http://2.bp.blogspot.com/_trdfG8UQhGE/TAyX35vQFiI/AAAAAAAAARY/nsoUebA_yy0/s1600/Islamic_Learning3.jpg



Sekarang sedang kecoh berkenaan isu tuduhan atau kenyataan yang dikeluarkan oleh sesetengah pihak terhadap mahasiswa Mesir. Ada yang menganggap itu sebagai tuduhan liar pihak tertentu untuk menyekat rakyat Malaysia daripada menyambung pengajian mereka di bumi Anbiya’ ini. Itu adalah persepsi awal saya apabila melihat suasana yang berlaku sekarang.

Bermula dengan pelbagai tuduhan dan fitnah yang dilemparkan seolah-olah tidak ada peranan langsung yang dimainkan oleh mahasiswa Mesir untuk kebaikan Negara. Ada pula yang membuat kenyataan bahawa kualiti mahasiswa Mesir sekarang sudah berada pada tahap yang sangat rendah dari segi penguasaan bahasa Arab dan sebagainya. 

Baru-baru ini kecoh juga berkenaan kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang individu yang mengatakan bahawa kelemahan akademik mahasiswa Mesir sekarang adalah kerana mereka terlalu sibuk dengan persatuan sehinggan pelajaran mereka terabai. 

Walaubagaimanapun, isu ini semacam tidak ada jalan penyelesaiannya. Sesetengah pihak terus dengan tuduhan dan fitnah yang dilontarkan kepada mahasiswa Mesir dan satu pihak lagi mempertahankan dan menafikan tuduhan tersebut. Akan tetapi ia hanya sekadar berlegar di laman-laman sosial tanpa di bawa ke medan yang sepatutnya. 

Bagi saya, adalah tidak wajar dalam kita meneliti sesuatu isu hanya daripada sebelah pihak sahaja dan di sebelah pihak yang lain tidak diberi peluang langsung untuk menjelaskan dan menerangkan perkara sebenar yang berlaku demi memurnikan segala permasalahan yang berlaku. Ayuh, wacanakan ia, bincang dan cari solusi secara baik untuk kebaikan bersama.

Dalam hal ini, saya nampak betapa pentingnya isu-isu sensitif seperti ini dibawa ke ruang awam untuk diwacana. Semua datang atas persamaan fitrah yang mahu mendapatkan kebenaran, tanpa prejudis terhadap niat masing-masing. Dan ini juga peluang dan ruang buat untuk memurnikan kembali segala tuduhan mahupun kenyataan yang dilemparkan itu. Wacana ini juga seharusnya berjalan dalam suasana yang yakin, bukan dalam suasana yang takut dan tidak selamat, dalam suasana perbincangan yang ilmiah dan intelektual.

Hal ini kerana, kita adalah generasi ilmuan yang menjadi harapan ummah. Generasi ilmuan merupakan sebuah generasi mulia yang menghidupkan umat ketika mereka lena, berupaya menidurkan musuh ketika mereka berbuat durjana dan generasi ini jugalah yang bakal mengangkat martabat ummat ke maqam yang selayaknya. Generasi ini seringkali memainkan watak utama dalam lakaran sejarah, mereka menongkah arus kejahilan dan kebekuan cara berfikir. Mereka giat menyampaikan seruan walaupun dibantah, menegur kesilapan meskipun dicantas.

Akan tetapi, sungguh malang anak muda generasi ilmuan itu jika pemikirannya sudah muflis, keberaniannya untuk berfikir luluh dan lesu. Semuanya gara-gara mahukan keselesaan, keselasaan dalam membebaskan minda mereka daripada berfikir untuk ummah. Mereka lebih selesa untuk mengambil mudah apabila berhadapan dengan sesuatu permasalahan.

Renungkanlah firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah, ayat ke-260:
“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaKu Bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk Yang mati?" Allah berfirman: "Adakah Engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?" Nabi Ibrahim menjawab: "Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon Yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)". Allah berfirman: "(Jika demikian), ambilah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu Dengan segera". dan ketahuilah Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”

Nabi Ibrahim a.s bertanya kepada Allah s.w.t persoalan tersebut bukan bermaksud mahu mempertikaikan kekuasaan Allah, ataupun kerana tidak beriman dengan wahyu yang diturunkan oleh Allah, akan tetapi baginda bertanya untuk menguatkan lagi keyakinan yang sedia ada dalam dirinya. Baginda bertanya untuk menenangkan hatinya, sebagaimana terdapat dalam ayat tersebut.

Kita mesti membudayakan keberanian berfikir, bukannya mahu mempertikai sesiapa sahaja, namun untuk menenangkan hati dan menguatkan keyakinan terhadap sesuatu perkara. Oleh kerana itulah pembudayaan wacana atau forum berbentuk ilmiah ini perlu dibudayakan.

Wujudkan budaya ini kepada mahasiswa, sehingga mahasiswa Mesir khususnya, mencapai satu tahap anggapan bahawa ini adalah suatu budaya. Budaya berfikir dan budaya ilmu. Budaya mencambahkan idea dan pemikiran melalui siri perbincangan dan soal jawab dua hala. Biarkan mahasiswa lali dengan ‘dadah’ jenis ini. 

Sebagaimana budaya yang telah sekian lama diterapkan di Mesir iaitu budaya menuntut ilmu secara talaqqi bersama masyaikh, begitu jugalah pembudayaan wacana yang mencerna minda ini perlu dibudayakan.

Ia ibarat memanifestasikan ilmu yang diperolehi daripada pembelajaran  secara talaqqi bersama para masyaikh tersebut di dalam wacana ilmuan sebegini. Ini merupakan satu kelebihan kepada mahasiswa Mesir sebenarnya, kerana kita sudah sekian lama dididik dan diasuh dengan budaya menuntut ilmu secara formal di Universiti Al-Azhar mahupun secara talaqqi di masjid Al-Azhar. Cuma apabila kita berjaya adunkan ia dengan pembudayaan wacana ilmiah tersebut, yakinlah bahawa ilmu yang kita perolehi itu lebih matang dan dapat memberi kebaikan yang besar kepada ummah.

Pelbagai masalah yang dapat diselesaikan daripada solusi yang diperolehi daripada pembudayaan ini. Akan hilanglah budaya taasub secara membabi buta dan permusuhan tanpa berlandaskan kefahaman. Sindrom ini sebenarnya tidak memberikan apa-apa faedah yang berguna kepada kita selaku generasi ilmuan harapan ummah ini, melainkan dengan kita wujudkan perbincangan secara ilmiah dan intelektual.

Bersediakah PMRAM, ISMA, Nadi Umno dan persatuan-persatuan yang lain di Mesir ini untuk duduk semeja di satu medan untuk berwacana berkenaan isu-isu mahupun permasalahan yang berlaku dan seterusnya mencapai satu solusi untuk kebaikan bersama?

Nota :
Apabila anda membaca artikel ini, ada tiga perkara yang perlu anda ketahui dan fahami :
1)     1) Artikel ini hanya pendapat peribadi saya dan bukanlah mewakili pihak persatuan.
2)     2) Saya berlapang dada jika ada yang mahu mengkritik dan tidak bersetuju dengan artikel ini.
3)    3) Sesuatu pandangan sebenarnya adalah untuk difikirkan bukannya untuk dipersetujui          semata-mata.