Gerakan dakwah kampus kini kian rancak,tidak kira mahasiswa di tanah Air mahupun di Mesir ini. Saya kira, antara fenomena yang menarik pada masa sekarang ialah wujudnya kesedaran berdakwah yang tinggi di kalangan gerakan mahasiswa.

Sesebuah pola gerakan itu mengikut kepada situasi dan pelakonnya. Ada kala, mahasiswa terikut-ikut dengan suasana. Ada kala yang lain, mahasiswa yang membentuk suasana. Pada perkiraan yang telus, suasana keekstreaman ummah dari sudut pemikiran dan budaya hidup pada masa sekarang memaksa gerakan mahasiswa merangka satu gerakan dalam bentuk yang lain dan pastinya ia lebih berkisar kepada pola dakwah itu sendiri.


Mahasiswa di Mesir khususnya yang kini dihantui dengan masalah hisbah yang membarah.Maka ia memerlukan kepada gerakan atau tindakan dakwah yang lebih terkehadapan dari segi presentionnya.Saya sangat setuju dengan lontaran idea yang dilontarkan oleh Ustaz Hasrizal dalam siri ceramahnya,beliau mengatakan gerakan dakwah sekarang perlu bergerak dan mengatur strategi kena dengan qhadiyah semasa dan pelbagaikan dari segi presentionnya.


Tidak salah jika saya katakan mahasiswa masa sekarang sudah tidak bermaya untuk hidup dalam dunia akademik, malah hampir semua pada pandangan umum tidak mempedulikan dan cakna terhadap perkembangan tanah air dan semasa. Mereka lebih memilih kehidupan mereka sendiri yang sarat dengan kesenangan yang melekakan.


Maka gerakan dakwah yang berteraskan kebajikan diwujudkan. Gerakan dakwah semata-mata dakwah tanpa menitikberatkan soal kebajikan tidak akan memberi makna yang besar. Sudah banyak kali gerakan dakwah tanpa selera kebajikan yang berkonsepkan edaran-edaran risalah, ceramah-ceramah dan sebagainya tidak memberikan impak yang besar terhadap gerakan dakwah itu sendiri,tapi bukan bermakna mengabaikannya terus. Namun, ia bertukar sebaliknya apabila gerakan dakwah mula mengambil kira soal kebajikan kerana lumrah manusia sukakan orang mengambil berat terhadap mereka.

Di Turki sebagai contoh, gerakan Islam yang bersifat statik juga mengambil pendekatan menjaga kebajikan sehingga berjaya menarik sokongan ramai dan memalingkan umum kepada kehidupan Islam setelah lama bergelumang dengan sekularisme. Begitu juga gerakan-gerakan Islam di tempat lain yang mengambil langkah menjaga kebajikan.


Adat orang tidak mahu diajak terus menjejakkan diri dalam dunia Islamik tanpa mengetahui apakah kebaikan dan keuntungan yang bakal diperolehi. Gerakan juga mestilah bersifat menyediakan apa yang umum inginkan, bukan menyediakan apa yang gerakan mahukan.Thabat dari segi prinsip akan tetapi fleksibal dari segi perlaksanaan.


Kadang-kadang, sesebuah gerakan mendabik dada apabila melihat ramai sekali penyokongnya dengan tidak mengambil kira ramai yang sebaliknya. Gerakan tersebut menyediakan pelbagai kemudahan yang mana semuanya berdasarkan pandangan mereka tanpa dilakukan satu kajian, apakah yang diinginkan oleh umum.

Mahasiswa Islam juga mesti kaya dengan strategi dan perancangan. Idea yang kreatif dan kritis mesti diterbitkan daripada akar minda yang bersih. Kita tidak boleh lagi melihat sesuatu yang memberikan keuntungan sementara meskipun ia mempamerkan keizzahan dan kemuliaan Islam sebaliknya gerakan mesti mengambil kira perancangan jangka panjang yang bernafas tidak putus.

Pujangga ada menyebut: Orang yang tertawa akhir, tertawa menang. Ia mesti kembali melihat asas dakwah nabi SAW yang melalui keperitan namun kemudiannya melakukan perubahan yang mengejutkan. Ulama menyebut: Antara tanda kejayaan di saat akhir ialah sentiasa merujuk kepada Allah SWT pada permulaan lagi.


Mahasiswa Islam perlu bijak untuk membezakan antara masalah dengan qadhiyah.Jika dua perkara ini masih lagi menjadi tanda tanya,saya percaya kita akan sentiasa bergerak dalam keadaan syok sendiri.