Sahabat-sahabat sebaya saya sekarang sibuk bercerita tentang kahwin. Mungkin faktor umur, atau mereka sudah mula untuk memikirkan survival kehidupan sekarang yang semakin mencabar. Memaksa mereka semua memikirkan tentang alam rumah tangga, namun bagi saya ia merupakan perkara yang positif.

Kata seorang sahabat,
jangkauan perancangan seorang lelaki matang yang normal 15-20 tahun akan datang.

Sahabat saya di Malaysia juga menggesa saya supaya berkahwin dengan segera. Kata beliau, berkahwin adalah sunnah, jadi tidak baik tangguh. Kebetulan dia sekarang sedang menanti saat indah beliau untuk membina masjid.


Sahabat seperjuangan saya Ustaz Muzani, juga akan berkahwin dengan pasangannya Ustazah Norul Aini Hasmidar yang sudah semestinya satu jalan dan satu hadaf dengan kami pada hari khamis ini. Saya doakan moga mereka bahagia hingga ke syurga dan moga terus thabat dalam perjuangan.

Kahwin, kahwin, kahwin. Ada apa dengan kahwin. Adakah untuk menjaga diri daripada melakukan maksiat,  atau ingin melunaskan cinta kepada si dia, atau menuruti sunnah, atau kerana apa? Jika kita bertanya kepada ramai orang, maka banyaklah beza jawapannya.

Saya juga ada jawapan tersendiri selain daripada menuruti sunnah dan menjaga diri, atau selain dipaksa keluarga. Saya ingin berkahwin kerana ingin mencapai kesempurnaan. Kesempurnaan beragama, kehidupan, dan sebagainya.


Ingin Isteri Dimadukan.


Mustafa Masyhur menyatakan kepada gadis pilihannya. Aku ingin mengawinimu tetapi haruslah engkau tahu  bahawa aku telah berkahwin. Perempuan itu tersentak lalu bertanya siapakah isterinya. Mustafa Masyhur bingkas menjawab, "bakal madumu adalah perjuangan."


Alangkah indahnya kata-kata yang terpacul keluar itu. Ia merupakan lambang kesucian jihad yang diterjemah keluar oleh mujahid Ikhwan ini. Begitu juga kisah Zainab al-Ghazali yang tidak mengharapkan apa-apa harta kekayaan daripada suaminya, asalkan suaminya tidak menghalang kerja dakwah yang dilakukannya selama ini.


Imam al-Syafie hanya melakukan survey kalangan isteri-isterinya berkenaan dengan kitaran darah haid untuk mengeluarkan kaedah fiqh berkenaan darah tersebut. Saidatina Aisyah pula membantu nabi untuk memberikan penerangan kepada wanita yang bertanyakan tentang darah haid apabila nabi malu-malu untuk menerangkan secara lebih dalam. Malah Aisyah dan isteri yang lain menjadi juru cakap kepada beberapa perbuatan nabi.

Saya pula apabila melihat ceramah-ceramah yang disampaikan oleh orang yang sudah berkahwin berbanding yang bujang, ternyata ada bezanya. Walaupun mungkin yang bujang lebih berilmu dan pandai menyusun kata,  namun masih belum tampak kesempurnaannya. Ingin menyentuh soal ibu bapa, terasa janggal. Ingin menyentuh soal mendidik anak, diri sendiri belum berpunya. Malah ingin menyampaikan kuliah dan ceramah di hadapan orang yang sudah berumah tangga, terasa kejanggalannya.

Orang yang tidak mempunyai adik-beradik, akan menjadi penyayang tetapi kurang berkemampuan untuk menjadi ketua kerana ia tidak pernah memimpin dalam keluarga. Orang yang hanya adik-beradik lelaki akan kurang bertoleransi dengan perempuan.


Manakala bagi sesiapa yang memiliki adik-beradik perempuan dan lelaki, maka ia akan memahami dua situasi dan kehendak yang berbeza. Ia akan memahami betapa emosinya perempuan dan rasionalnya lelaki. Saya mengalaminya dan boleh membuktikan perkara ini.

Akan tetapi bagi saya, orang yang sudah berkahwin akan teruji imannya. Apakah ia lebih mengutamakan ‘kekasihnya’ atau gerak kerja Islam. Walaubagaimanapun orang yang sudah berkahwin akan lebih pandai tentang pengurusan hidup, bagaimana mengambil hati keluarga sendiri dan keluarga sebelah suami atau isteri,  termasuklah pengurusan mendidik anak-anak kecil.

Mendidik orang muda tidaklah terlalu susah. Namun bagi saya, mendidik anak kecil merupakan satu cabaran buat ibu bapa. Anak-anak kecil lebih mendengar cakap orang lain atau ustaznya berbanding cakap ibu bapa. Anak-anak kecil juga banyak ragamnya.


Maka seadanya saya memperingatkan kepada pembaca sekalian, berkahwin bukan semata-mata untuk menjaga diri, atau meramaikan umat nabi Muhammad. Malah berkahwin untuk kesempurnaan dalam hidup,  mengambil yang baik daripada isteri atau suami, dicontohi dan diaplikasikan sebaik mungkin. Saling melengkapi antara satu sama lain dalam perjuangan.

Rasa sangat seronok sebenarnya melihat sahabat-sahabat yang telah berkahwin dan juga sahabat-sahabat yang bakal ke alam yang penuh dengan cabaran ini. Semuanya anak-anak muda yang berjiwa besar dan punya keinginan membara. Saya kaguminya.

Namun saya tetap seperti biasa, sedang menunggu masa yang sesuai mengikut perancangan yang telah dirancang. Moga-moga semuanya berjalan dengan lancar dan didahului dengan kesabaran.


Utamakan keutamaan semasa..


Tapi ada yang mengatakan penantian penuh penyiksaan.Betulkah?