengkhianatan terhadap umat Islam pada hari ini dengan membawakan mereka tenggelam di dalam kancah perdebatan masalah-masalah furu’ fiqh atau picisan aqidah”

Diperbesarkan permasalahan khilafiyyah sehingga umat Islam terus leka dengan isu-isu ini sampaikan terlupa isu-isu besar yang sedang dihadapi oleh Islam adalah sesuatu perkara yang tidak patut berlaku. Musuh-musuh Islam sememangnya menantikan keadaan seperti ini bagi menghancurkan kekuatan umat Islam yang kian rapuh.

Pada saya, golongan yang suka berbahas dan berdebat isu-isu khilafiyyah ini mungkin terpedaya dengan mainan dan suntikan jarum-jarum syaitan. Kerana Imam Jauzi di dalam kitabnya Talbisu Iblis merakamkan bahawa di antara bentuk mainan syaitan ialah sibuk atau banyak berbahas dan berdebat dengan sangkaan untuk membetulkan dalil hukum serta pengistinbatan syarak yang halus di antara mazhab-mazhab.

Jadi umat Islam perlu bijak dalam menghadapi masalah ini. Kita perlu tahu bahawa kesatuan dan mengutamakan qadiyah (klik disni) umat adalah perkara asas yang perlu kita dahulukan apabila berbincang berkenaan perkara ini. Jangan kita hanyut dan terus lemas dalam membincangkan perkara ini.

Pilihlah diantara tiga golongan ; golongan pertama adalah masyarakat yang langsung tidak menghiraukan tentang permasalahan dunia ataupun isu umat Islam. Maka golongan ini nabi tidak mengakui mereka dalam kalangan umat Islam kerana sabda nabi mafhumnya :

“ Mereka yang tidak mengambil cakna tentang perihal umat Islam adalah bukan dari kalangan mereka”

Golongan kedua adalah masyarakat yang cakna akan permasalahan dunia ataupun isu umat Islam, tetapi hanyut dan terpedaya dengan helah dan tipudaya musuh Islam dengan isu tersebut. Hal ini kerana, mereka hanya tahu tetapi tidak mengkaji kesahihannya. Mereka inilah yang seolah-olah akan menjadi duta bagi musuh Islam dalam menghancurkan umat Islam. 

Golongan terakhir adalah masyarakat yang bukan sekadar cakna dan ambil tahu perihal dunia dan umat Islam, tetapi mereka mengkaji dan meneliti kesahihanya dan tidak mudah terpedaya dengan paluan gendang pihak musuh. Mereka juga menjadikan sejarah lampau sebagai pedoman untuk mereka menghadapi semua permasalahan yang berlaku. Maka golongan inilah yang ditakuti dan mahu dihapuskan oleh musuh Islam dan merekalah yang akan menjadi senjata rahsia bagi agama Islam. 

Maka pilihlah di antara tiga!