Dua hari lepas (18 Mei 2011) adalah hari yang bersejarah bagi Ikhwan Muslimin (IM) Mesir kerana dengan rasminya ditubuhkan Hizbul Hurriyyah wal 'Adalah (Parti Kebebasan dan Keadilan) yang didaftarkan di Bahagian Pendaftaran Parti Politik Mesir. Keputusan menubuhkan parti ini dalah hasil daripada persidangan Majlis Syura IM yang diadakan selama dua hari baru-baru ini.

Pada saya, ini adalah diantara kejayaan terbesar Revolusi Mesir 25 Januari yang lalu, kerana sebelum ini dibawah sistem diktator Mubarak, Ikhwan Muslimin dinafikan hak untuk menubuhkan parti. Mereka hanya masuk parlimen dengan cara bertanding sebagai calon bebas, itupun setelah melalui pelbagai ujian dan cabaran yang hebat.

Penubuhan Hizbu Hurriyyah wal 'Adalah sebenarnya adalah sebagai persedian IM bagi menghadapi pilihan raya umum Mesir tidak lama lagi, setahu saya ia dijangka bulan September nanti. Setakat ini IM melalui PKK mengesahkan bahawa ia akan bertanding sehingga 40 peratus kerusi parlimen dan tidak akan mengemukakan calon untuk pilihanraya presiden yang akan diadakan selepas daripada pilihanraya umum Mesir nanti.

Melalui persidangan IM yang diadakan baru-baru ini juga telah bersepakat untuk melantik Dr. Mohamed Morsy sebagai Ketua Parti Kebebasan dan Keadilan manakala Dr. Essam Al-Erban pula terpilih sebagai Timbalan Ketua dan Setiausaha Agung akan disandang oleh Dr. Saad Ketatny. Ketiga-tiga mereka telah mengosongkan jawatan mereka dalam Maktab Irsyad (AJK Pusat) Ikhwan Muslimin selepas daripada pengunguman tersebut. Satu lagi jawatan yang diwujudkan semalam adalah Naib Ketua iaitu disandang oleh Rafeeq Habib, beliau merupakan seorang pemikir politik yang beragama Qibti.

Sepertimana yang diumumkan oleh Setiausaha PKK Dr saad Ketatny semalam, bahawa PKK adalah terbuka kepada semua rakyat Mesir termasuk juga Qibti, jadi pemilihan Rafeeq Habib sebagai Naib Setiausaha PKK adalah satu perkara yang bijak dan bertepatan bagi menangkis fitnah yang berlaku diantara Muslim dan Qibti yang sengaja dimainkan oleh saki-baki regim Mubarak yang ingin memecah belahkan kesatuan rakyat Mesir.

Dr Saad Ketatny ketika mengumumkan berkaitan PKK
Pengumuman yang dibuat oleh Dr. Saad Ketatny semalam berkenaan tema PKK adalah "Hurriyyah huwal hal wal 'Adalah hia Tathbiq". Mereka juga mengatakan bahawa penggunaan istilah "Islam huwal Hal" tidak akan digunakan kerana ia bertujuan untuk meraikan keahlian yang beragama Qibti dan sebagainya. 

Bagi saya ini adalah “politik bijak” yang dilakukan oleh IM, kerana melihat kepada suasana Mesir yang masih tidak dapat menerima Islam secara keseluruhannya berikutan lebih 60 tahun diperintah secara sekular. Saya juga melihat IM masih berhati-hati mengeluarkan kenyataan, hal ini dibimbangi jika tersilap langkah segala harapan akan tinggal mimpi seperti mana yang berlaku kepada FIS di Algeria suatu ketika dahulu.

Cuma apa yang perlu kita fahami adalah pemilihan tema tersebut adalah bersifat ingin mengalih pandangan masyarakat bukan Islam di Mesir agar melihat PKK bukannya parti agama yang ektrimis dan bukannya parti yang dimiliki oleh sesuatu agama dan bangsa sahaja bahkan dimiliki oleh rakyat Mesir keseluruhannya. Walau pada hakikatnya pelaksanaa yang dilaksanakan oleh PKK adalah kearah menubuhkan daulah Islamiyah. 

Begitu juga kita lihat baru-baru ini Dr Yusuf al-Qaradhawi dan IM mengeluarkan kenyataan bahawa IM tidak berniat untuk menubuhkan Negara Islam tetapi hanya ingin menubuhkan Negara Sivil yang ada di dalamnya syariat Islam. Namanya lain walau hakikatnya tujuannya adalah sama. 

Sepertimana yang disebutkan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi bahawa Islam mementingkan jauhar (intipati) berbanding syakal  (nama/luaran). Begitu juga apa yang disebut di dalam ilmu usul fiqh iaitu Al-Ibratul bil Musammayat la bil Asma’, kita mengambil ‘ibrah daripada sesuatu perkara pada intipatinya buka pada namanya semata-mata. Diharapkan tidak ada yang silap mentafsirnya.

Ini adalah Markaz 'Am IM yang baru sahaja dibina.
Hasil daripada "politik bijak" yang dirancang oleh IM, semalam semasa proposal penubuhan Hizbul Hurriyyah wal 'Adalah  diserahkan, PKK menerima seramai 8821 orang yang menganggotainya diperingkat penajaan, 978 adalah wanita manakala 93 terdiri daripada orang Kristian Mesir.

Sekarang PKK sedang melakukan road tour ke seluruh muhafazah (negeri) untuk menerangkan tentang dasar perjuangan mereka dan sedang merangka secara keseluruhannya berkenaan perlembagaan parti dan sebagainya.

Saya kira ini adalah titik permulaan yang baik kearah kebangkitan Islam, kerana Mesir dianggap sebagai negara yang mampu memimpin negara-negara Arab yang lain. Tahniah saya ucapkan kepada IM diatas perkembangan yang baik ini, sama-sama kita doakan agar segala perancangan mereka dipelihara dan dibantu oleh Allah.