Assalamualaikum dan Salam Imtihan dari Perlembahan Nil

Syukur kepada Allah taala diatas nikmat yang telah Allah kurniakan kepada ana untuk mencoretkan sesuatu didalam blog ini.Walaupun dalam fatrah Imtihan,Allah taala masih lagi memberi peluang kepada ana dalam ruang masa yang terhad ini.

Terkadang kita termangu sendirian sambil hati bercakap-cakap dan tertanya-tanya mencari jawapan yang tidak pasti. Isyy.., kenapalah rasa sunyi sangat hati ni?,kenapalah rasa macam diri ini jauh sangat dari Allah. Ini tak kena, itu tak kena. Semuanya rasa serba tak kena. Apakah Allah sudah berlepas tangan dariku? Astaghfirullahal Azhim.

Rasa-rasa sebegitu acapkali menjengah dan menghantui diri kita, tidak kira siapa, dan ia tidak lain berpunca dari diri kita sendiri. Cuba kita cari dan suluh puncanya.

Dosa dan maksiat yang kita lakukan selama ini, itulah punca dan sebab musababnya. Maka, sama ada sedar atau tidak, dosa dan maksiat telah menjadikan hubungan kita dengan Allah semakin merenggang dan langsung menjauhkan kita dari limpahan rahmat-Nya.

Sungguh jiwa kita tidak boleh menerima petaka ini dan hati nurani kita berasa cukup tidak selesa dengan situasi ini. Walhal terpisah dari keluarga sendiri pun sudah terasa haru dan tidak keruan. Inikan pula terpisah dan jauh dari rahmat Allah s.w.t., Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Seandainya dikumpulkan semua kelazatan dan kenikmatan duniawi ini dengan satu tujuan untuk menggembirakan hati kita dan mengeluarkannya dari beban penderitaan kerana terpisah dari rahmat Allah itu, nescaya ia tidak berupaya menghilangkan segala kedukaan dan penderitaan tersebut, sebaliknya ia hanya akan menambah bebanan dan tekanan pada jiwa yang sudah sedia terseksa.

Ahh.., penderitaan dan kepahitan kerana berjauhan dan terpisah dari Allah ini hanya dapat dirasai dan ditangisi oleh insan yang hidup hati nuraninya. Namun tidak bagi mereka yang telah mati hatinya. Orang yang mati hatinya tidak lebih bagai bangkai yang berjalan. Ia tidak sensitif dengan apa-apa lagi. Benar sekali ungkapan si bijaksana yang menyebutkan:

“Kelukaan tidak memberikan sebarang kesakitan lagi kepada hati yang telah mati.”

Bagaimana diri kita semua kala ini? Pernahkah kita merasai yang diri ini amat jauh dari Allah Subahanna Wa Tala iaitu tatkala tercebur ke dalam kancah dosa dan maksiat? Memang pernahlah jawabnya. Kerana dosa, kita yang telah Islam ini pun boleh terlempar jauh dan terpinggir dari rahmat Allah s.w.t., bayangkan betapa jauh dan sayupnya rahmat dan pandangan Allah pada seseorang yang kafir dan syirik pada-Nya?

Ingatlah sahabatku seperjuangan,ini sekadar peringatan untuk kita bermuhasabah diri kita semua pada Hari Jumaat ini.Kita adalah pejuang Islam,sudah sunnah dalam perjuangan akan ada mehnah dan tribulasiyang menimpa kita semua.

Lihatlah bagaimana mereka yang mahu memperjuangkan agama Allah disiksa,dipenjara, dan pelbagai lagi ujian yang berlaku kepada pejuang-pejuang Islam di dunia ini.


Firman Allah Taala

لو كان عرضا قريبا و سفرا قاصدا لتبعوك و لكن بعدت عليهم الشقة


Jika sekiranya ( perjuangan ) ini suatu capaian hasil yang dekat dan perjalanan yang singkat nescaya mereka ( musyrikin ) akan mengikut engkau , akan tetapi ( perjuangan ) ini jauh perjalanannya dan dirasakan sukar ke atas mereka .

Hakikat ini sudah kita fahami semuanya dan kita sudah lihat dengan mata kepala kita sendiri..Apabila ada yang mahu menegakkan kebenaran,ditangkap dan disiksa oleh pemerintah yang bimbang kuasanya terhakis.

Pengalaman yang Allah taala berikan kepada ana peluang untuk menaiki trak polis,disoal siasat didalam bilik kecil,disembur dengan gas pemedih mata,mengajar ana banyak perkara dan menunjukkan betapa pentingnya kebergantungan kita kepada Allah untuk menghadapi perkara sebegini.

Akan tetapi ana sering berfikir adakah itu boleh dijadikan ukuran bahawa sudah cukup terjamin Istiqamah kita dalam meneruskan perjuangan kita yang masih jauh lagi.Kata Tuan Guru Ustaz Harun Taib:

“Kalau kita mahu ukur Istiqamah seseorang adalah setelah seseorang itu mati dalam perjuangan”

Hakikatnya kita sangat memerlukan Allah di dalam hidup kita. Kita tidak rela terpisah dari pandangan dan rahmat Allah walaupun sesaat cuma. Kalau Allah mula berlepas tangan dari kita, bermakna bermulalah detik kemusnahan kita. Ingat! Bahawa syaitan dan nafsu sentiasa berusaha mewujudkan jaluran dosa yang menjadi kabut hijab antara hamba dan Allah yang Esa. Astaghfirullahal Azhim…