Membaca artikel ini (link) membuatkan saya terdiam dan memikirkan sesuatu. Memikirkan masa depan sebuah tanah gersang yang telah melahirkan ribuan warisan ulama’ Ahli Sunnah wal Jama’ah.

Syria adalah bumi yang menghairankan dan mencabar pertimbangan akal kita. Ianya bumi purba, mungkin di antara penempatan tamadun manusia yang tertua, akan tetapi masih lagi diduduki dan menjadi rebutan ramai.

Dari bumi ini lahirnya ulama terbilang zaman berzaman, semenjak dari zaman para sahabat lagi. Warisan ilmu Islam amat terasa subur melata di bumi ini. Dalam kegemilangan sejarah ulama lampau dan kegiatan ulama semasa yang begitu meriah di bumi ini, ianya ditakdirkan telah ditadbir oleh golongan minoriti Nusairi berwajahkan Parti Baath.



Sungguh malang apabila negara yang mengasilkan ribuan ulama' warisan ASWJ ini dikuasi minoriti; Syiah Nusairi tersebut. (Boleh rujuk penulisan saya berkenaan isu tersebut sebelum ini)

Golongan minoriti yang memegang tampuk pemerintahan ini ternyata mempunyai hubungan baik dengan Iran, juga sebuah negara Syiah. Walaupun bukan dari fahaman Syiah yang sama, tetapi mereka mempunyai hubungan diplomatik yang agak erat. Jika dilihat di atas peta dunia, Syria berkedudukan strategi, mencelahi Iran, Turki dan Israel: tiga negara yang mempunyai arah yang cukup ketara perbezaaannya.

Syria juga mempunyai hubungan diplomatik dengan negara jiran terdekatnya iaitu Turki sejak sekian lama. Turki merupakan rakan dagang terbesar Syria dan  kedua-duanya merupakan ahli penuh “Union for the Mediterranean” (Kesatuan Mediterranean) dan juga Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Akan tetapi, mutakhir ini pimpinan Turki dilihat oleh negara-negara jirannya seperti Iraq, khususnya Syria mungkin juga Iran sebagai kuasa pengacau di rantau itu. Bagi mereka, pimpinan Turki sekarang perlu dilemahkan, tambahan lagi dasar luar Turki yang Neo-Uthmaniyah jelas merisaukan mereka.


Neo-Uthmaniyah merupakan agenda yang dicanangkan oleh Erdogan ketika pilihanraya umum Turki yang lalu. Jelas agenda ini memberikan impak yang besar kepada kemenangan AKP di dalam pilihanraya yang lalu. 

Neo-Uthmaniyah yang mempunyai kaitan dengan masa silam Turki sebagai pelindung umat Muslim kini kelihatan dihidupkan kembali melalui satu agenda dalam dasar luar Turki. Aksi Erdogan itu menegaskan kedudukan Turki sebagai pembela umat khususnya bagi negara Palestin.



Hasilnya, Turki muncul di dunia Islam sebagai pembela utama khususnya bagi negara Palestin, imej yang terus diperkukuhkan melalui pelbagai kenyataan dan tindakan. Dan di dalam isu yang berlaku di Syria, Turki melalui Menteri Luar Negerinya  Ahmet Davutoglu yang menyokong penuh usaha dan keputusan yang diambil oleh Liga-Liga Arab sebelum ini, antara keputusannya ialah;

1) Menggantung keahlian Syria dalam mesyuarat Liga Arab. Pada setiap kali mesyuarat yang diadakan, Menteri Luar negara tersebut atau wakilnya tidak dibenarkan menyertai mesyuarat atau perbincangan.

2) Tidak membenarkan 17 orang kenamaan dan pimpinan tertinggi Syria memasuki mana-mana anggota Liga Arab. Antara 17 orang nama yang disenarai hitamkan tersebut ialah Maher Al-Asad, adik kandung Basyar yang juga ketua tentera selain Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis negara.

3) Tidak membenarkan semua bank negara Arab membuat urusan dengan Bank Syria.

4) Membekukan aset Basyar Al-Asad di negara-negara Arab.

Walaupun keputusan tersebut dilihat tidak memberi kesan yang besar kepada Basyar Asad untuk menghentikan kekejaman yang dilakukan olehnya terhadap rakyat Syria, namun sokongan yang ditunjukkan oleh Turki terhadap keputusan itu jelas merungsingkan Syria.

Bagi mereka, pemimpin Turki yang telah dijadikan wira bagi sebahagian ummah perlu dilemahkan sebelum pengaruh gaya dan pendekatannya sempat melemahkan kuasa-kuasa pemerintah di negara-negara serantau khususnya Syria.

Tiada hairanlah Syria membedil rakyat di dalam negaranya, dan berusaha untuk melemahkan kepimpinan semasa di Turki dari dalam Turki itu sendiri.

Walaubagaimanapun, melihat kepada situasi politik dan keputusan pilihanraya yang berlaku di Mesir pula, saya mengharapkan satu perubahan besar akan berlaku di rantau ini. Dengan kemenangan selesa tayyarat Islamiyyah terutamanya Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) yang memperolehi 235 kerusi atau 47.2% daripada 498 kerusi yang dipertandingkan, saya mengharapkan dengan perubahan dasar baru kerajaan Mesir terutamanya dasar luarnya akan dapat menangani isu Syria yang semakin merungsingkan ini.