http://4.bp.blogspot.com/-hTr1qjscM_k/TbazQqstHII/AAAAAAAACKs/Sgk2MbkSitM/s1600/muktamar%2Bsanawi%2B2011.jpg
Hari ini berlangsungnya Ijtima’ HEWI PMRAM kali ke 24 dan insya-Allah pada keesokan harinya akan berlangsung muktamar penuh bagi sebuah gerakan mahasiswa Islam di Perlembahan Nil iaitu Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) kali ke 78.

Saya kira para ahli dan pimpinan perlu menjadikan muktamar sebagai medan untuk bermuhasabah , mengatur strategi , memperkasakan dalaman persatuan , dan membina kader untuk masa hadapan.

Sempena muktamar penuh yang akan berlangsung esok di Dewan Solah Kamil, ada beberapa nota peringatan yang ingin saya dedikasikan kepada semua perwakilan esok. Moga ia memberi kebaikan untuk kita semua dalam usaha memastikan gerakan dakwah yang telah berusia genap 81 tahun ini terus bertapak di bumi Mesir ini.

1)    Saya mengucapkan selamat bermuktamar kepada semua ahli dan para pendokong   PMRAM sekalian. Para perwakilan perlu mengetahui bahawa muktamar adalah himpunan tahunan yang mementaskan kembali nilai ukhuwwah dan persahabatan agar terus mekar tanpa layu dan luput walau dilanda badai perbedaan pandangan dan silang maklumat antara kita.

2)    Justeru itu, saya mengharapkan agar muktamar yang berlangsung tidak akan hambar dan lesu tanpa perbahasan yang mantap dan bernas hasil lontaran idea yang kritis daripada para perwakilan sekalian. Kerana muktamar adalah salah satu wasilah untuk kita bermuhasabah dan merangka strategi untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

3)    Perwakilan juga perlu mengkaji terlebih dahulu buku laporan yang telah diedarkan kepada para perwakilan dan membuat analisis yang baik terhadap perjalanan persatuan dan dibahas pula secara matang dan positif . Amat malang perwakilan yang menghadhiri muktamar tanpa sebarang analisis terhadap perjalanan persatuan serta tidak pula mengetahui apa yang patut dibahas dan dibincangkan. Hal ini akan menyebabkan berlakunya perdebatan atau perbahasan perkara-perkara yang kecil dan bersifat “sampah”, ini akan merugikan semua pihak.

4)    Jadikan muktamar sebagai tempat untuk mengenalpasti kelemahan yang lalu. Mengenalpasti kelemahan bukan bermakna untuk kita saling menyalahkan antara satu sama lain, tetapi ianya dikenalpasti untuk diatasi dan diperbaiki serta diinsafi agar kelemahan dan kepincangan tidak dibiarkan tetapi dipastikan agar ianya tidak berulang lagi. Kelemahan bukan dihukum tetapi dibaiki sementara kehebatan pula bukan dinanti tetapi dicari .

5)    Pada pendapat saya ada beberapa perkara yang perlu ditekankan oleh para perwakilan untuk muktamar pada kali ini. Antaranya adalah :

  • Berkenaan survival PMRAM selepas daripada revolusi Mesir pada 25 Januari yang lalu. Ada mulut-mulut kotor yang mengatakan bahawa PMRAM sudah tidak releven selepas jatuhnya Hosni Mubarak.
  • Berkaitan dengan sejarah PMRAM yang pada saya masih ramai ahli yang tidak menghayatinya. Paling menyedihkan ada juga “musuh-musuh” yang menyelewengkan fakta tersebut dek kerana hasad dengki yang tidak kesudahan. Sesuatu yang perlu dimuhasabahkan bersama jika sejarah kita, ada yang berani menyelewengkannya. Pasti ada kesilapan yang perlu diperbaiki bersama.
  • Seterusnya adalah berkaitan sikap PMRAM terhadap kelompok yang saya istilahkan kelompok yang mewajahkan mereka sebagai wakil IM sehinggakan tidak mengenali PMRAM dan tokohnya. Sehingga melupakan gerakan Islam yang telah bertapak 81 tahun di bumi Anbiya’ ini.

6)    Untuk sesi PMRAM pada tahun ini, saya merasakan bahawa tema tahun lepas iaitu “Kemantapan Fikrah Membina Syakhsiyah” perlu dikekalkan dan diperkasakan dari segi pelaksanaannya. Saya merasakan tema yang ditetapkan oleh pimpinan pada tahun lepas masih lagi sesuai untuk membina jati diri mahasiswa Mesir yang berkreadibiliti di masa akan datang. Namun, jika ada juga perubahan pada tahun ini, itu terserah kepada pimpinan. Sesungguhnya pimpinan lebih mengetahui aulawiyyatnya. Saya akan menyokongnya penuh.

Sesuatu yang perlu kita ketahui juga, sudah menjadi fitrah bahawa di dalam muktamar pasti ada perbahasan dan khilaf. Tetapi perlu kita dahulukan semangat juang demi menegakkan agama Allah dan rasa cinta kasih terhadap wadah perjuangan. Ia akan membuatkan kita tidak peduli lagi berapa lebar jurang khilaf antara kita. Ianya tetap diharungi untuk menggapai kedua tangan agar kembali bersilang penuh makna, mendokong nilai persaudaraan Islam .

Sikap inilah yang perlu kita tanam dalam diri kita sebagai pendokong sebuah gerakan mahasiswa islam Semoga perjuangan ini semakin mantap dan perkasa setelah ia melalui satu proses muhasabah yang telus, berani, ikhlas dan kritikal .

Akhirnya, segala lontaran idea mahupun peringatan ini adalah pandangan peribadi saya selaku ahli yang menyayangi gerakan dakwah ini, bukan mewakili mana-mana BKAN mahupun DPM di bawah PMRAM. Semoga muktamar ini dapat melahirkan satu lonjakan dan rangsangan perjuangan yang kian hebat dari semalam .

Ayuh kita kejutkan mereka yang alpa dan membangunkan yang masih lena untuk segera bangkit dan  mengambil posisi masing – masing dalam menunai amanah besar perjuangan mulia ini . Selamat bermuktamar.