Mesir, Syam (sekarang ini Syria, Jordan, Lubnan beserta Palestin) dan Pulau Cyprus, selain Semenanjung Arab itu sendiri, merupakan pasak-pasak yang menentukan corak politik di rantau tersebut. Perkara tersebut dapat diperhatikan sejak dari zaman selepas Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam lagi. Selain Semenanjung Arab yang gersang pada hampir keseluruhannya, negeri-negeri tersebut selainnya telah merupakan negeri rebutan kuasa-kuasa dunia yang ada.

Sultan Solahuddin al-Ayubi Rahmatullahi 'alaihi telah menyerang dan menakluki Masir terlebih dahulu sebelum baginda menyerang dan menumpaskan kekuatan tentera salibiyyun di Palestine. Kedudukan baginda di Masir merupakan pemangkin bagi baginda untuk mengalahkan penaklukan tentera salibuyyun di Palestin.

Di Mesir sendiri, baginda telah menukarkan penguasaan Mesir dari pemerintahan Syiah Fatimiyyah kepada pemerintahan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Al-Azhar yang sebelumnya merupakan pusat pendidikan Syiah telah ditukar menjadi gedung pendidikan yang menghasilkan ribuan ulama ahli sunnah zaman berzaman.

Mesir dalam lipatan sejarah sememangnya menjadi pemangkin kepada penguasaan Islam bagi rantau tersebut. Hal itu lah yang agaknya turut disedari oleh pihak strategist Israel, kedudukan Mesir adalah faktor penting dalam percaturan ehwal rantau tersebut bahkan seantero dunia.

Pemimpin Perancis, Napolean Bonaparte pernah berkata, “Mesir ialah negara paling penting di dunia,” menjelaskan kepentingan negara Arab itu kepada kuasa-kuasa dunia semasa era empayar satu masa dulu.

Apapun yang mendasari pandangan Bonaparte itu, kepentingan Mesir di dunia dapat diperhatikan dan dirasakan pada masa ini, ketika negara Mesir sedang dalam proses melalui satu perubahan besar. Kuasa-kuasa Israel, Amerika Syarikat, Eropah, Turki dan Iran semuanya bakal terkesan sekiranya dan apabila perubahan yang benar-benar mengubah dasar negara Mesir berlaku.

Israel jelas sekali merupakan kuasa yang akan paling terkesan, disebabkan sempadan dan sejarah yang mengikat kedua-dua pemain penting Timur Tengah itu. Mesir kekal sebagai satu-satunya negara yang mampu berperang secara terus dengan Israel, seperti yang telah dilakarkan oleh sejarah. Apapun keputusan peperangan masa silam, faktor ini tetap dipandang berat oleh rejim Zionis itu.

Keputusan terkini yang menunjukkan FJP mendahului dengan selesa
Kerisauan tersebut mungkin semakin jelas kelihatan sekarang. Selepas melihat keputusan pilihanraya ketiga-tiga fasa pilihanraya Dewan Rakyat yang lalu, segala hipotesis jangkaan sudah dapat diagak. Ikhwan Muslimin yang merupakan tayyarat Islamiyyah yang terbesar di Mesir melalui Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) setakat ini telah mendapat kedudukan selesa sebanyak 46 peratus diikuti Parti Nour (Salafi).

Kedua-dua parti islamis ini telah muncul sebagai gelombang politik utama di Mesir, selanjutnya melahirkan tandatanya tentang corak-gaya pemerintahan negara mesir pada masa hadapan. Perubahan berlaku terlalu pantas dan banyak juga elemen-elemen yang mengejutkan, kabur, dan mungkin tidak dapat diagak. Amat sukar untuk mengenalpasti bukan sahaja siapakah dia protagonis tetapi juga pakatan baru yang akan mencorakkan perubahan bersejarah ini.

Walaubagaimanapun, satu perkara yang perlu diambil perhatian adalah penglibatan salafi dalam kancah politik. Dalam kurang daripada enam bulan, salafi telah berubah seluruhnya daripada posisi keagamaan dan juga ideologinya terhadap Demokrasi.  Dahulunya, pemimpin mereka telah berulang kali mengeluarkan penyataan bahawa “demokrasi” itu adalah tidak islamik, bukan daripada ajaran Islam yang juga membawa kepada kekufuran, dan mengatakan bahawa seorang yang benar-benar muslim tidak sewajarnya mengambil bahagian dalam pilihanraya atau politik seluruhnya kerana akar sistem yang digunakan secara keseluruhannya itu sendiri bersalahan dengan islam.

