Kebanyakan orang kata untuk berjaya kita mesti berusaha. Kita mesti rajin. Kita mesti mempunyai sikap orang cemerlang. Kita mesti fikir positif. Persoalannya bagaimana?

Kita selalu lihat bagaimana seorang yang ketagih rokok yang sudah berhenti merokok bertahun lama akhirnya tewas dan menghisap rokok semula. Kita juga sering melihat bagaimana seorang yang telah insaf melakukan kejahatan, akhirnya melakukan kejahatan kembali.

Penagih dadah yang telah pulih akhirnya hisap dadah kembali. Yang futur dalam perjuangan bagaimana pula?

Masih lagi ana ingat kata-kata seorang pensyarah yang merupakan sahabat kepada mak ana ketika ana melawat rumahnya suatu ketika dahulu, bahawa manusia biasa seperti kita mempunyai 80% fikiran negatif. Kita tidak mampu membuangkan dengan hanya berfikir positif.

Dengan berfikiran positif, fikiran negatif tetap ada. Namun disebabkan kita mampu berfikir positif setelah kita hadir ke kem-kem motivasi, setelah penagih dadah dirawat, setelah menghadiri program tamrin atau di nasihati oleh sahabat, fikiran positif menjadi dominan dalam diri dan membuatkan kita berubah.

“Kita mesti sentiasa berfikiran positif”

Namun persoalannya, sejauh mana kita dapat menahan dominasi fikiran positif ini sedangkan fikiran negatif masih ada dan sentiasa memberontak untuk cuba menguasai minda kita?


Dan fikiran negatif ini sentiasa meningkat dari hari ke sehari kerana kita lebih banyak berfikir negatif Akhirnya kita gagal kekal dengan perubahan yang kita l
akukan.

Apa yang diajarkan oleh barat, kita mesti sentiasa berfikir positif seperti juga pakar-pakar motivasi di negara kita syorkan. Jika kita mampu berfikir positif kita akan mampu menjadi cemerlang. Ya, ia berkesan. Tidak dinafikan.

Namun berapa ramai yang mampu bertahan untuk tempoh yang lama. Sekali lagi ana ingatkan, fikiran negatif sentiasa ada dalam diri kita. Kita mempunyai 80% fikiran negatif dan ia sentiasa ditambah dengan fikiran negatif baru hari demi hari. Seperti yang dikatakan, ia adalah fitrah manusia.

Maka bagaimana untuk mengekalkan perubahan baik yang kita lakukan?


Jawapan mudah adalah dengan membuang fikiran negatif. Membuangnya menjadi zero adalah mustahil kerana kita adalah manusia biasa yang fitrahnya banyak dengan fikiran negatif setiap hari. Namun kita boleh kurangkannya.

Lalu persoalannya BAGAIMANA?


Sentiasalah berkomunikasi dengan Allah,inilah salah satu nasihat yang ana terima daripada seorang sahabat yang bernama Isa yang berasal daripada negara Rusia minggu lalu.

Beliau kata ,percayalah bahawa jika kita sentiasa berkomunikasi dengan Allah bukan hanya di dalam solat dan doa sahaja namun sepanjang masa walau apa pun kita lakukan dan bukan hanya di dalam keadaan memohon sahaja, Allah akan buangkan fikiran negatif kita.

Inilah katanya yang menjadi kekuatan kepada beliau dalam menghadapi ujian kehidupan yang sangat kacau-bilau di negaranya.

Komunikasilah dengan Allah walau apa jua perkara sama ada memohon, meminta, berkongsi cerita, berkongsi kejayaan, mengadu, dan sebagainya kerana Allah sentiasa dekat dan sangat-sangat hampir dengan kita. Allah adalah peneman yang Maha Setia yang sentiasa ingin mendengar cerita-cerita dari hambaNya.

Hidup lebih tenang. Apa yang dihajati, insyaALLAH dikurniakan Allah, dan perasaan sayang, cinta dan kasih pada Allah sentiasa bertambah dari hari ke sehari.Komunikasilah dengan Allah setiap saat. Inilah dia rahsia motivasi dan perubahan yang kekal.