Petang tadi sahabat ana Amin ada menanyakan ana tentang satu persoalan,apa yang dimaksudkan dengan falsafah bersetuju untuk tidak bersetuju,yang pernah ana ungkapkan sebagai penutup entry ana sebelum ini.Pelbagai andaian yang telah diandaikan.

Bersetuju untuk tidak bersetuju atau dalam bahasa Inggeris disebut “Agree to disagree” adalah satu frasa yang mungkin pernah didengari tetapi sukar sekali untuk dihayati atau dibudayakan dalam kehidupan seharian.Mujurlah catatan dalam diari ana dapat mengingatkan ana kembali hal ini.

Ana mula mengetahui mengenai frasa ataupun falsafah ini sewaktu mengendalikan sebuah program di Tanah Air suatu ketika dahulu.Ana mendapat penerangan yang panjang lebar tentang frasa ini daripada seorang sahabat.

Ana masih ingat lagi ingat kata-kata sahabat tersebut. Katanya, “Dalam berjemaah, sudah pasti akan ada nanti perbezaan pendapat sesama ahli atau mainboard dalam membuat sesuatu keputusan. Di sinilah letaknya kebijaksaan setiap ahli dan pemimpin untuk menguruskan perbezaan pendapat tersebut dan budaya bersetuju untuk tidak bersetuju mungkin boleh dijadikan amalan untuk dipraktikkan.”

Alhamdulillah, Ana berpeluang untuk melibatkan diri secara aktif dalam kerja-kerja jemaah sejak berada di Tanah Air lagi. Jadi, bermula daripada sinilah ana cuba belajar pelbagai perkara yang InsyaAllah mematangkan ana dalam kehidupan. Antaranya adalah menguruskan perbezaan pendapat.

Ana akui sememangnya bukan mudah untuk mendapat pandangan yang sentiasa sealiran kerana manusia dikurniakan oleh Allah swt akal fikiran yang mana setiap manusia itu berbeza-beza pola dan corak berfikirnya. Lebih menariknya, setiap pendapat yang diberikan itu disertai dengan pelbagai alasan dan hujah bagi menguatkan lagi pendapat tersebut.

Ana berpandangan dalam konteks kita berjemaah @ berpesatuan, setiap keputusan yang telah diambil setelah mengambil kira dan menganalisa semua pendapat yang diberikan harus dihormati kerana apa yang lebih penting adalah visi dan misi organisasi tercapai.

Sememangnya, setiap pendapat yang diberikan oleh setiap individu adalah apa yang diyakininya sebagai benar dan sudah semestinya akan wujud perasaan kecewa apabila pendapatnya tidak digunapakai. Dan di sinilah budaya bersetuju untuk tidak bersetuju sangat penting untuk dihayati dan dipraktikkan.

Bersetuju atas pendapat yang diambil demi kepentingan organisasi sedangkan hakikatnya tidak bersetuju dengan pendapat tersebut. Sungguh, memang mudah untuk mengatakan tetapi tidaklah pula mudah untuk diamalkan apatah lagi jika melibatkan persoalan prinsip, maruah dan kehormatan.

Walau bagaimanapun, ana juga berpandangan semua orang bebas dan berhak mengemukakan pendapatnya yang tersendiri dan wajar dihormati oleh orang lain kerana itulah budaya ilmu dan masyarakat bertamadun. Sebijak mana sekalipun pandangan dan hujahan yang dikemukan, ia masih lagi terbuka untuk diperdebatkan.

Oleh sebab itu, ana cuba sedaya upaya belajar untuk mengambil sikap terbuka dalam mendengar apa sahaja pendapat, pandangan atau hujah yang diberikan bagi meraikan pendapat yang dikemukan dan tidak semestinya ana harus bersetuju dengan semua pendapat tersebut.

Bagi menentukan bersetuju atau tidak bersetuju itu bergantung kepada diri ana sendiri selepas menggunakan kekuatan akal fikiran untuk berfikir, merenung dan menganalisa sambil memohon petunjuk Allah swt. Maaf jika selama ini ada yang menganggap ana seolah-olah tidak menghormati pendapat orang lain,kerana ana cuba sedaya upaya untuk mempraktikkan budaya ini.

Perkara yang sulit itulah yang apabila berjaya dipraktikkan merupakan suatu nikmat.

p/s : malam sudah semakin larut,tapi kenapa mata nie masih lagi tak dapat memejamkan kelopaknya…huhu