Golongan pemuda dan pemudi Islam diibaratkan sebagai tulang belakang kepada sesebuah gerakan Islam dan kepada masyarakat Islam itu sendiri.Oleh yang demikian pembentukan syakhsiyah golongan ini perlulah dibentuk dan diturap agar selari dengan guardline yang telah ditetapkan oleh Islam.

Apa yang diharapkan adalah agar golongan pemuda zaman sekarang menjadi seperti pemuda-pemuda celupan al-Quran yang telah diceritakan oleh Allah taala didalam kitab-Nya mengenai bagaimana syahksiyah yang telah ditunjukkan oleh pemuda-pemuda pada zaman dahulu seperti kisah ashabul kahfi dan banyak lagi kisah yang diceritakan oleh Allah taala didalam al-Quran yang menceritakan kehebatan manusia yang bergelar pemuda apabila golongan pemuda diterap dengan terapan islam dan apabila mereka memahami tentang kewajipan untuk menegakkan agama Allah taala di muka bumi dengan mewaqafkan dirinya didalam Jemaah Harakah Islamiyah.

Tiadalah perkara lain yang lebih menakutkan pihak musuh Islam terhadap manusia Muslim yang berada di IPT-IPT yang sememangnya adalah golongan pemuda seluruh dunia melainkan satu kelompok yang berasaskan Jemaah Harakah Islamiyah .

Golongan ini sedar bahawasanya ketentuan halatuju, kemantapan, perancangan dan kesinambungan perjuangan harakah islamiyah bagi sesebuah negara Islam akan bergantung sepenuhnya terhadap kekukuhan manhaj setiap mahasiswa/i yang bergelar jemaah.

Mahasiswa yang berjemaah tidak sama intergriti pemikirannya berbanding dengan mahasiswa yang tidak berjemaah walaupun kedua-dua mahasiswa tersebut berada di bidang Pengajian Ilmu-Ilmu Islam. Mahasiswa yang memperjuangkan Islam tanpa menyertai jemaah umpama seorang Muslim yang bersolat seorang diri di dalam masjid dan tidak termasuk didalam fadilat solat secara berjemaah yang dijanjikan oleh Allah taala.

Dalil yang menunjukkan kepada kewajipan berjemaah sepertimana yang difirmankan oleh Allah didalam firman-Nya:

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela ugamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan Yang tersusun kukuh.

Perjuangannya mungkin kelihatan murni dan benar tetapi kekuatan dan keampuhan perjuangan itu kurang keberkesanannya dan mungkin hanya akan berlegar di dalam diri sahaja dan mudah untuk Futur didalam perjuangan. Berbanding dengan mahasiswa yang berjemaah, walaupun teramat kecil bilangannya tetapi wadah perjuangan dikawal bai’ah yang mengikat persetiaan hidup dikalangan ahli-ahli jemaah.

Mahasiswa Islam yang berjemaah mempunyai hierarki kepimpinan yang sangat sistematik walaupun tidak direkodkan seperti perlantikan Amir dan Amirah, Naqib dan Naqibah bagi sesuatu kumpulan-kumpulan kecil.

Oleh hal yang demikian,musuh-musuh Islam mempunyai tugas yang sukar untuk menjatuhkan atau melemahkan golongan yang memperjuangkan Islam secara berjemaah.Walaupun ditekan atau disekat dengan kekerasan mereka ibarat air terjun yang disekat oleh batu-batu yang mana air tersebut akan mencari jalan lain untuk menembusi batu-batu tersebut.

Lihat sahaja bagaimana tindakan mahasiswa-mahasiswa Islam di Malaysia apabila mereka bangkit untuk menyatakan bantahan mereka terhadap e-undi didalam pilihan raya kampus yang merupakan satu konspirasi untuk mengalahkan mahasiswa-mahasiswa islam didalam pilihan raya kampus tersebut.

Hal yang sama juga belaku kepada mahasiswa-mahasiswa Islam yang berada di Mesir,sepertimana isu Pembacaan Kutub Sittah oleh Masyaikh al-Azhar yang dianjurkan oleh PMRAM dihalang ataupun ada konspirasi untuk membatalkan program tersebut.Kita lihat ramai dalam kalangan mahasiswa-mahasiswa Islam disini bangkit menyatakan bantahan mereka terhadap perkara yang telah dilakukan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab ini.

Namun begitu,satu perkara yang dibimbangi adalah jika golongan musuh Islam‘menyerang’ golongan pemuda-pemuda Islam pada zaman sekarang dengan perkara yang melalaikan dan melekakan ataupun memasukkan perkara-perkara yang boleh merosakkan hati atau jiwa mahasiswa-mahasiswa islam.

Hal ini kerana,mereka menyedari bahawa pemuda-pemuda Islam tidak akan gentar dengan tekanan atau tindakan kekerasan yang dilakukan oleh golongan musuh.Salah satu sifat yang ada didalam jiwa pemuda Islam yang telah ditarbiyah adalah tidak mudah lemah apabila ditekan atau digertak kerana itulah sifat yang sememangnnya ada didalam semua jiwa para pemuda.

Cuba kita lihat beruk yang memanjat pokok kelapa,berut tersebut akan memegang pokok kelapa tersebut dengan kuat apabila angin bertiup dengan kencang,akan tetapi apabila angin bertiup sepoi-sepoi bahasa ia boleh menyebabkan beruk tersebut akan terleka sehinggakan melepaskan kedua-dua tangannya yang sebelum ini kuat memegang pokok kelapa tersebut sehinggakan beruk tersebut jatuh ke tanah dek kerana lalai dengan ketenangan angin tersebut.

Oleh yang demikian,sama-samalah kita menyedari hakikat yang berlaku sekarang, jangan ketenangan ataupun kesenangan yang kita kecapi sekarang menyebabkan kita terleka dan memberi peluang kepada musuh Islam untuk menguasai Islam.