Air yang tidak bergerak dan bertakung hanya menghasilkan bau busuk dan membiakkan nyamuk aedes. Sang singa yang kelaparan tidak akan dapat memenuhi ruang kosong dalam perutnya sekiranya ia tidak berlari mengejar buruan. Anak panah tidak akan mengena sasaran sekiranya berada di busur panah.

Maka, bergeraklah, jangan statik dan berada di takuk yang lama, kerana sunnah alam juga berubah dari masa ke masa, dari semasa ke semasa.

Dinosaur musnah kerana tidak mampu beradaptasi dengan alam yang baru. Jangan jadi seperti lembu dan kambing yang tidak pernah jemu memakan rumput hijau tanpa sebarang perubahan cita rasa dan selera.


Alam berputar begitu pantas, maka nabi yang mulia berpesan, sesungguhnya Islam ini ada roda dan putarannya, maka berputarlah bersama Islam.

Sekarang bukan era kapur, sebaliknya marker yang digunakan. Sekarang bukan era ceramah kosong, tetapi slide-show diperlukan. Robot-robot sudah mula tercipta. Dengan berkembangnya dunia yang maha luas ini, maka bertambahlah permasalahan dan permasalahan yang timbul ternyata pelik dan aneh, banyak dan menjijikkan.


Yang perkasa akan dapat merenanginya. Yang lemah tenggelam timbul atau terus tidak timbul-timbul. Ya, alam survivor, siapa yang menjuarainya?

Dakwah tidak boleh lagi statik, jumud, dan rigid. Hamka mengarang karya cinta. meskipun dikecam dan dibenci namun ia berjaya mengubah persepsi remaja tentang cinta yang sebenar sehingga menepis kesyahwatan yang dipuja.

Kini timbul satu persoalan. Dalam dunia survivor ini. Bagaimana kita harus mengatur langkah dan pencak bagi menjadi sang pemenang dan seterusnya mengubah nasib bangsa yang kian terumbang-ambing.


Pastinya cara yang lama sudah tidak terpakai sebaliknya nafas segar mesti diberikan secara bijaksana. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.

Kini ada era anak muda. Ia juga adalah era untuk pemikiran muda yang segar dan baru. Kita tidak boleh lagi menggunakan kaedah dakwah 10 tahun yang lepas, sebaliknya satu cara yang baharu mesti tercipta.


Sebentar tadi berlangsung satu program Interaksi Harmoni di Dewan Darul Iman Hayyu Asyier yang merupakan program muhasabah antara exco-exco PMRAM cawangan Terengganu bersama ahli.


Dalam program tersebut saya cuma cadangkan satu cadangan iaitu setiap program yang dilaksanakan perlu ada daya penarik dan kelainannya dalam erti kata yang lain sesuai dengan pemikiran mahasiswa/i dewasa kini dan dapat menarik mereka bukan sekadar diibaratkan seperti melepas batok ditangga.


Einstein ada menyebut, permasalahan masa sekarang tidak dapat diselesaikan dengan pemikiran masa sekarang.

Bebaskan pemikiran anda. Tetapkan apakah matlamat anda dan jangan sekali-kali berasa diri lemah dan tidak berdaya untuk mencapainya.


Tidak boleh lagi anak-anak masa sekarang dididik dengan cara lima tahun yang lepas. Tidak boleh dibiarkan anak-anak hanya bergaul dengan yang sebaya dengannya kerana ia tidak membantu perkembangan akal. Didik mereka dengan pemikiran dewasa, agar kelak mereka dapat berfikir 10 tahun lebih terkehadapan.


Patutlah dahulu abah selalu suruh saya membaca buku tingkatan 6,padahal saya baru berada di tingkatan 5 ketika itu,rupanya abah mahu mengajar saya agar berfikir serta belajar lebih terkehadapan dan jangan terlalu terkongkong dengan apa yang ada.


Apa-apa pun,tajuk entry ini lah yang menjadi salah faham Ustaz Manan terhadap cadangan yang saya cadangkan.


Saya juga sebenarnya tidak ingin mengkomen ataupun mengkritik pimpinan secara melulu ataupun berlebih-lebihan kerana terkesan dengan nasihat Mantan Presiden PMRAM 2009 kita perlu belajar untuk “melobi pimpinan”