“Saya bad mood lah hari nie”

“Kamu tak faham-faham ker?saya tak der mood la”


“Argg tertekannya”


Apabila seseorang itu penat, letih, marah, sedih, dan tertekan, dialog diatas akan dihamburkan sebagai menunjukkan keadaan yang sedang kita alami dan kita akan mula memilih untuk bermuka masam.


Menunjukkan muka tertekan dan muka keletihan. Sudah menjadi kebiasaannya, manusia apabila mengalami tekanan, berada dalam keletihan, akan menunjukkan muka yang masam dan sedih. Mengikut hukum alam,ini adalah merupakan tindak balas normal bagi seorang manusia.


Namun begitu, bagi seorang pemimpin dan seorang dai’e bermuka masam,bagi saya ia bukanlah satu tindak balas normal seperti yang dilakukan oleh manusia biasa apabila menerima tekanan atau masalah.


Apabila seorang pemimpin atau dai’e menunjukkan muka masam, letih dan tertekan pada orang yang dipimpinnya, bagaimanakah reaksi orang-orang yang dipimpinnya? Apabila seorang dai’e menunjukkan muka masam, letih dan tertekan pada madu’,cuba bayangkan bagaimanakah reaksi mad’u?


Saya teringat kata-kata seorang ustazah semasa saya masih lagi dibangku sekolah menengah,kata ustazah “dalam badan setiap manusia mempunyai satu aura yang akan mempengaruhi kelakuan kita dan keadaan sekeliling kita”


Sebagai contoh apabila kita membawa muka masam, mood negatif dan aura yang buruk bersama kita ke dalam sesuatu perjumpaan atau apabila bertemu sahabat-sahabat dan sesiapa sahaja, kita secara tidak langsung akan memalitkan rasa tertekan kita kepada orang sekeliling.


Sahabat-sahabat kita yang mulanya bersemangat dan ceria, akan bertukar menjadi lesu dan lemah apabila kita membawa perasaan sebegini dalam perjumpaan atau disekeliling kita.


Bagi saya, sesuatu perbuatan atau perkara yang hendak dilakukan secara berjemaah atau yang berkaitan dengan masyarakat sekeliling, perlu dilakukan dengan semangat, iltizam dan ceria. Jika seorang membawa muka masam, yang lainnya turut terkesan sama.


Cuba kita bayangkan apabila didalam perjumpaan atau perbincangan, anda semua berhadapan dengan satu masalah dan masing-masing bersama-sama mencari jalan penyelesaian. Sepatutnya kita menangani masalah dalam keadaan siap sedia, bersemangat dan tenang.


Tetapi dengan kehadiran seorang yang bermuka masam dan dalam keadaan tertekan, suasana mencari jalan penyelesaian akan menjadi suasana yang sangat tegang tetapi lemah dan tidak bermaya.


Perjumpaan dan perbincangan yang dimulakan dengan semangat dan iltizam, akhirnya menjadi lesu dan tidak bertenaga kerana seorang membawa muka masam dan diakhiri tanpa sebarang penyelesaiaan yang bernas.


Maka sebagai seorang pemimpin dan daei, yg menggalas amanah yang berat, memilih untuk bermuka masam adalah sesuatu yang patut kita elakkan. Seperti Rasulullah hendaklah kita bermuka manis dan sentiasa tersenyum.


Kita manusia biasa yang lemah pastinya kadang kala tidak mampu menahan kesedihan dan menyerap tekanan. Namun kemaslahatan ummah perlu kita dahulukan daripada perkara yang bersifat peribadi sebegitu.


Allah telah menegur Nabi Muhammad s.a.w di dalam Surah Abasa


Maksudnya : Dia (Muhammad) berwajah masam dan berpaling. Kerana seorang buta telah datang kepadanya(Abdullah bin Ummi Maktum).Dan tahukan engkau barangkali dia ingin menyucikan dirinya (dari dosa).


Menurut Tafsir Ibnu Kathir, ayat ini diturunkan sebagai teguran daripada Allah kepada Rasulullah yang bermuka masam dek kerana seorang sahabat yang bernama Ibn Maktum bertemu nabi untuk bertanyakan soalan yang mustahak baginya.Akan tetapi ketika itu Rasulullah s.a.w sedang berbicara dengan seorang pemimpin terkemuka Quraisy dengan harapan dia akan memeluk islam.


Seorang pemimpin dan dai’e tidak boleh bermuka masam kepada masyarakat umum. Kita sering membuat muka tidak bermaya tatkala kita letih dan sakit. Contohilah Rasulullah yang sentiasa tersenyum walaupun baginda letih dan sakit.


Contoh paling nyata adalah ketika saat ajal Baginda. Baginda masih mampu tersenyum walaupun keperitan maut itu hanya Allah yang tahu. Baginda tersenyum untuk menenangkan hati umat baginda supaya mereka tidak takut dan bimbang dengan keuzuran baginda. Seorang pemimpin perlu pandai bermain dengan susasana supaya tiada kekecohan yang timbul berpunca dari kita.


Bagaimana mungkin kita dapat menyampaikan mesej-mesej tentang keindahan Islam jika wajah kita tertekan dan layu tidak bermaya? Adakah kita mampu untuk meyakinkan mad’u akan kepentingan dakwah jika kita gagal melakukan satu tugas dakwah yang paling mudah iaitu senyum.


Di dalam ukiran senyuman yang penuh kepahitan itu, terpancar ketabahan menggalas sebuah tugas dakwah, tercermin kesungguhan menegakkan islam, tersinar sebuah pengharapan melihat kegemilangan islam suatu hari nanti.


Kata seorang sahabat “seyumlah lah,bukan kena bayar pon”


p/s:..dan saya memang tak boleh terima orang yang sentiasa bermuka masam dan tertekan..