Imtihan untuk fasa dua semakin hampir.Pada musim sebeginilah mahasiswa-mahasiswi di bumi sumpahan ini boleh diibaratkan seperti burung hantu yang berjaga dimalam hari.


Cuma yang dibimbangkan adalah disiang harinya.


Aduh,mengantuk datang lagi. Aku yang nak kerja pun terganggu dengan mengantuk ini. Ada saja dia menyibuk bila aku nak buat kerja-kerja Islam. Asal nak buat kerja baik, mengantuk datang. Asal nak buat kerja amal, mengantuk menyibuk. Asal nak rajin, mengantuk mencelah di celah-celah ruang yang terwujud.

Aku tidak sedar bila mengantuk datang. Tapi bila dia datang, sukar untuk menepisnya. Dia datang tanpa diundang. Bila datang ia menyusahkan. Dr yang mengajar didepan pun tidak perasan bila mengantuk datang mengganggu pelajar mereka.

Kalau mengantuk itu kayu, boleh untuk aku karate, patah-patahkan dia tanpa belas kasihan.Kalau mengantuk macam kertas, mahu aku koyak-koyakkan, buang dekat mana-mana tong sampah. Tapi masalahnya aku tidak pernah melihat mengantuk dan tidak tahu bagaimana bentuk mengantuk itu.

Aku cuba tanya Hakim, macam mana bentuk mengantuk. Hakim kata aku mengarut. Hakim tidak faham bahawa aku hanya ingin membunuh mengantuk. Kata sahabat yang lain pula jika otak kata tidak mengantuk, maka kita tidak akan mengantuk.Itu cuma mainan minda kata mereka.


Ramai yang tidak mengetahui macam mana bentuk mengantuk,bulatkah,bujurkah atau bagaimana?Jika kita tidak mengetahui bagaimana bentuk mengantuk, macam mana kita mahu melawan mengantuk.


Kita tidak kenal musuh masakan mahu mengalahkannnya.


Allah mengajar kita untuk mengenal sifat musuh supaya mudah untuk kita mengalahkan mereka disamping kita mengenal kekuatan dan kehabatan kita.Bagaimana kekuatan syaitan perlu kita ketahui supaya kita tidak tertipu dengan tipu daya syaitan.Tapi bagaimana dengan mengantuk?


Kata orang, baca A’uzubillahi minassyaitanir rajim bagi menghilangkan mengantuk. Aku cuba membacanya berkali-kali. Tetapi mengantuk tetap hinggap dan menyapa aku. Ia menampar-nampar benak aku. Aku terpukul lalu terus terduduk. Aku tidak mampu untuk bangkit melawan mengantuk. Aku berlari-lari, mengantuk tetap ada. Kenapa mengantuk masih mahu menemani aku sedangkan aku tidak sukakan mengantuk.

Bila aku tidur lewat malam, kemudiannya mendengar kuliah Subuh, mengantuk datang lagi. Aku semakin gelisah dan resah. Aku cuba mengkarate mengantuk tetapi ia macam kerja yang sia-sia. Bagai aku menampar angin, tangan keletihan sedangkan angin tetap tersenyum.


Aduhai mengantuk, kenapa engkau asyik memburu aku. Aku nak dengar ceramah, engkau datang. Aku nak buat kerja, engkau datang. Aku mahu mengulangkaji pelajaran,engkau datang.Kenapa engkau asyik datang dalam hidup aku? Kenapa engkau tidak “nyah” sahaja dari hidup ini.

Adakah boleh untuk menyekat kehadiran mengantuk. Aku pernah mendengar, umat Islam yang hebat bukannya tidak pernah mengantuk. Tetapi apabila ia mengantuk semasa ingin melakukan sebarang kerja Islam atau semasa muraja’ah, dia akan lawan mengantuk habis-habisan. Dia tidak akan mudah menyerah kalah dengan mengantuk sebaliknya akan melawan sampai mengantuk kecundang.


Hakikatnya itulah yang diajarkan oleh Islam,kita mesti mengenal rupa bentuk musuh kita dan kekuatan musuh.

Apabila seseorang ingin berjalan dan berlari lebih pantas ke hadapan, maka ia mesti bersedia belajar daripada musuh. Iblis sebagai contoh. Allah menyuruh kita mengambil musuh.Tetapi Allah tidak melarang untuk kita mengetahui apakah kekuatan Iblis dan syaitan. Bahkan wajib seseorang mengetahui apakah kekuatan musuh tradisi manusia itu. Jika tidak, mudah terpedaya.

Iblis turut mempelajari dan mengkaji apakah kekuatan dan kelemahan manusia. Dengan itu, barulah Iblis berjaya mencipta senjata yang sangat ampuh untuk merosakkan akal kita tanpa kita sedari.


Maka yang terbaik ialah, mencari apa kekuatan musuh dan mengetahui apa kelemahan kita. Apa kelemahan musuh dan apa kekuatan kita. Baru kita menguasai medan pertarungan.Apabila kita asyik mencari kekuatan kita dan kelemahan musuh, maka saat-saat kejatuhan akan tiba. Mengetahui kelemahan kita adalah lebih baik daripada mengetahui kekuatan kita.


p/s : ada yang mengatakan ubat mengantuk adalah tidur..memang tepat jawapan tu..tapi sampai bila kita harus sebegitu..