SEORANG wanita melintas jalan. Dia cantik dan bergaya. Kulitnya halus, pipinya gebu, hidungnya mancung, matanya bercahaya.. Lengannya putih, jari-jemarinya halus dan runcing sekali. Baju sendat menampakkan pusat dan skirt pendek yang disarung ke tubuh sekali-sekala menampakkan bentuk tubuh badannya.



Mata-mata yang melihat mula berimaginasi. Imaginasi itu sudah pasti yang indah-indah dan sudah semestinya bukan hal-hal yang baik.

Di satu sudut yang lain pula, seorang gadis berpakaian sopan dengan bertudung sempurna duduk di tepi taman. Di sisinya seorang lelaki sederhana tinggi yang juga berpakian sopan. Tangan mereka saling bertaut. Kadang, tangan si lelaki juga menyentuh tubuh gadis. Mereka tersenyum, ketawa dan kelihatan sungguh bahagia.Agak pedih dengan paparan itu.

Dalam laman-laman web pula,seperti facebook,myspace dan banyak lagi,ada dalam kalangan wanita yang menayangkan gambarnya seolah-olah tiada harga dan nilai dirinya sebagai seorang wanita muslimah.

Wanita masa kini begitu liberal atau terbuka dalam banyak hal. Lihat sahaja pelajar sekolah dan gadis remaja yang sering terlibat dengan penyakit sosial yang memalukan di saat umur mereka yang masih tidak matang.

Begitu juga mereka yang bergelar penuntut ilmu agama dan sebagai penuntut ilmu di bumi Anbiya,juga tidak terlepas dengan penyakit sebegini.

Apa hukuman untuk mereka yang terlibat dengan perbuatan memalukan itu? Ini merupakan musibah yang memudaratkan maruah wanita iaitu kehilangan rasa malu atau pudarnya sifat malu dalam diri mereka.

Keterbukaan masyarakat dan pendedahan tentang dunia semasa membuatkan wanita mula membuang sifat malu ke sisi yang kononnya dikatakan sifat malu itu membantutkan pembangunan dan kemajuan dalam dunia wanita.

Tidak hairan, kini wanita mula dipandang sebagai golongan yang kini berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki. Wanita mula memegang pelbagai peranan dalam masyarakat, berkerjaya, bebas melontar pendapat dan berani dalam melakukan sesuatu tindakan.

Ada segolongan yang mengatakan mahu memperjuangkan hak wanita.Mereka memperkata tentang penindasan terhadap wanita, hak sama rata yang harus dinikmati oleh wanita dan pelbagai perkara lagi yang menuntut suatu keadaan di mana wanita boleh menikmati apa yang dinikmati oleh kaum lelaki. Persoalan sebegini tidak akan habis sampai bila-bila.

Suatu hal yang kurang diperjuang oleh golongan sebegini terutama untuk wanita yang beragama Islam ialah perjuangan mengembalikan wanita kepada lumrah asalnya iaitu memelihara maruah dan melapik diri dengan sifat malu.

Istilah malu mempunyai makna dan pengertian yang luas dalam Islam. Malu merupakan sebahagian daripada Iman.Rasullullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

“Iman itu ada lebih 60 cabang. Dan sifat malu adalah sebahagian daripada cabang iman.”

Dalam Islam, sifat malu ditekankan pada setiap umatnya tidak kira sama ada wanita atau lelaki. Namun, wanita Muslimah ditekankan aspek menjaga maruah dan memiliki sifat malu memandangkan wanita merupakan golongan yang lemah, mempunyai 9 nafsu yang pelbagai serta dikatakan paling ramai menghuni neraka.Tentang hal ini, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Aku melihat ke dalam syurga, maka aku melihat kebanyakan penduduknya adalah fuqara (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penduduknya adalah wanita"

Selain iman yang lemah, membuang sifat malu untuk mengejar apa yang diimpikan dalam hidup juga merupakan satu kesilapan besar yang menjerumuskan wanita ke kancah kehinaan. Walau bagaimanapun, sifat malu terbahagi kepada dua iaitu malu yang bersifat kebaikan dan malu yang bersifat kejahatan.

Wanita khasnya dituntut mempunyai sifat malu terutama hal yang berkaitan maksiat dan larangan-larangan Allah. Apabila menghampiri hal-hal sebegini, mereka akan berasa malu, dan seterusnya memikirkan balasan Allah di dunia dan akhirat.

Wanita Muslimah tidak akan menggadaikan maruah dan membuang sifat malu semata-mata mahu kelihatan moden.

Mementingkan pandangan Allah s.w.t lebih bermakna daripada mementingkan pandangan masyarakat. Tidak kisahlah jika anda dilabel sebagai tidak moden, kolot dan sebagainya. Apa yang lebih penting ialah anda tahu menjaga maruah serta tahu kesan-kesan buruk yang akan berlaku kepada iman, maruah diri, keluarga dan masyarakat jika anda bertindak tidak tahu malu.

Rasulullah juga pernah mengatakan bahawa malu adalah karektor bagi agama Islam serta mempunyai sifat malu yang sebenar-benarnya tidak akan menyebabkan perkara yang tidak baik.

Memandangkan dunia semakin berkembang dengan segala macam teknologi dan perubahan dari semua aspek, sudah sewajarnya setiap wanita menilai kembali sifat semulajadi atau lahiriah seorang wanita yang suatu waktu dahulu cukup kebal dengan sifat pemalu.

Sifat pemalu tidak akan menyekat pergerakan wanita untuk mengikuti perkembangan dunia semasa. Malahan wanita yang pemalu lebih berjaya bukan sahaja di dunia malah di akhirat juga kelak. Insya-Allah.

Sudah tiba masanya, kumpulan atau golongan yang memperjuangkan hak wanita dan dunia wanita mengubah persepsi mereka terhadap peranan dan diri wanita dalam dunia masa kini. Mengejar kejayaan, kemodenan, menghindar penindasan dan sebagainya harus diperjuang, tanpa mengikis sifat wanita yang hakiki iaitu pemalu.

Apa yang diharapkan adalah untuk melahirkan wanita yang mempunyai kemantapan dalam ilmu,kehebatan dari segi gerak kerja jemaah dan dalam masa yang sama menjaga peribadi dan nilai harga diri mereka sebagai wanita yang merupakan sayap kiri dalam perjuangan.