Apabila Israel melancarkan serangan  yang amat biadap ke atas Gaza pada hujung bulan Disember 2008 dan berakhir pada 23 Januari 2009, seluruh dunia amat terkejut dan bangkit membuat bantahan yang terbesar pernah disaksikan. Bantahan dan kemarahan ini tiba-tiba reda dan berakhir apabila Israel menghentikan operasinya di Gaza. 

 Kini isu Palestin kembali dibincangkan, satu konflik yang berpanjangan sejak 1948 tanpa menunjukkan sebarang petanda ia dapat diselesaikan dalam masa terdekat. Realiti inilah yang mungkin menyebabkan tumpuan terhadap isu ini turun dan naik seiring dengan insiden serangan besar-besaran atau pencerobohan regim Israel ke atas mana-mana wilayah Palestin dari masa ke semasa.

Kebetulan pula pada keesokan hari (15 Mei 2011) genaplah ulangtahun peristiwa Nakbah yang ke 63. Peristiwa Nakbah secara rasminya diingati pada 15 Mei setiap tahun. Ia merujuk kepada pengistiharan negara haram Israel pada 15 Mei dan disambut di Israel sebagai ‘Hari Kemerdekaan’ Israel setelah mereka memenangi peperangan yang mereka dakwa sebagai ‘The War of Independence’ (Peperangan bagi memperoleh kemerdekaan).

Pada hakikatnya mereka merampas negara Palestin dengan menghalau penduduk Arab dari tanah air mereka. Akibat dari aksi-aksi teroris oleh tentera bersenjata Yahudi zionis, 800,000 rakyat Palestin terpaksa menyelamatkan diri dengan meninggalkan kampung halaman dan berlindung di Syria, Lubnan, Tebing Barat, Jordan dan Semenanjung Gaza. Sungguh menghinakan.

Namun saya kira sambutan Nakbah Palestin pada tahun ini banyak kelainannya. Hal ini adalah kerana melihat kepada perkembangan terkini yang melanda dunia Arab memberi ruang yang amat luas untuk rakyat Arab yang selama ini dipenjara oleh rejim-rejim kuku besi di negara masing-masing untuk menyatakan sokongan terbuka mereka ke atas perjuangan rakyat Palestin. 

Mereka bukan sahaja bebas menyatakan sokongan bahkan mereka bebas bertindak membantu rakyat Palestin dan mengeluarkan mereka dari penghinaan yang ditimpakan selama ini oleh rejim Zionis yang dilindungi oleh pemimpin-pemimpin Arab.

Hal ini berikutan angin perubahan yang mula bertiup pada awal tahun 2011. Satu demi satu rejim Arab bermula dengan Tunisia ditumbangkan oleh rakyatnya sendiri. Revolusi ‘Jasmine’ telah menumbangkan rejim kuku besi Ben Ali di Tunisia. Rakyat Mesir yang mendapat inspirasi daripada kebangkitan di Tunisia kemudiannya menumbangkan pula rejim Hosni Mubarak. 

Beberapa lagi kebangkitan rakyat juga sedang berlaku di Syria, Jordan dan Bahrain. Kebangkitan rakyat Negara-negara Arab ini telah membebaskan rakyat dari cengkaman pemerintahan kuku besi diktator Arab. Lebih penting daripada itu adalah memerdekakan mereka dari penghinaan yang ditimpakan oleh rejim-rejim Arab yang melindungi Israel. Selama berpuluh tahun rakyat Arab dan umat Islam dihina oleh pemimpin mereka. Kini tiba masa untuk menebus maruah yang tercalar di tanah air mereka dan juga di bumi Palestin.

 Sesungguhnya angin perubahan yang berlaku di Timur Tengah adalah berita paling baik bagi rakyat Palestin sejak 63 tahun tragedi Nakbah. Hal ini adalah kerana, sekarang para pemuda Arab menganjurkan kempen "Intifadhah ketiga Palestin". Bermula dengan semalam (13/5) dinamakan Jumaat Nafeer, Sabtu Zaeer dan hari Ahad Tahrir.

Para pemuda di sekitar Tanah Arab juga menganjurkan solat subuh berjemaah secara besar-besaran di masjid-masjid utama. Jika di Mesir diadakan di Masjid Amru dan Masjid Nur di Kaherah, ini adalah untuk menunjukkan kepada Israel bahawa Umat Islam akan berjaya mengalahkan mereka hasil daripada kekuatan jemaah subuh sama dengan solat Jumaat, moga ini menjadi permulaanya.

Saya sempat menghadiri perhimpunan aman di Tahrir pada hari Jumaat semalam yang dinamakan "Perhimpunan Sejuta Rakyat Bersama Perpaduan Negara dan juga sempena sambutan pra Hari Nakbah". Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Syeikh Jibril cukup membangkitkan semangat kita untuk bersama-sama dengan Umat Islam di Palestin. Pada keesokan hari (15/5) pula, para pemuda Arab Mesir akan berhimpunan di hadapan Kedutaan Israel untuk menyatakan sokongan mereka kepada rakyat Palestin. 

Peristiwa Nakbah yang kini sudah memasuki ulangtahun ke 63 ini wajar mendapat perhatian kita sebagai umat Islam. Hal ini adalah kerana ia merupakan tragedi kemanusiaan terburuk abad lalu yang direstui oleh masyarakat antarabangsa. Tragedi ini bukan sahaja dirancang oleh pertubuhan Zionis antarabangsa bahkan mendapat kelulusan rasmi dari kuasa-kuasa barat dan penaja kepada PBB iaitu British dan Amerika Syarikat. 

Setiausaha Ikatan Ulama Muslim Antarabangsa Syeikh Doktor Ali Muhyiddin al Qaradaghi juga menyeru kepada seluruh umat Islam dan masyarakat Arab agar tidak melupakan isu Palestin. Berkata beliau, kesibukan masyarakat Arab membahaskan mengenai revolusi yang sedang melanda dunia Arab di media tidaklah wajar untuk kita berpaling meninggalkan isu umat Islam di Palestin.

Jika ada di kalangan kita merasakan tragedi Nakbah ini tiada kena mengena dengan diri kita, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan pandangan hidup kita sebagai seorang muslim.

(Gambar sekitar "Perhimpunan Sejuta Rakyat Bersama Perpaduan Negara dan Sempena Sambutan Pra Hari Nakbah" di Medan Tahrir, Kaherah)

http://a4.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/229110_221734307853529_100000508851984_890838_8059307_n.jpg