Kata umi, dia tidak pernah bercinta. Cintanya hanya timbul dan mekar setelah berkahwin dengan abah. Kata tokku, keluarga abah yang berasal dari Kg Manir itu terus datang melamar umi setelah umi menamatkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia sekitar tahun 80 an.

Biasanya anak muda kuat bercinta di alam sekolah menengah kemudian disambung pula di alam kampus. Kononnya ketika itu merekalah orang yang paling bahagia kerana bercinta, dan mereka merasakan cinta adalah segala-galanya. Kata orang, makan tidak kenyang mandi pula tidak basah.

Saya pula tidak pernah sempat bercinta di sekolah menengah. Almaklum, saya berada di sekolah yang semuanya sama gender dengan saya. Cuma apabila saya bertukar ke sekolah berasrama penuh SMAASZA,disitu ujiannya mencabar sedikit,namun mujurlah kami diajar dengan biah solehah oleh senior-senior ,menjadikan saya lebih berhati-hati dan dipandu.

Akhirnya, alam sekolah menengah berakhir begitu sahaja. Tidak sempat untuk saya mengecap cinta monyet sebagaimana anak-anak muda yang lain. Terasa juga kadang-kadang dalam hati untuk keluar bersama kaum Hawa, bergurau senda dan mementrai sebuah janji setia. Tetapi mujurlah tarbiyah yang menjadi benteng yang kuat untuk tidak mendorong saya ke arah kehidupan yang menjijikkan itu.

Kami akhirnya hanya bercinta dalam usrah-usrah. Bercinta dengan Sa’id Hawwa, Hassan al-Banna, Abdullah Azzam, anak-anak pelarian Palestina, tahajjud saban malam dan lain-lain. Hingga sudahnya, syukur dipanjatkan kepada Allah yang menjaga kami dengan baik meskipun kadang-kadang terteguk air kerana lemas.

Ketika usia saya merangkak 17, terkadang terlintas juga keinginan. Umi dan abah pula memancing, supaya dikahwini seorang doktor yang boleh menjaga saya ketika usia emas nanti katanya dan banyak lagi alasan yang dikemukan oleh abah menguatkan lagi hujjahnya.


Kata umi pula,kalau kahwin dengan doktor nanti,keluarga kami akan lengkap dari segenap sudut,saya yang berpendidikan agama dan mempunyai isteri yang berkecimpung dalam bidang kedoktoran,bukankah bagus tu,namun saya hanya tersenyum melihat gelagat umi dan abah.

Saya sudah ada perancangan yang tersendiri tentang survival kehidupan ini.

Mujurlah penerangan dan didikan murabbi saya yang tercinta tentang bagaimana sikap kita untuk memilih bakal isteri bukan hanya sekadar menjadi peneman hidup semata-mata,akan tetapi menjadi penerus kepada perjuangan ini menjadikan saya semakin yakin dengan apa yang telah saya ber ‘iman’ selama ini.


Sirah kesedihan nabi apabila kematian isterinya yang tercinta Saidatina Khadijah,menjadikan saya tersentak seketika,kini saya menyedari bahawa isteri bukan hanya sebagai peneman kehidupan,akan tetapi sebagai tulang belakang dan menjadi pembangkit semangat sang suami dalam perjuangan.Dalam erti kata yang mudah sebagai minyak pelincir bagi perjuangan.

Saya sangat bersyukur kepada Ilahi, kerana saya masih mampu meneruskan kembara cinta saya. Bercinta dengan kata-kata al-Banna, semangat Syed Qutb, roh pejuang-pejuang pembuka Constantine, al-Ayyubi, dan lain-lain. Ya, kami tidak bercinta dengan kaum Hawwa, kerana kaum Hawwa ketika itu juga bercinta dengan semangat jihad yang menyala-nyala.

