Revolusi Mesir pada 25 Januari yang lalu ternyata membuahkan pelbagai perubahan . Bermula dengan perubahan sedikit demi sedikit politik di Mesir yang lebih telus dan memberi peluang kepada seluruh rakyatnya untuk membangunkan negara mereka dari pelbagai sudut. Perubahan ini sebenarnya bukan sahaja memberi kesan kepada negara Mesir sahaja malahan memberi kesan yang besar kepada Tanah Arab secara umumnya. 

Begitu juga dengan perubahan yang berlaku di negara jiran iaitu negara Palestin yang merupakan negara yang telah menghadapi konflik kemanusian sejak sekian lamanya. Perubahan pasca revolusi tersebut bermula dengan usaha yang telah diambil oleh gerakan Hamas dan Fatah yang menandatangani persetujuan awal usaha baik pulih dalaman Palestin dengan menubuhkan Kerajaan Perpaduan Palestin.

Perdamaian bersejarah itu selari dengan usaha membentuk negara Palestin merdeka yang diusulkan Perdana Menteri Palestin yang juga pemimpin Fatah, Mahmoud Abbas. Kedua-dua kumpulan pejuang utama di Palestin itu mula berselisih pendapat pada 2007 apabila Hamas berjaya memenangi pilihan raya dan memerintah kawasan Genting Gaza. 

Wakil Fatah dan Hamas yang bertemu di Mesir baru-baru ini menandatangani surat perjanjian awal mengenai pembentukan kerajaan perpaduan dan akan mengumumkan tarikh pilihan raya negara itu dalam masa terdekat. Perdamaian itu semestinya memberi tamparan yang hebat kepada Israel dan musuh Islam di dunia ini. 

Sumber rasmi rejim zionis memaklumkan bahawa Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri zionis dijadualkan mengadakan lawatan rasmi ke Paris dan London untuk menghasut pemimpin-pemimpin Eropah supaya membantah dan tidak mengiktiraf penubuhan negara Palestin tersebut. Ini bermakna mereka semakin rungsing dengan perubahan yang berlaku sekarang hasil penangan daripada revolusi Mesir 25 Januari yang lalu.

Pintu sempadan Rafah
Satu lagi khabar gembira bagi umat manusia yang mencintai kemamanan adalah kenyataan rasmi yang telah dikeluarkan oleh penguasa kerajaan Mesir semalam. Kerajaan sementara Mesir di bawah Perdana Menterinya, Essam Syaraf telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa pintu Rafah akan dibuka setiap hari bermula hari Sabtu esok (28/5) kecuali hari Jumaat dan hari cuti rasmi (jam 9 pagi hingga 5 petang). Sekali lagi ia pasti memberi satu tamparan yang hebat kepada penjajah Israel.

Mengikut kepada fakta sejarah, sempadan Rafah terletak di antara Mesir dengan Genting Gaza, Palestin. Pintu sempadan Rafah dibina oleh kerajaan Mesir dan Israel pasa 1979 selepas Perjanjian Keamanan Israel-Mesir 1979 dan keluarnya Israel dari Semenanjung Sinai 1982. Pada mulanya ia dikendalikan oleh Lembaga Lapangan Terbang Israel sehingga 11 September 2005. Kemudian pintu sempadan Rafah ini dipantau oleh Kesatuan Eropah melalui Misi Bantuan Sempadan Rafah (EUBAM).

Mulai 25 November 2005, penyeberangan Rafah mula dibuka dan beroperasi hampir setiap hari sehingga 25 Jun 2006. Ironinya pada November 2006, Israel menutupnya atas alasan keselamatan selepas Intifada dan pada Jun 2007, pintu sempadan Rafah ditutup sepenuhnya oleh Mesir selepas Hamas mengambil alih Genting Gaza.

Akibat daripada penutupan pintu Rafah, ramai Rakyat Palastin menderita akibat sekatan ini. Mereka seolah-olah dikepung, dipenjarakan dengan tanpa belas kasihan dan dinafikan hak mereka dari segi mendapatkan bekalan air bersih, elektrik, gas, bekalan perubatan dan juga mendapatkan keperluan asas yang lain.

Untuk mengatasi masalah tersebut, pihak kerajaan Hamas di bawah pemerintahan Ismail Hanieyeh, mengeluarkan permit khas untuk proses penggalian terowong kepada rakyatnya. Hal ini menyebabkan pembinaan terowong berhampiran sempadan Rafah antara Mesir dan Gaza 'tumbuh bagaikan cendawan'.
Genting Gaza

Akan tetapi dengan pengumuman pembukaan pintu Rafah bermula esok, pasti ia dapat menjamin persahabatan yang erat di antara kedua-dua umat Mesir dan Palestin. Ini adalah asas yang penting ke arah pembebasan Palestin secara keseluruhan dari penjajahan Israel suatu hari nanti.

Ia juga dapat memberi kekuatan kepada Gaza dari segi bantuan persenjataan dan sekaligus bantuan sumber manusia. Oleh kerana tentera Mesir adalah tentera yang terbaik di dunia seperti sabda Rasulullah s.a.w, maka ia akan memudahkan lagi tentera Mesir untuk masuk ke Gaza dan ia adalah perkembangan yang pasti menguatkan lagi pertahanan dan kedudukan Gaza.

Insya-Allah sirna kemenangan Islam semakin hampir. Berdoalah agar kita semua berpeluang untuk solat di Masjidil Aqsa suatu hari nanti. Yakinlah!