Dua hari sebelum tiba tarikh keramat bagi negara Mesir sempena memperingati Revolusi 25 Januari hari ini, telah berlangsung persidangan Parlimen pertama pasca thawrah. Jelas bahawa persidangan Parlimen pertama selepas Revolusi 25 Januari itu mendapat perhatian seluruh penduduk dunia yang ingin melihat kedudukan Mesir pasca revolusi. Persidangan tersebut memberi makna yang begitu penting terutamanya kepada rakyat Mesir selepas hampir 30 tahun hak demokrasi mereka dicabul oleh regim Mubarak.

Pada hari pertama persidangan, ia dipengerusikan oleh Dr.Mahmud Saqa dari Parti Wafd yang merupakan ahli Parlimen yang paling tua. Kerana mengikut perlembagaan Mesir, persidangan parlimen pertama hendaklah dipengerusikan oleh ahli Parlimen yang paling tua dari kalangan mereka. 

Setelah selesai majlis angkat sumpah oleh semua Ahli Parlimen yang mewakili parti masing-masing, mereka telah membuat pembuangan undi untuk memilih speaker dewan baru bagi mengendalikan persidangan Parlimen pada hari yang seterusnya.

Setelah undian dijalankan oleh kesemua Ahli Parlimen, Dr. Muhammad Saad Katatni yang merupakan Setiausaha Agung FJP memenangi undian tersebut sebanyak 399 undi dan beliau telah ditabalkan sebagai speaker ke-46 dalam sejarah negara Mesir.

Di zaman diktator Mubarak, Dr Katatni pernah dipenjarakan dan diseksa bersama dengan Dr Mohamed Morsi dan Essam El-Erian.
Kerajaan Perpaduan Dibentuk

Di bawah Parlimen Mesir terdapat 19 buah Jawatankuasa yang perlu diisi oleh ahli-ahli Parlimen melalui perbincangan, antaranya ialah Jawatankuasa Hubungan Antarabangsa, Perumahan, Kesihatan, Hal Ehwal Agama, Belia dan Sukan, Kebudayaan. 

Walaubagaimanapun, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) yang merupakan parti paling dominan di dalam Parlimen setelah memenangi pilihanraya Dewan Rakyat sebanyak 235 kerusi atau 47.2% daripada 498 kerusi yang dipertandingkan hanya ingin meletakkan wakil mereka dalam 9 Jawatankuasa sahaja manakala bakinya lagi akan dibahagikan kepada 15 buah parti politik yang lain.

Begitu juga dengan perlantikan timbalan speaker dewan yang dipilih daripada Parti Wafd, Muhammad Abdul 'Alim Daud dan juga Parti Al-Nour, Asyraf Thabit yang merupakan daripada perikatan politik yang berlainan daripada FJP. Ini menujukkan bahawa FJP cuba menonjolkan konsep Kerajaan Perpaduan (Unity Government) di dalam pemerintahan Mesir yang baru.

Dengan konsep yang ditonjolkan oleh FJP tersebut, Ahli Parlimen Parti al-Nour, Asyraf Thabit di dalam ucapan sulung beliau di Parlimen memuji langkah FJP yang tidak membolot kesemua jawatan penting di dalam negara. Sedangkan perkara tersebut boleh dilakukannya kerana FJP merupakan kerusi majoriti di Parlimen sekarang.

Langkah FJP yang memberikan jawatan dua wakil Parlimen kepada parti yang berbeza dengan perikatan parti politik FJP ini dipuji dan tuduhan sesetengah pihak bahawa FJP bakal memerintah seperti parti NDP yang diketuai Mubarak sebelum ini meleset sama sekali.

Kerajaan Perpaduan yang dibentuk oleh FJP ini akan membolehkan semua parti yang terpilih duduk dalam kerajaan dan semua parti ini ada identiti, ada syakhsiah, ada kepelbagaian dan semua parti yang dipilih berhak untuk berbincang dan membangunkan Mesir secara kolektif.  Ia juga dapat mengelakkan Islamfobia kepada pemerintahan golongan Islamis kerana disertakan tayyarat yang berbeza dalam pemerintahan negara.

Kerajaan Perpaduan dalam Lakaran sejarah

Hakikatnya konsep Kerajaan Perpaduan ini juga diamalkan di Tunisia setelah golongan Islamis mendapat kemenangan yang besar di dalam pilihanraya yang lalu. Walaupun Parti An-Nahdhah memenangi majoriti 89 kerusi, tetapi An-Nahdhah hanya melantik wakil mereka iaitu Hamadi Jebali (Setiausaha Agung An-Nahdhah) sebagai Perdana Menteri bukannya Presiden.

Mereka melantik pemimpin Parti Republik yang memenangi 29 kerusi untuk menjawat Presiden Tunisia dan pemimpin Parti Ettakatol pula yang memenangi lebih 20 undian akan menjawat jawatan menteri kanan negara tersebut.

Dewan Parlimen Mesir yang mampu menampung 338 ahli Parlimen

Dari segi sejarahnya pula, sebenarnya penubuhan kerajaan perpaduan bukanlah sesuatu yang baru. Ia pernah ditubuhkan di negara-negara seperti Kanada, Israel, Kenya, Lubnan, Luxembourg, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Sebagai contoh, di UK kerajaan perpaduan telah ditubuhkan semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua. Semasa Perang Dunia Pertama, kerajaan perpaduan di bawah pimpinan David Lloyd George ini mampu bertahan sehingga 1922.

Begitu juga semasa Zaman Kemelesetan (Great Depression) ekonomi yang menimpa dunia, sebuah kerajaan perpaduan telah ditubuhkan di UK pada tahun 1931 antara Ramsay MacDonald, Perdana Menteri dari Parti Buruh dan Parti Konservatif dan Liberal. Kerajaan ini pula bertahan sehingga 1945.

Itu hanyalah sebahagian daripada sejarah-sejarah pemerintahan yang mengamalkan konsep perpaduan dalam pemerintahan mereka. Berdasarkan kebanyakan sejarah dilakarkan berkenaan pendekatan "kerajaan perpaduan" ini, ia ditonjolkan sebagai kaedah terbaik  untuk menyelesaikan masalah-masalah negara secara kolektif dan bersama.

Kerajaan Mesir dan Harapan Serantau

Dengan pembentukan kerajaan yang baru ini, selain daripada untuk melihat perubahan yang berlaku di dalam percaturan sosial negara Mesir, penduduk dunia juga mengharapkan agar Mesir dapat memainkan peranan mereka dalam percaturan politik di rantau tersebut.