Umi terasa bimbang dengan anaknya ini yang jarang balik rumah dan pada suatu ketika pernah mengecapi nikmat menaiki land rover.Aku tahu walupun mereka memahami apa yang aku lakukan ini,akan tetapi hati ibu bapa mana yang tidak risaukan anaknya.

Abah pernah berkata kepadaku sebelum aku menjejakkan kakiku ke bumi Mesir,semasa darah mudaku naik membuak-buak dan apabila aku sampai ke mesir ini aku terasa darah ini semakin sejuk,mungkin baru permulaan agaknya,aku cuba memujuk hatiku yang kurang senang hidup dalam keadaan “selesa” sebegini.


Kata Abahku “Amad mesti berjiwa besar. Amad tidak boleh berjiwa kecil,” pesan Abah kepadaku.

”Tapi bah, bagaimana jiwa besar yang abah maksudkan itu?” aku bertanya kebingungan. Sebelum ini, tidak pernah aku mendengar istilah jiwa besar.

”Amad. Jiwa besar ini adalah, satu jiwa yang mesti dimiliki oleh muslim yang berserah diri kepada Allah, dengan meningkatkan upaya diri dan mengorbankan tenaga untuk melihat bunga Islam kembali mekar dan berbau harum,” ujar abah dengan bersemangat. Aku mengangguk-angguk. Darahku menjadi panas.


Tarbiah yang melahirkan aku. Selama ini aku mati, bagai jasad tidak bernyawa. Hidupku langsung tidak berguna dan banyaknya ia sia-sia. Pernahkah kalian melihat debu-debu yang berterbangan? Begitulah hidupku sebelum ini.

Aku hanyalah milik Allah. Dia meminjamkan tangan kepadaku, dan Dia ingin membeli tangan ini untuk ditukarkan dengan syurga. Dia memberikanku kaki, lidah, mata, telinga, dan kesemuanya supaya aku gunakan untuk Islam dan membela umat yang terhina.

Aku melangkah kakiku ke SMAASZA, satu bumi yang telah mengetuk pintu hatiku yang sebelum ini terlena dengan mimpi indah. Keremajaan yang sepatutnya aku hamburkan kepada keseronokan akhirnya kuhamburkan kepada perjuangan. Mempersadakan perjuangan, menyeka mata daripada lena tidur, tangis tawa bersama sahabat-sahabat, rebah bangun bersama perjuangan, itu modal yang membangkitkan kesedaran hatiku.

Suatu hari aku mendengar seorang ustaz berucap di suatu program Alangkah indah ucapannya ketika itu. Ia membaca satu bait hadis yang telah kuabadikannya didalam diariku untuk menjadi panduan kepadaku kelak, bunyinya cukup menarik,

”Sesungguhnya kalian berada dalam landasan kebenaran selagi mana kalian tidak dibelenggu dengan dua sakrat, iaitu sakrat kejahilan dan sakrat cintakan kehidupan dunia. Dan kamu akan tetap menyuruh yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran serta berjihad pada jalan Allah. Namun apabila kamu terang-terangan cintakan dunia, maka kamu tidak lagi menyuruh yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran serta berjihad. Di saat-saat itu, sesiapa yang berkata dengan al-Kitab dan al-Sunnah, maka ia seolah-olah saki-baki golongan Muhajirin dan Ansar”.

Meremang bulu romaku. Aku dapat merasakan bahawa hidupku selama ini diselubungi kejahilan yang teramat. Ya, aku dibelenggu oleh sakrat cintakan kehidupan dunia yang tiada sudahnya. Lalu, aku tertunduk keinsafan, menangisi segala kehidupanku yang rosak dahulu.

Siapalah aku pada pandangan Allah. Apakah Dia akan melihatku dengan pandangan belas di akhirat kelak. Atau, jika aku dilemparkan ke neraka, apakah akan datang Rasulullah untuk memberikan syafaat kepadaku. Atau aku akan terus menderita dan menderita bersama Abu Jahal dan Abu Lahab di dalamnya. Oh Allah, ampunilah segala dosa yang telah lakukan.

Di SMAASZA wajah pelajarnya cukup jernih. Muslimat semuanya berpakaian sopan dan ada juga yang berjubah.Muslimin pula, hampir kesemua berkopiah, malah ada yang berserban dan berjubah. Wajah mereka, tampak mengagumkan.

Aku cuba cermin-cermin wajahku. Alangkah, aku mempersoalkan diriku sendiri. Apakah orang tertarik dengan seri wajahku, atau wajahku gelap dan suram tanpa cahaya? Aku teringat kata Al-Ghazali, “Sebaik-baik orang ialah, apabila kita melihat mereka, maka kita akan teringatkan Allah”.

Sekali lagi aku terkedu.

Perjuangan ini banyak peritnya. Namun tarbiah telah melahirkan kami sebagai rijal yang memasrahkan diri sepenuhnya kepada Allah dan usaha memurnikan agama-Nya. Kami berebut-rebut menggapai redha Illahi. Semangat al-Ayyubi, kepintaran al-Fatih, semangat Ibnu Ziyad, keperwiraan Abdullah Azzam dan lain-lain kami pahatkan di hati.

Aku berbangga kerana sekelilingku ada sahabat-sahabat yang kuat mendokong perjuanganku. Mereka yang selalu meniupkan semangat dakwah dalam diri kami tidak putus-putus menghembuskan tazkirah sebagai penguat hati dan sentiasa mendendangkan bacaan ayat-ayat Jihad sebagai pembakar semangat.

Ya Allah,kenapa kini aku kembali terasa kekosongan itu?Adakah aku semakin jauh kepada Mu Ya Allah,ataupun aku tidak termasuk dalam kalangan mereka yang sabar?


Semasa aku menulis tulisan ini,aku terasa amat rindu suasana semasa di Tanah Air sebelum ini,aku tahu mungkin kerana aku masih penghuni baru di bumi sumpahan ini,namun aku tidak sanggup untuk hidup dalam kekosongan yang membinasakan sebegini.


Mohon maaf kerana tulisan kali ini hanya sebagai luahan hati semata-mata,moga-moga ia menjadi semangat kepada aku untuk meneruskan perjuangan walau apa jua suasana dan keadaan.


Ya Allah, sekiranya Mantan Presiden PMRAM Ustaz Mu’iz ingin menjadi Mufakkir islam,Engkau berikan juga peluang kepadaku untuk mengikuti jejak langkahnya.Ameen..