Siapa tidak berasa bertuah apabila mendapat teman yang meletakkan perjuangan sebagai mahar perkahwinan. Kisah Mustafa Masyhur yang berkahwin dengan perjuangan dan meminta bakal isterinya bersedia untuk bermadu dengan perjuangan menjadi pembakar obor semangat kami. Begitu juga kisah Zainab al-Ghazali yang hanya meminta keizinan agar tidak dihalang jalan jihadnya.

Berkahwinlah untuk Islam. Sesungguhnya nabi berbangga dengan umatnya yang ramai. Berkahwinlah dengan harapan agar lahirnya zuriat-zuriat yang akan dipersembahkan kepada jalan jihad dan merelakan anak sebagai korban syahid. Didiklah generasi masa depan, dan berniatlah agar kesemua mereka menghafaz al-Quran dan menterjemahkannya dalam kehidupan.

Berkahwinlah, dan jangan sesekali mempermainkan akhawat dalam hal ini. Dalam hal ini, kedua-dua Adam dan Hawwa mesti serius dan meletakkan Islam sebagai matlamat dalam perkahwinan, bukannya nafsu dan kepuasan hati semata-mata. Berkahwinlah, dan pilihlah orang yang berhati mulia sebagai teman hidup. Berkahwinlah, dan jadikan perkahwinan sebagai minyak pelincir memudahkan jalan jihad bukannya penghalang.

Sebaik-baik orang adalah orang paling baik dengan isterinya, dan nabi adalah insan yang paling baik terhadap isteri baginda. Nabi membawa isteri baginda ke medan peperangan, tidak hanya disimpan di rumah dan tidak dimanja berlebih-lebihan. Pilihlah yang pandai berdikari, agar kelak ia tidak menyusahkan kita malah memudahkan urusan kita.

Tinggalkan cinta monyet, sekejap dengan yang sana, sekejap pula dengan yang sini. Jangan mungkiri janji, tunaikanlah kerana orang yang mempermainkan janji ternyata memiliki sifat nifak dalam diri. Pesan umi, pilih yang pandai berdikari, yang menyejukkan hati apabila melihatnya kerana keimanan yang terpancar. Pilihlah yang membantu , boleh bekerja dan beramal untuk Islam.

Saya berpesan kepada pejuang Islam, pilihlah orang yang turut berjuang. Kepada muslimin, mulakan perkenalan kerana akhawat dihiasi malu yang menebal. Kepada akhawat, pandai-pandailah berkias, moga anda mendapat orang yang mulia. Jangan menyesal di kemudian hari, gara-gara malu yang terlalu menebal.

Kepada mana-mana muslimin yang mengenali saya, ketahuilah, akhawat memerlukan orang yang dapat memayungi mereka di celah-celah keriuhan dan kegemparan mahsyar kelak.

Kepada mana-mana muslimat yang mengenali saya pula, ketahuilah, bahawa muslimin memerlukan orang yang melicinkan perjalanannya menuju redha Illahi.

Sekali lagi kepada mana-mana muslimin, ketahuilah, janganlah memilih pasangan hidup kerana rupa paras semata-mata kerana yang licin akan berkedut. Manakala kepada muslimat sekali lagi, jangan memilih orang yang mampu memberikan kesenangan dunia kepada anda tetapi akan menyusahkan anda di akhirat kelak.

Saya menyatakan kepada orang yang ingin bersama orang seperti saya, kami tidak menjanjikan kesenangan di dunia, tetapi kami akan memastikan kalian akan bersenang-lenang di akhirat kelak semampu kami. Sesungguhnya, kami memilih kalian kerana Allah, maka nescaya kami melebihkan cinta kepada Allah dan jihad berbanding kalian. Allah, ampunilah dosaku...

(..dan saya sendu memikirkan ramai yang berkahwin, kemudian lemas dalam dakapan melekakan seorang perempuan, malah sendu saya makin bertambah, kerana sangat khuatir saya juga begitu. Ilahi, tolonglah teguhkan iman hamba-Mu ini YA RABB)