29 Mei 2010,mahasiswa/i yang berada di bumi sumpahan kini semakin merasai bahang imtihan yang semakin hampir,ada yang telah menempuhinya dan telah merasai bahang kepanasannya.

Sebenarnya pada hari ini 29 Mei 2010 ada peristiwa yang lebih bermakna dan lebih panas bagi saya dan sepatutnya bagi seluruh umat islam iaitu genaplah 557 tahun kemenangan Islam di kubu pertahanan terkebal dunia, iaitu Kota Konstantinopel di Turki.

Sepatutnya,tarikh 29 Mei 2010 bukan sekadar dijadikan peringatan dan kebanggaan kerana pembukaan kota itu semata-mata,akan tetapi gerakan Islam dunia kini perlu membuat kajian ataupun penelitian secara ‘kritikal’ tentang bagaimana wujud gabung jalin yang hebat antara ketua dengan produktiviti ahli sehinggakan mencapai kejayaan yang telah berjaya menelanjangkan golongan kuffar ketika itu.

Adakah sekadar berbangga?

Tidak salah jika saya katakan yang sebenarnya kita tertipu dengan kisah-kisah silam kehebatan ulama’ dan pemikir-pemikir kita. Barangkali Barat turut berseronok apabila kita terlalu mengagung-agungkan tokoh yang terdahulu.

Cuba fahami apa yang cuba saya sampaikan.

Kita terlalu berbangga dengan kehebatan ulama’ silam dan kita sering mengungkapkan, siapalah kita jika hendak dibandingkan dengan ulama dan pemikir terdahulu. Rindunya untuk berada pada zaman mereka dan mengecap zaman kegemilangan Islam. Rindunya untuk menjadi tentera Sultan al-Fateh ketika pembukaan kota tersebut.Alangkah bangganya.

Malangnya kita hanya mengungkap, mengenang, dan mengingat. Kita lupa dengan dendangan kata-kata, “Bukannya pemuda orang yang menyebut, ini ayahku, ini saudaraku,ini kerabatku. Tetapi pemuda yang sejati adalah yang mengatakan, inilah aku!”

Cubalah untuk mencontohi dan meneladani tokoh-tokoh Islam yang terdahulu.Cuba kita selami bagaimanakah lahirnya ‘orang’ penting disebalik kejayaan pembukaan kota ini yang sebelum ini dianggap suatu angan-angan yang mustahil bagi umat Islam ketika itu.

Bagi saya ini merupakan sejarah penting buat umat Islam. Berapa ramai pejuang Islam berkali-kali mencuba untuk membuka Constantinople daripada zaman para sahabat sehinggalah kepada khalifah-khalifah Islam selepas Khulafa’ Ar-rasyidin.


Namun, ditakdirkan kejayaan itu di tangan Sultan Al-Ghazi Muhammad bin Murad atau dengan nama familiarnya Sultan al-fateh ketika beliau berusia sekitar 20 tahun.

Walaupun beliau tidak mempunyai pendidikan agama islam secara formal,tetapi disebabkan sentiasa berdamping dengan as-Syeikh Syamsuddin al-Wali dan as-Syeikh Bayram,menyebabkan beliau seorang yang mempunyai karisma kepimpinan bertaqwa yang tidak dapat dinafikan lagi.

Kehebatan beliau semakin teserlah,walaupun baru sahaja berumur 19 tahun,tetapi kepakaran beliau dalam bidang ketenteraan yang beliau pelajari secara formal menyebabkan beliau digeruni kawan dan lawan.

Kegerunan musuh terhadap beliau,disebabkan dua factor penting yang perlu di dijadikan iktibar untuk pejuang Islam sekalian iaitu keprofesionallan beliau dalam bidang ketenteraan dan juga ketaqwaan beliau terhadap Allah disebabkan mendapat dampingan ulama’ tersohor ketika itu.

Karisma kepimpinan yang bertaqwa ini,melahirkan kegerunan pihak musuh.Ini kerana,Sultan al-Fateh pernah menghadapi cubaan untuk dilekakan oleh pihak kristian dengan perempuan dan harta yang banyak.melihat sahaja pemberian dunia itu,menyebabkan beliau berjaya menepisnya dengan mudah sahaja.

Cubalah untuk kembalikan ‘detik indah’ tersebut, Ibnu Khaldun sudah lama mengingatkan kita bahawa sejarah memang akan berulang, beruntunglah mereka yang meneladani sunnatullah yang baik serta binasalah mereka yang memilih untuk mengulangi sunnahtullah yang hitam.