Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi ulama' kesayangan ummah, mujaddid zaman ini.
Sudah lama saya tidak melayari laman web rasmi Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi (klik), ulama' kesayangan ummah ini. Apabila saya membaca satu berita yang dikhabarkan oleh laman tersebut bahawa Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi memohon doa daripada sekalian murid-murid dan para pencintanya agar mendoakan kesihatan beliau.

Menurut laman web tersebut, Syeikh Dr.  Yusuf al-Qaradhawi yang merupakan Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia telah menjalani beberapa ujian perubatan di Hamad Medical Corporation, Doha, berikutan penyakit yang dialaminya.

Syeikh Al-Qaradhawi telah menghabiskan beberapa hari di hospital untuk menjalani perubatan dan telah keluar setelah beberapa minggu. Doktor menasihatkan agar beliau berehat beberapa minggu, sehinggalah beliau sembuh sepenuhnya.

Untuk masa sekarang syeikh masih lagi berehat di rumah beliau, di Doha. Beliau hanya pergi ke pejabatnya beberapa hari sahaja, dengan tempoh yang sangat singkat bagi melihat berita dan maklumat semasa.

Akan tetapi, beliau meminta keuzuran daripada berjumpa sesiapa, talian telefon, menerima tetamu kecuali jarang-jarang, bagi menepati nasihat doktor kepada beliau. Antara perkara yang dinantikan oleh beliau sekarang adalah pembedahan akibat penyakit yang dialaminya itu. Pembedahan tersebut akan dilakukan pada tempoh akan datang.

Walaubagaimanapun, keadaan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi bukanlah seperti yang didakwa oleh sebahagian golongan Syiah baru-baru ini yang mengatakan syeikh sedang sakit tenat.  Yakinlah, bahawa Allah akan sentiasa menyediakan pengganti kepada penerus perjuangan agama-Nya.

Beliau juga meyakinkan para pencinta dan murid-muridnya, serta meminta mereka mendoakan kesihatan beliau. Semoga Allah memberi kesihatan kepada ulama' ummah ini untuk meneruskan perjuangan beliau di masa akan datang.