Assalamualaikum w.b.t kepada semua para muslimin dan muslimat tidak kira dimana berada,saat
dan ketika.

Bulan Ramadhan sudah di ambang pintu. Pernahkah kita merindukan Ramadhan di antara sebelas bulan yang lainnya? Atau bergembira dengan kedatangannya? Jika ya, beruntunglah lantaran Rasulullah SAW telah memberikan khabar gembira tentang kedatangannya. Rasulullah SAW memberi khabar gembira kepada para sahabatnya dengan bersabda, “Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah mewajibkan kepadamu puasa didalamnya; pada bulan ini pintu-pintu Surga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan para setan diikat; juga terdapat pada bulan ini malam yang lebih baik daripada seribu bulan, barangsiapa tidak memperoleh kebaikannya maka dia tidak memperoleh apa-apa’.” (HR. Ahmad dan An-Nasa’i).


Ramadhan Kareem,seringkali kita mendengar ada dari kalangan kita yang membicarakan tentang bulan ini yang mengaitkan bulan ini dengan tarbiyyah.’Bulan Ramadhan adalah untuk mentarbiyyah diri pejuang islam supaya lebih tabah dalam perjuangan’ ini adalah antara kata-kata yang mengaitkan Ramadhan dengan pentarbiyahan.


Mengaitkan Ramadhan dengan pentarbiyahan samaada mereka mengetahui hakikat sebenar tarbiyyah ,maksud sebenar tarbiyah,apakah momentum yang kita mahu lahirkan daripada tarbiyah ataupun mereka sekadar ingin menarik perhatian orang ramai tentang penulisan atau percakapan mereka tanpa mengetahui apa yang diertikan dengan tarbiyyah.


Walaubagaimanapun bukanlah ana ingin menafikan bahawa Bulan Ramadhan adalah bulan pentarbiyahan akan tetapi untuk mengajak sahabat sekalian untuk lebih muhasabah diri kita masing-masing sama ada kita tergolong daripada golongan yang memahami tarbiyyah atau sekadar pandai berkata-kata akan tetapi hakikatnya tidak memahami langsung apa itu tarbiyyah dan seterusnya tidak akan memberi apa-apa hasil selepas keluar daripada madrasah Ramadhan ini.


Bulan Ramadhan dikenali sebagai ‘Madrasatul Ramadhan’ atau pusat mentarbiyah diri, kerana di dalamnya terkandung pelbagai pengajaran dan pembelajaran yang dapat dipelajari secara lansung atau tidak. Tarbiyah Ramadhan akan mencorak para pencintanya agar menjadi seorang Muslim yang sejati agar apabila mereka keluar dari Madrasatul Ramadhan, mereka akan mampu mengharungi seribu satu cubaan dan dugaan di luar sana,terutamanya bagi mereka yang berjuang menegakkan agama Allah taala dimuka bumi ini.


Apabil datangnya Ramadhan maka akan berebut-rebutlah Umat Islam membaca Al-Quran, malah cuba pula untuk mengkhatamkannya sehingga berkali-kali. Namun tahukah kita Tarbiyah Ramadhan bukan sekadar mengajak Umat Islam hanya membaca Al-Quran semata-mata tanpa mengetahui apakah intipati yang dikehendaki di dalam Al-Quran itu sendiri dan memahami konsep perintah dan larangan-Nya. Jangan hanya bangga kerana dapat menghabiskan Al-Quran 30 juzuk dalam bulan Ramadhan tetapi tidak mengetahui dan jahil bahawa Allah s.w.t telah memerintahkanya agar mentaati -Nya dan menjauhi larangan-Nya dan apabila berlalunya Ramadhan kita bertukar menjadi seorang yang ‘derhaka’ kepada-Nya tidak kira sama ada secara sedar atau tidak.


Jangan hanya taat di bulan Ramadhan tetapi bertukar menjadi seorang penentang agama-Nya apabila berlalunya Ramadhan atau kekal berada di dalam kejahilan tentang perintah-Nya dalam bab ketaatan, jahil tentang larangan-Nya, jahil tentang perintah agar memperjuangkan agamaNya, jahil tentang perintah menutup aurat, jahil tentang hukum-hakam-Nya, jahil dalam segala-galanya ……….. yang tinggal hanya sekadar berbangga menghabiskan Al-Quran 30 juzuk semata-mata! Oleh itu, Tarbiyah Ramadhan bukan sekadar menekan aspek luaran semata-mata malah lebih kepada aspek kerohanian dan dalaman kerana di dalam tubuh manusia tersebut mengandungi seketul daging iaitu hati yang mengawal tubuh badan manusia. Jika elok hati tersebut maka akan elok tubuh badan dan kelakuan manusia tersebut namun jika buruk hati tersebut maka sebaliknya yang akan berlaku.


Oleh itu, semoga bulan Ramadhan ini akan dapat memberikan kita pengajaran yang melekat di dalam hati walaupun sedikit dan semoga ketaatan dan ketekunan melakukan ibadat di dalam bulan ini tidak berlalu sebagaimana berlalunya Ramadhan. Semoga di dalam bulan ini kita menjadi seorang yang taat kepada-Nya juga di bulan-bulan seterusnya dan tidak menjadikan kita taat di bulan Ramadhan tetapi penentang ajaran-Nya di bulan-bulan yang lain.


Demikianlah proses tarbiyah yang hendak Allah SWT tunjukkan kepada setiap mukmin dalam menjalani ibadah Ramadhan. Muara yang hendak ingin dicapai dari semua proses tarbiyah tersebut adalah terbentuknya individu yang bertaqwa dan berkepribadian islami. Terlebih lagi bagi para da’i (kader dakwah) yang senantiasa berjuang membela al-haq (kebenaran) berperang melawan al-bathil (kebatilan).


Ramadhan akan benar-benar dimaknani dan dimanfaatkan bagi meningkatkan kualiti jiwa pejuang Islam. Karena ia adalah salah satu faktor utama dalam memenangkan “peperangan abadi” tersebut. Kesabaran adalah salah satu hikmah yang hendak diraih selepasnya bulan tarbiyah ini. Bulan Ramadhan ialah bulan Sabar, semoga Allah s.w.t menjadikan kita seorang yang sabar dan thabat dalam agama-Nya dan menjadi seorang yang fakih dalam ajaran-Nya. “Puasa itu sebahagian dari Sabar” - Ibnu Majah


Ini sekadar pandangan ana yang penuh dengan kelemahan dan kesilapan,mungkin ya atau tidak, jika anda merasakan pandangan ini salah anda boleh melemparkan pandangan ini sejauhnya dari fikiran anda sekalian,akan tetapi jika saudara/i mempunyai pandangan yang berbeza pintu muzakarah dibuka seluas-luasnya untuk kebaikan kita semua dan yang paling penting ialah untuk kebaikan Islam itu sendiri.


"APA YANG AKU CARI ADALAH DAMAI BUAT UMAT INI"