Ikhwan Muslimin, gerakan Islam tertua yang tidak pernah henti belajar daripada gerakan Islam yang lain
Mengikuti perkembangan terkini pasca sawrah (revolusi) yang telah berlaku di Mesir, sesuatu yang tidak boleh disangkal ialah peranan yang dimainkan oleh Ikhwanul Muslimin (IM) di dalam lanskap baru politik Mesir cukup memberangsangkan. IM dilihat banyak mengambil iktibar ataupun belajar daripada gerakan Islam arus perdana seperti gerakan al-Nahdah di Tunisia, gerakan FIS di Algeria, PAS di Malaysia dan lain-lain lagi.

Walaupun usia IM kalau diikutkan di dalam persada dakwah lebih lama daripada gerakan Islam yang lain, namun tindakan bijak dan sikap terus belajar yang diamalkan oleh pemimpinnya dilihat sebagai salah satu penyebab IM akan menjadi gerakan yang dominan di Mesir. Walaupun mereka menolak untuk bertanding di dalam pemilihan presiden dan juga menolak kemungkinan untuk mendapatkan majoriti di dalam parlimen Mesir menjelang pilihanraya umum yang akan diadakan, suatu tindakan yang bijak dilakukan oleh IM adalah dengan menubuhkan Hizbu Hurriyyah wal 'Adalah sebagai medan untuk IM melebarkan rencana politiknya di Mesir.

Belajar daripada An-Nahdhah


Jika disoroti sejarah pada sekitar tahun 90’an, wacana konvensional gerakan Islam sudah mula dicabar dengan kelantangan Rashid Ghannouchi, pemimpin gerakan Islam al-Nahdah di Tunisia yang telah mengutarakan gagasan ‘Islam demokrat’. Berbanding retorik negara Islam, Ghannouchi mengutarakan ‘negara sivil’, ruang kebebasan, tadbir urus, kedaulatan undang-undang, dan juga slogan-slogan yang lebih berunsur reformasi berteraskan nilai-nilai Islam. 

Rashid Ghannouchi memimpin Gerakan An-Nahdhah di Tunisia
Wacana ini hanya mula mendapat perhatian selepas kemenangan FIS di Algeria yang dinafikan dan juga pembantaian rejim Jeneral Zeroual ke atas rakyat Algeria dan akhirnya menyebabkan peperangan saudara berlaku dan melahirkan gerakan ekstrimis bersenjata di atas nama jihad. Apa yang berlaku di Algeria itu sebenarnya terlebih dahulu berlaku di Tunisia di bawah pemerintahan Ben Ali yang telah menyebabkan Ghannouchi dijatuhkan hukuman buang negara dan ribuan lain anggota gerakan al-Nahdah dipenjarakan dan diseksa. 

Wacana demokratik Ghannouchi akhirnya telah berjaya meresap ke dalam gerakan-gerakan Islam arus perdana selepas kemunculan AKP di Turki. Kejayaan AKP memenangi pilihanraya umum Turki pada tahun 2001 telah membuka mata ramai pihak. Di samping wacana baru dan juga pendekatan di luar kotak yang diambil oleh para pimpinan AKP yang merupakan mantan pimpinan dan aktivis Parti Refah, iaitu parti Islam di Turki yang pernah menjadi parti pemerintah tetapi kemudian diharamkan. 

Dan baru-baru ini, apabila Tunisia menjadi negara pencerus utama terletusnya revolusi rakyat dan kejatuhan rejim diktator, ramai yang menantikan bagaimana reaksi Ghannouchi, pemimpin gerakan al-Nahdah yang ketika itu masih dalam buangan di UK. Menariknya, beliau tetap konsisten dan begitu realistik apabila menyatakan bahawa gerakan al-Nahdah tidak mensasarkan untuk memerintah dan memanipulasi kebangkitan rakyat. 

Beliau sendiri menyatakan bahawa dia tidak bercadang untuk bertanding menjadi presiden. Beliau juga menegaskan bahawa gerakan Islam bercadang untuk menjadi sebahagian daripada rakyat untuk membina negara yang lebih adil dan bebas dari kezaliman, salahguna kuasa dan korupsi. 

Sikap Ghannouchi ini kemudiannya diikuti oleh Ikhwan Muslimin di Mesir yang dilihat sudah mula berbicara dengan bahasa demokratik, realistik dan lebih mesra rakyat. Sebagai balasannya, rakyat yang bangkit terutamanya golongan muda, menginginkan gerakan Islam untuk menjadi sebahagian dari aktor penting mengisi ruangan  pasca revolusi.

Sebagaimana yang diistiharkan baru-baru ini berkenaan penubuhan Hizbu Hurriyyah wal 'Adalah. Parti ini dilihat bersifat lebih demokratik dengan pengumuman yang dibuat oleh Dr. Saad Ketatny berkenaan tema parti tersebut adalah "Hurriyyah huwal hal wal 'Adalah hia Tathbiq". Mereka juga mengatakan bahawa penggunaan istilah "Islam huwal Hal" tidak akan digunakan kerana ia bertujuan untuk meraikan keahlian yang beragama Qibti dan sebagainya. Saya telah mengulasnya dalam artikel yang sebelum ini. (Sila rujuk disini)

Pemilihan Naib Presiden parti ini iaitu Rafeeq Habib juga dilihat sebagai politik bijak yang dilakukan oleh IM menjadikan parti itu dapat diterima oleh pelbagai pihak. Ini akan memudahkan lagi IM untuk menterjemahkan perjuangan mereka kepada rakyat Mesir secara keseluruhannya.

Berdasarkan perkembangan terkini yang telah disebutkan, rakyat secara jelas inginkan semua pihak terlibat dengan tidak terkecuali di dalam membentuk masa depan negara-negara yang terlibat. Politik baru yang diinginkan oleh rakyat lebih telus, adil dan saksama. Di dalam suasana menghadapi sistem yang baru yang diharapkan untuk menjadi lebih adil dan bertanggung jawab. 

Adakah analisi yang dilakukan oleh kebanyakan penganalisis politik Asia Barat yang menjangkakan kemunculan kerajaan campuran di Mesir, Tunisia, Libya, Jordan dan Yaman akan menjadi kenyataan?