Kemudian secara tidak disangka-sangka, mereka telah menubuhkan sebuah parti, dan mula bergiat aktif diseluruh pelusuk negara mengedarkan risalah-risalah, berkempen untuk meraih undi. Perubahan 180 darjah ini sangat drastik, mengejutkan dan menimbulkan tandatanya. Bagaimana mereka boleh mengisytiharkan secara rasmi sesuatu yang mereka sebut sebagai kufur  sebelum ini sebagai islamik? 

Keresahan dan persoalan ini juga ditimbulkan oleh Tariq Ramadhan yang merupakan seorang professor dalam kajian Islam kontemporari di dalam Fakulti Kajian Ketimuran di University Oxford dan juga merupakan anak kepada pengasas Ikhwan Muslimin, Imam Hasan al-Banna di dalam kebanyakan artikel beliau apabila membahaskan politik yang berlaku di Mesir kini.

Walaubagaimanapun, ini bukanlah kali pertama kita melihat perubahan yang berlaku dalam kalangan organisasi-organisasi Literalis dan juga Tradisionalis. Dalam sekitar pertengahan tahun 90-an di Afganistan dan Pakistan, Parti Taliban menolak untuk mempertimbangkan penyertaan mereka terhadap politik; bagi mereka ia salah di sisi Islam. Dan dalam kurang daripada 8 bulan, mereka telah merangka dan membentuk parti  yang memberi gelombang politik  yang  terutama di Afghanistan.

Kemudian kita diberitakan bahawa, rupa-rupanya mereka telah diasak dan dipaksa oleh pemerintah Saudi (walaupun pemerintah Saudi memandang ideologi Taliban sebagai salah satu cabang ideologi yang telah terpesong) sebagai respon kepada strategi Amerika di rantau itu.

Amerika syarikat tidak pernah ada masalah dalam mengadakan hubungan dengan kumpulan-kumpulan Islam literalis. Realitinya, seperti yang telah berlaku di Afganistan, dan juga mesir sekarang. Puak salafi sedang bermain suatu permainan yang bercanggahan, mereka telah menerima pakai suatu yang baru untuk mereka dalam posisi islam.

Banner yang digantung di wilayah Gharbiyah ini membukti Parti Al-Nour sanggup bersekongkol dengan siapa saja demi mengalahkan FJP. Kali ini bersama orang kuat Mubarak, Solah El-Hisowi. Hisowi  merupakan puak fulul, bekas parti Mubarak NDP yang banyak membuat kerosakan sewaktu memerintah Mesir sebelum ini.

Akan tetapi selepas melihat corak politik yang dimainkan oleh salafi sehingga sanggup berpakat dengan fulul (parti-parti bekasan pro-Mubarak) untuk mengalahkan FJP, ia seakan-akan ada sesuatu yang pelik sedang berlaku. Parti Al-Nour seakan-akan mempunyai peranan lain dalam “Egypt Equation”. 

Seakan-akan sebuah parti yang disponsor dan disokong dari sudut kewangan dan juga ideologi oleh kerajaan Saudi sebagaimana yang berlaku di Afghanistan dahulu.  Ia mungkin akan muncul sebagai satu catur strategi Amerika di Mesir. Sebab itu saya menyambut baik keputusan FJP untuk tidak bergabung dengan Al-Nour dalam pakatan politik, apabila melihat corak permainan politik mereka.

Walau apa yang telah kita saksikan sepanjang beberapa minggu kebelakangan ini, saya berpendapat adalah lebih baik untuk kita berhati-hati dalam membuat kesimpulan. Mesir adalah sebuah negara yang kritikal di Timur Tengah, sungguh sukar untuk mengjangkakan perjalanan politiknya.


Yang sahihnya, Amerika Syarikat dan Israel tidak akan berdiam diri untuk menonton rakyat Mesir memilih FJP, yang mana ideologinya sama seperti parti Hamas (berhubungan isu konflik Palestin-israel). Kita mendoakan agar Mesir kembali memainkan peranannya sebagai pencorak politik serantau dan juga kekal sebagai kiblat ilmu bagi pencinta ilmu seantero dunia.