Insya-Allah pada hari khamis ini (esok), Biro Akademik bersama Biro Dakwah Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) Mesir akan menganjurkan program Diskusi Kitab “Attaakhi Bainal Muslimin” nukilan Ustaz Amru Khalid. Semua mahasiswa Mesir terutamanya mahasiswa Terengganu dijemput untuk menghadiri diskusi tersebut.

Pengarang kutaib tersebut iaitu ustaz Amru Khalid adalah seorang pendakwah yang bukan sahaja terkenal di Bumi Anbiya’ ini malah di kebanyakan Tanah Arab. Beliau merupakan anak kelahiran Mesir yang berasal daripada Inskandariah. 

Beliau adalah graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perakauanan di Cairo University pada tahun 1988. Pada tahun 2001 beliau mengambil diploma dalam bidang Islamic Studies. Beliau juga adalah berkelulusan Ph.D keluaran University of Wales, Lampeter pada Mei 2010 dengan pangkat A.

Terkenal dengan pendekatan dakwah yang dapat menarik minat kebanyakan masyarakat Arab terutamanya para muda-mudi agar kembali kepada Islam yang sebenar. Kalau di Tanah Air, mungkin beliau boleh disamakan dengan Ustaz Azhar Idrus yang begitu kita kenali terutamanya bagi masyarakat “negeri penyu bertelur”.

Kitab “Attaakhi Bainal Muslimin” merupakan sebuah kutaib (kitab bersaiz kecil) yang tersenarai di dalam siri "Hatta yughayyiru ma bi anfusihim" (sehingga mereka mengubahnya dengan sendiri) karangan Ustaz Amru Khalid yang diinspirasikan daripada ayat Al-Quran.

Diantara kutaib lain yang terdapat di dalam siri ini (kesemuanya 13 siri) adalah Wasail Ath-Thabat ala Dinillah, Ath-Thabat hatta Al-Mamat dan Al-Ukhuwwah wa Salamah As-Sadr. Uslub yang digunakan oleh Ustaz Amru Khalid di dalam kebanyakan kutaibnya adalah bersifat santai dan ringan. 

Beliau juga banyak berbicara tentang keteguhan prinsip seorang muslim dalam menghadapi suasana semasa di dalam kebanyakan siri-siri karya beliau. Saya kira bacaan berbentuk santai seperti ini dapat memberi ruang untuk keteguhan kembali berada pada tempat yang sepatutnya dalam jiwa kita.

Ustaz Amru Khalid juga konsisten dengan gaya perubahan yang sering diimpikan oleh manusia, iaitu menjadikan Islam sebagai kecaknaan utama dalam kehidupan. Mengatasi kerisauan-kerisauan yang bersifat keduniaan semata-mata. 

Di dalam karya beliau banyak menanam sifat prihatin kepada nasib rakyat Palestin dan Iraq, juga banyak menekankan kepada penekanan amal fardi di dalam kehidupan umat Islam.

Berbalik kepada kutaib yang akan didiskusikan oleh Ustaz Muhammad Abdul Malik bin Abdul Karim yang merupakan Penasihat PMRAM sesi 2010. Ia merupakan kutaib yang disusun tanpa pembahagian bab dalam 32 muka surat.

Kutaib ini berkisar tentang perbandingan sikap kasih sayang dan persaudaraan sesama muslim di zaman sekarang dengan zaman Rasulullah dan para sahabat Baginda.

Di dalam kutaib ini, penulis banyak mendatangkan kisah-kisah pada zaman Rasulullah dan para sahabat yang begitu hebat dalam menjaga hubungan sesama muslim. Walaupun perselisihan pendapat adalah sesuatu lumrah dalam kehidupan, tetapi nabi dan para sahabat telah menunjukkan contoh yang baik bahawa kesatuan dan persaudaraan antara muslim adalah sesuatu perkara yang lebih penting untuk diutamakan berbanding khilaf tersebut.

Saya tidak berniat untuk menceritakan secara keseluruhan berkenaan kutaib ini, tetapi hanya ingin menjemput para sahabat sekalian untuk bersama-sama menghadiri program diskusi ini. Insya-Allah.